Hormatlah Walau Tiada Dipinta

Hormatlah
walau tiada dipinta
hormat selaku budi bahasa
kelak kita juga dihormati
juga memungkinkan kurniaan
penghormatan dari Tuhan.

Hormatlah
walau tiada dipinta
hormat memungkin ukiran kasih
sehingga wujudlah negara kasih
nusa yang dikasihi Tuhan
stabil dan amanlah watan.

Hormatlah
walau tiada dipinta
bayangkan dibenci
kalau-kalau dari diri ini pembenci
mana mungkin selesa berhidup sendiri
kerana tiada hormat, ada benci.

Hormatlah
walau tiada dipinta
yang tua harus dihormati
yang muda harus disayangi
barulah stabil dan aman
kerana bernaung bersama kasih Tuhan.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
Jumaat, 16 Mac 2012, jam 10.46 malam.

Comments