Prinsip Perbahasan Ala Parlimen Sekolah-sekolah

Saya dapat merasakan bahawa musim Perbahasan Ala Parlimen Sekolah-sekolah telahpun tiba. Bermula di peringkat daerah, kemudiannya di peringkat negeri dan akhirnya di peringkat nasional. Seperti tahun-tahun sebelumnya, perbahasan dipertandingkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab.

Hari ini, saya mahu membincangkan tentang prinsip Perbahasan Ala Parlimen Sekolah-sekolah. Nanti, saya mahu berkongsi pula pengalaman dalam Perbahasan Ala Parlimen Sekolah-sekolah pula.

Hari sebagai Pembahas atau Ahli Yang Berhormat

Tahniah kepada sesiapa yang berpeluang untuk menyertai Perbahasan Ala Parlimen Sekolah-sekolah tanpa mengira peringkat. Kepada yang baru bermula, itulah pengalaman pertama. Kepada yang meneruskan pengalaman, itulah pengamalan, sama ada dalam situasi tiruan seperti ini mahupun dalam situasi sebenar seperti dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri - badan perundangan.

Perbahasan dalam konsep pertandingan sekolah lebih bertumpu dalam usaha untuk mengasah bakat kepimpinan dan untuk meningkatkan kematangan pemikiran dan falsafah terhadap isu-isu semasa. Dalam konsep perundangan realiti pula, perbahasan bertujuan untuk mencapai suatu sepakat antara perwakilan dalam satu negara untuk bertindak mengenai sesuatu perkara dengan menggunapakai sesuatu kaedah. Yang disepakati itu dalam konteks legislatif realiti ialah undang-undang dan dasar.

Sebelum dan ketika menjadi seorang "Ahli Yang Berhormat", prinsip perbahasan perlu dipatuhi agar perjalanan pertandingan atau prosiding legislatif itu berjalan lancar. Saya cuba menggariskan 5 prinsip Perbahasan Ala Parlimen Sekolah-sekolah yang boleh menjadi panduan ataupun risalah pembelajaran kepada para pembahas sekolah, iaitu kepujian etika, kebertanggungjawaban pembahas, keberkesanan hujah, kebolehpercayaan bukti dan kebolehan merumus.

Kepujian Etika

Etika adalah elemen yang terpenting dalam mengurus dan mengendalikan perbahasan. Untuk mewujudkan prinsip ini, peraturan pertandingan digubal. Peraturan itu (yang turut disebut sebagai Peraturan Mesyuarat) mesti dibacakan oleh Speaker Dewan, dipatuhi oleh semua yang ada dalam Dewan (termasuklah Bentara Mesyuarat, Juri Dewan dan Setiausaha Dewan, jika ada) dan dikuatkuasakan oleh Speaker Dewan, sesama Ahli Yang Berhormat Dewan dan sesama Juri Dewan.

Perlanggaran peraturan mempengaruhi tindak-tanduk Speaker Dewan dan penghakiman Juri Dewan kerana keputusan yang sah adalah berdasarkan Juri Dewan bukannya menggunapakai suara penyokong.

Kebertanggungjawaban Pembahas

Setiap Ahli Yang Berhormat mesti tahu peranan masing-masing ketika menyertai perbahasan. Kesilapan memainkan peranan memungkinkan perubahan situasi dalam persidangan, sama ada Juri Dewan akan mencatatnya sebagai kesalahan atau Speaker Dewan akan menegur kesilapan.

Dalam barisan kerajaan, Perdana Menteri berperanan untuk membentangkan definisi dan fokus pertama mengenai isu berbangkit. Menteri ke-2 pula akan membangkang usul dan hujah Ketua Pembangkang dan membentangkan dua fokus berikutnya yang berlainan mengenai isu berbangkit, manakala Menteri ke-3 pula akan membangkang usul Ketua Pembangkang dan Pembangkang ke-2. Jika ada tambahan penyokong barisan di belakang, Wakil Kerajaan ke-4 dan ke-5 akan membantu Perdana Menteri dan para Menteri untuk mempertahan, membangkang mahupun memperteguh pendirian Kerajaan. Bagaimanapun, setakat kefahaman saya, Wakil Kerajaan ke-4 dan ke-5 tidak boleh bersuara.

Dalam barisan pembangkang, Ketua Pembangkang berperanan untuk membentangkan definisi, bangkangan terhadap Perdana Menteri dan fokus pertama mengenai isu berbangkit. Wakil Pembangkang ke-2 pula akan membangkang usul dan hujah Perdana Menteri dan Menteri ke-2 dan membentangkan dua fokus berikutnya yang berlainan mengenai isu berbangkit, manakala Wakil Pembangkang ke-3 pula akan membangkang usul ketiga-tiga Menteri Kerajaan. Jika ada tambahan penyokong barisan di belakang, Wakil Pembangkang ke-4 dan ke-5 akan membantu pembangkang barisan hadapan untuk mempertahan, membangkang mahupun memperteguh pendirian Pembangkang. Bagaimanapun, setakat kefahaman saya, Wakil Pembangkang ke-4 dan ke-5 tidak boleh bersuara.

Keberkesanan Hujah

Menurut peraturan pertandingan, Ahli Yang Berhormat hanya boleh berhujah atas fokus yang diperbahaskannya. Pastikan hujah disampaikan secara huraian yang sederhana tetapi membawa pemikiran dan falsafah yang besar sehingga mampu menarik perhatian Ahli Yang Berhormat yang sebaris, yang di baris lain, Speaker Dewan mahupun Juri Dewan.

Masa berbahas tidak banyak. Dewan hanya ada 1 jam lebih untuk bersidang dan setiap ahli hanya ada 8 minit untuk berbahas. Gunakan masa sesuai dengan hujah. Adalah rugi sekiranya hujah terhadap sesuatu fokus terlalu panjang sehingga masa banyak terbuang. Akan tetapi, adalah rugi juga sekiranya hujah terhadap sesuatu fokus itu terlalu pendek.

Pendek kata, pembahas mesti ada sifat kesederhanaan dan kewaspadaan dalam menyampaikan hujah.

Kebolehpercayaan Bukti

Setiap perkara yang dihujahkan harus disertakan dengan bukti yang nyata. Fakta yang benar dan boleh dipercayai kejujurannya lebih baik. Bagaimanapun, dalam beberapa perkara terutamanya jika wujud keterpaksaan, fakta cindai dibolehkan dengan syarat hanya untuk menarik dan mengalihkan perhatian. Bagaimanapun, seseorang Ahli Yang Berhormat mesti pandai menggunakan bukti untuk mempertahan mahupun menguatkan hujah juga memperteguh pendirian terhadap sesuatu isu.

Setiap whip dalam Dewan hanya memiliki 4 ruang bukti. Jika ada bukti tidak boleh dipercayai, bukti boleh dibangkang oleh lawan sepertimana Peraturan Mesyuarat yang sedia ada. Bagaimanapun, setelah ahli pertama dan kedua mengeluarkan 3 bukti, ahli ketiga boleh menambah 1 bukti sebagai memperkukuh pendirian dan mempertahankan usul.

Kebolehan Merumus

Rumusan atau istilah rasmi pertandingan, penggulungan, adalah tanggungjawab antara ahli pertama dan kedua dari kedua-dua belah pihak. Penggulung perbahasan mesti meringkaskan rumusannya dengan memendekkan frasa kesalahan whip lawan dan meringkaskan fokus-fokus perbahasan. Ahli ketiga tidak boleh menggulung perbahasan kerana hujahnya sendiri yang sudah melambangkan sebahagian daripada rumusan perbahasan.

Deduksi

Pembahas adalah elemen yang paling utama dalam sesebuah perbahasan. Tanpa pembahas, tiadalah perbahasan. Namun begitu, perbahasan perlu disertai dengan pengamalan prinsip dan hemahnya yang signifikan. Setiap tingkahlaku perbahasan haruslah mempunyai hemah dan profesionalismenya agar sesuatu perbahasan memberi iktibar baik kepada pembahasnya mahupun kepada yang menonton dewan itu sendiri.

Comments