Sambutan Maulidur Rasul SAW 1433H Peringkat Daerah Tuaran

Sambutan Maulidur Rasul SAW 1433H Peringkat Daerah Tuaran telah selamat berlangsung pada 10 Januari 2012 (17 Rabiulawal 1433H) di Masjid an-Nur, Tuaran, Sabah. Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Noor. Turut hadir, Pegawai Daerah Tuaran, En. Madiyem Layapan; penolong-penolongnya; Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, En. Romli Darus serta ketua-ketua agensi kerajaan. Majlis dipengerusikan oleh Guru Besar, SK Kindu, Tuan Hj. Kiran Hj. Ismail.


Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi, bermula dengan perarakan yang dijayakan oleh sekitar 4 000 orang dari 31 buah kontinjen, diketuai oleh Datuk Hajiji. Perarakan berlangsung dari Padang IPGM Kampus Kent ke Masjid an-Nur melalui pekan Tuaran. Perarakan diiringi dengan laungan selawat yang diketuai oleh para Imam Masjid an-Nur, Tuaran.

Dalam majlis kemuncaknya, Datuk Hajiji, ketika merasmikan sambutan, menyeru agar perpaduan dan semangat ukhuwah Islamiyyah terus dilestarikan dalam kalangan umat Islam.

Selain perarakan yang mempertandingkan kategori sepanduk terbaik, kontinjen perarakan terbaik dan kontinjen perarakan teramai, bacaan ayat suci al-Quran, pertandingan kompang dan ceramah khas turut mengambil tempat di Dewan Hikmah, Masjid an-Nur, sejurus selepas Datuk Hajiji merasmikan sambutan ini.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim dizahirkan oleh Imam Masjid Ubudiyyah, Tamparuli, Tuan Imam Mohd. Firdaus Saidin manakala ceramah khas pula disampaikan oleh Pegawai Agama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Ustaz Mohd. Sallehuddin Abdul Aziz. Ceramah beliau berkisar tentang kelayakan Rasulullah SAW menjadi contoh dan teladan bagi umat Islam.

Pertandingan kompang pula disertai oleh 4 buah kumpulan kompang dari seluruh daerah Tuaran. Ketika pertandingan kompang berlangsung, Pengerusi Majlis mengumumkan bahawa semua kumpulan kompang yang menyertai pertandingan kompang menerima hadiah bernilai RM 4 000 setiap kumpulan daripada Datuk Hajiji, selain hadiah pertandingan kepada yang merangkul tiga tempat teratas.

Pertandingan sepanduk dijuarai oleh Jabatan Pertanian Negeri Sabah Cawangan Tuaran, Komuniti Rukun Tetangga Kampung Pensurun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu; dan Sekolah Agama Negeri Pekan Tuaran, masing-masing bagi kategori Agensi Kerajaan dan Swasta, Kampung, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

Tempat kedua pula, masing-masing disandang oleh Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran, Kampung Berungis, Tuaran; SMK Sri Nangka, Tuaran; dan SK Mengkabong, Tuaran. Tempat ketiga pula disandang oleh Shangri-la Rasa Ria Resort, Tuaran; Kampung Rugading; dan SK Kindu, Tuaran. Tiada pemenang tempat ketiga bagi kategori Sekolah Menengah.

Kontinjen Kampung Rugading memenangi hadiah Kontinjen Terbaik, manakala kontinjen SK Mengkabong yang dianggotai oleh 120 orang peserta, memenangi hadiah Kontinjen Teramai.

Bagi pertandingan kompang, johan disandang oleh pasukan Kampung Serusup, Tuaran; naib johan disandang oleh pasukan Kampung Pensurun, Tuaran; manaka tempat ketiga disandang oleh pasukan Kampung Bolong Baru, Tuaran.

Pengguna Facebook boleh melihat gambar-gambar sambutan di sini.

Comments