Ucapan Tahniah sempena Kejayaan dalam Bahas Bahasa Melayu Kota Kinabalu

بسم الله الرحمن الرحيم

Sesungguhnya Kami telah membukakan kamu satu jalan yang nyata.
(Surah al-Fath, ayat 1)

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) kerana berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali yang berikutnya dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu Sekolah-sekolah Daerah Kota Kinabalu 2012 yang telah selamat dilangsungkan pada 28 dan 29 Februari 2012 di SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu. Alhamdulillah.
Sesungguhnya kejuaraan sekolah dalam pertandingan ini melambangkan bahawa acara Perbahasan Ala Parlimen Bahasa Melayu adalah merupakan kebitaraan utama sekolah. Kejayaan yang sekolah warisi sejak beberapa tahun sudah, diharapkan, akan terus berkekalan selaras dengan hasrat sekolah untuk mengangkasakan penglibatan dalam pertandingan-pertandingan seperti ini sebagai kebitaraan utama sekolah untuk menjadikan SMKAKK sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Saya berdoa dan mari kita semua, warga SMKAKK, berdoa semoga SMKAKK terus dirahmati Allah SWT dengan kejayaan dan kecemerlangan terutamanya dalam pertandingan ini. Saya bersyukur mempunyai guru-guru saya yang berkaliber dalam mendidik saya dan yang lain untuk menguasai ilmu bahasa dan membangunkan koakademik bahasa di SMKAKK, dan bersyukur mempunyai rakan-rakan pembahas yang kental dan bersemangat waja untuk sama-sama membangunkan sekolah dalam kecemerlangan kokurikulum.

Saya, selepas ini, mahu melihat kejayaan ini diteruskan sama oleh pembahas Bahasa Inggeris dan pendebat Bahasa Arab di waktu yang mendatang. Yakinlah dengan visi kita bahawa SMKAKK Sentiasa Unggul. Doa saya, semoga Allah membantu kita untuk mencapai visi dan misi sekolah ini.

Kepada SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS) yang berhasrat untukmenjadi SBT yang berikutnya, tahniah jua saya ucapkan kerana berjaya mendapat naib johan dalam pertandingan ini. Ramai yang berfikir bahawa tradisi akan diteruskan. Dalam erti kata lain, SMKAKK akan menentang SMK SANZAC. Bagaimanapun, tradisi itu rupanya berubah tahun ini. Saya bersyukur kerana SMKA TUNAS juga mampu melakar kejayaan bertepatan dengan rancangan pembangunan sekolah.

SMKA TUNAS juga mempunyai pendebat yang celik dan intelektual dan kita tidak boleh nafikan. Cuma yang membezakan hanyalah nasib yang Allah tentukan. Doa saya, semoga SMKA TUNAS terus melakarkan kejayaan dalam segala bidang selaras dengan visi dan misi sekolah.

Kepada SMK TTF, tahniah kerana berjaya menganjurkan pertandingan ini dengan jayanya. Kepada sekolah yang lain, cuba lagi di masa yang mendatang. Yakinlah, kita semua ada kebolehan.

Comments