Sambutan Maulidur Rasul SAW 1433H Peringkat Negeri Sabah

Sambutan Maulidur Rasul SAW 1433 Hijrah Peringkat Negeri Sabah telah selamat diadakan pada 5 Februari 2012 di Padang Merdeka dan Masjid Negeri, Kota Kinabalu, Sabah. Hadir merasmikan majlis ialah Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; timbalannya, Datuk Seri Yahya Hussin; menteri-menteri kabinet negeri, pembantu-pembantu menteri dan para pegawai kanan persekutuan dan negeri.


Seawal sekitar jam 6.30 pagi, Padang Merdeka sudah dipenuhi oleh ribuan peserta perarakan dan sepanduk.

Acara perarakan dipengerusikan oleh Ust. Abdul Rahman Hj. Talipuddin, manakala acara kemuncak dipengerusikan oleh Ust. Baharuddin Alwi dan Ustzh. Saidah Said.

Perarakan sejauh 3.4 kilometer disertai oleh lebih dari 9 000 orang peserta yang melibatkan 99 buah kontinjen dan lebih dari 1 000 orang awam yang menyertai kontinjen khas. Perarakan yang dimulakan sekitar jam 7.45 pagi diketuai oleh Tun Juhar.

Majlis kemuncak hanya bermula sekitar jam 9.30 pagi.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Nasir Sakaran, berkata bahawa sambutan Maulidur Rasul SAW merupakan platform untuk mengeratkan ukhuwah dan melestarikan perpaduan ummah.

Mengenai pemilihan Masjid Negeri Sabah sebagai tempat berlangsungnya sambutan Maal Hijrah, beliau, dalam ucapannya, berkata bahawa Masjid Negeri Sabah dipilih supaya majlis dijalanan dalam suasana yang kondusif dan santai. Selain itu, Masjid Negeri Sabah dipilih sebagai mengimbau kembali sirah Rasulullah SAW yang mendukung tinggi masjid sebagai pusat pelbagai fungsi dan peranan agar masyarakat umum tidak memandang masjid hanya merupakan tempat beribadat semata-mata.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dalam ucapannya, berkata bahawa kebanyakan negara yang aman dan kuat pada masa dahulu, kini menjadi lemah dan bergolak akibat konflik dalaman dan sengketa sesama masyarakat. Beliau juga berkata bahawa kegemilangan tamadun bukan terletak pada jumlah penduduk, tetapi pada keharmonian dan perpaduan penduduk.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat Malaysia, khususnya di negeri Sabah, agar bersyukur kerana Allah masih mengizinkan para hadirin menghadiri majlis dalam keadaan yang aman dan damai tanpa perlu bimbang akan keselamatan. Beliau juga mengajak semua agar mengekalkan perpaduan walaupun ada segelintir pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan demi kepentingan peribadi dan golongan tertentu. Beliau juga mengajak para hadirin untuk mencontohi semangat dan daya juang Rasulullah SAW dalam berpolitik dan menjalankan pemerintahan.

Sementelahan itu, Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, ketika merasmikan majlis, menyeru agar membanteras segala fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah manusia termasuklah fahaman Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT). Katanya, meskipun semua ingin mempertahankan keadilan, dalam masa yang sama, kita perlu menghormati ajaran Islam dan budaya ketimuran.

Beliau juga berpesan agar tidak memanipulasikan ajaran Islam hanya kerana kebebasan bersuara yang ada dan hanya kerana ingin menegakkan hak asasi manusia yang tidak menepati kesempurnaan akhlak. Pesannya lagi, jangan menyemarakkan sentimen agama dan perkauman demi melestarikan perpaduan antara masyarakat. Perpaduan, katanya dalam perutusannya, untuk dikekalkan dan bukan untuk dirobek oleh sesiapapun. Beliau, di akhir perutusannya, berharap agar persefahaman antara ummah bertambah mantap.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid, bacaan selawat dan ceramah khas. Bacaan selawat diketuai oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah (TPHR), Kinarut, Papar, Sabah. Sebelum itu, di Padang Merdeka, nasyid dipersembahkan oleh dua buah kumpulan, masing-masing dari Sipitang dan Tuaran.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Ismail Hashim Junaidi, Penolong Kanan Pengarah, Seksyen Dakwah Saudara Muslim dan Komuniti Khas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ustaz Ismail Hashim, dalam ceramahnya yang mengupas mengenai persefahaman dan perpaduan, meletakkan 3 syarat kehidupan bahagia, iaitu seruan ke arah kebaikan, pencegahan kemungkaran dan keimanan kepada Allah. Beliau berkata bahawa perpaduan merupakan keutamaan kedua Rasulullah SAW setibanya Baginda SAW di Madinah selepas iman kepada Allah.

Beliau, ketika membaca maksud ayat al-Quran, berpesan agar tidak bergaduh kerana pergaduhan menyebabkan kekalahan dan hilangnya kehebatan. Katanya lagi, Islam ini hebat jika kita ada pilihan yang benar.

Beliau, dalam ceramahnya, menyatakan beberapa contoh mengenai persefahaman, termasuklah yang terkandung dalam sirah Rasulullah SAW. Orang yang mengikuti Rasulullah SAW, katanya, dapat memahami tiga perkara, iaitu harapan untuk bertemu Allah, harapan pada Hari Akhirat dan zikrullah. Beliau juga memberitahu bahawa kesyukuran kepada Allah SWT mampu memberikan kekuasaan yang hebat.

Dalam majlis tersebut, beberapa hadiah disampaikan termasuklah Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW. Mantan Setiausaha Tetap Kewangan Negeri Sabah, Datuk Yusof Mohd. Kassim, dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Sabah, Datuk Noraini Salleh, menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW daripada Tun Juhar.

Turut disampaikan, hadiah pertandingan sepanduk, pertandingan perarakan dan kontinjen teramai. SMAN TPHR dinobatkan sebagai Kontinjen Teramai bagi Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW 1433H, selepas menerima hadiah tersebut, tahun lepas.

Bagi acara perarakan, kontinjen dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Pertubuhan Puteri Islam Malaysia Cawangan Sabah, Masjid Jamek Kampung Likas, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut, Papar; dan Madrasah al-Hidayah, Putatan, masing-masing merangkul hadiah perarakan terbaik, masing-masing bagi kategori agensi kerajaan, pertubuhan, kampung, sekolah menengah dan sekolah rendah.

Dalam acara sepanduk, bagi setiap kategori, johan disandang oleh Badan Kebajikan Kakitangan Islam, Perbadanan Kemajuan Perikanan dan Nelayan (KO-NELAYAN) Sabah; Persatuan Kedayan Sabah; Masjid Jamek Mesapol, Sipitang; SMK Padang Berampah, Sipitang; dan SK Melalia, Sipitang.

Tempat kedua, bagi setiap kategori, dirangkul oleh Perpustakaan Negeri Sabah; Badan Perhubungan UMNO Sabah; Masjid Jamek Kampung Likas, Kota Kinabalu; SMAN TPHR; dan Sekolah Agama Negeri (SAN) Likas, Kota Kinabalu. Tempat ketiga pula, masing-masing disandang oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Pergerakan Wanita UMNO Kawasan Sepangar, Surau Taman Seri Rugading, Tuaran; SMAN Papar; dan Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Pengguna Facebook boleh mencapai gambar tadi di sini.

Comments