KPLSPM 2012 dan 2013

Pertamanya, Alhamdulillah, sekalung puji dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana kita masih hidup di hari yang berikutnya.

Keduanya, saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kerana berjaya menjawab soalan saya mengenai ura-ura yang kedengaran sebelum ini.

Sehari dua sebelum 21 Februari yang lepas, saya mendengar ura-ura dari kakak saya di IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur bahawa IPG tidak akan mengambil pelajar untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) 2012 dan 2013. Kuota untuk KPLSPM pula akan diisi pula oleh Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang akan menuntut di IPG sama seperti pelajar KPLSPM, iaitu selama 5 tahun setengah (11 semester). Berita ini disahkan pula oleh guru saya di IPG Kampus Tawau.

Apabila saya menyiarkan berita ini ke laman sosial Facebook dan Twitter, ramai yang sudah mula bimbang dan risau sebab kebanyakannya yang minat untuk memasuki IPG ini ialah dari kalangan pelajar-pelajar yang cemerlang.

Saya menerima respon mengenai persoalan ini melalui panggilan pada 27 Februari yang lepas dan melalui surat rasmi baru tadi (1 Mac).

Keratan surat bertarikh 28 Februari yang diterima hari ini (1 Mac)

Menurut jurucakap IPG Induk, En. Mohd. Razi Mohd. Suradi, IPG masih mengambil pelajar untuk KPLSPM 2012 dan 2013 cuma kuota kemasukan dan bilangan IPG yang boleh menerima pelajar KPLSPM akan dihadkan untuk memberi peluang kepada GSTT yang akan belajar selama 11 semester sama seperti pelajar KPLSPM kerana GSTT tidak mengambil Kursus Dalam Cuti (KDC) 14 Minggu.

Menurut surat pula yang dibalas oleh Pn. Aini Nessa Salim, kemasukan pelajar KPLSPM ke IPG adalah bidang kuasa Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti kelaziman. BPG akan menguruskan kemasukan pelajar KPLSPM ke IPG berdasarkan kuota yang ditentukan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) KPM.

Kepada pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dan 2012 yang ingin masuk ke IPG, bersyukurlah kerana peluang masih ada. Sekarang, usaha terletak di tangan kita dan selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT.

Comments