Perutusan sempena Maulidur Rasul 1433

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, mari sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, hari ini, kita diberikan peluang untuk terus hidup dan seterusnya diberi peluang untuk terus mengenang jasaNya dan RasulNya SAW kepada kita semua.

إن الله وملائكته يصلون على النبي يا أيها الذين أمنوا صلوا عليه وسلموا تسليما

Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya sentiasa berselawat ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang beriman, berselawatlah dan ucapkanlah salam ke atasnya (SAW).

(Surah al-Ahzab, ayat 56)


Rasulullah, dalam mengenangmu,
kami susuri lembaran sirahmu
pahit getir perjuanganmu
membawa cahaya kebenaran...

Engkau taburkan pengorbananmu
untuk umatmu yang tercinta
biar terpaksa tempuh derita
cekalnya hatimu menempuh ranjaunya.

(Rasulullah, Hijjaz)

MENGENANG RASULULLAH SAW

Mari, tuan-tuan dan puan-puan, saudara saudari sekalian, kita mengenang Rasulullah SAW, kehidupannya dan perjuangannya sehingga lestari Islam hingga kini.

Rasulullah lahirnya dan wafatnya pada 12 Rabiulawal, menurut pendapat jumhur ulama. Cuma, lebih terhurai lagi, Rasulullah SAW diputerakan pada 12 Rabiulawal sekitar tahun 570 Masihi dan wafat pada 12 Rabiulawal sekitar tahun 632 Masihi. Hidupnya selama 63 tahun itu sudah cukup membuktikan bahawa Rasulullah SAW, Penghulu segala Nabi dan Rasul Alaihim as-Salam, Ketua Negara Madinah al-Munawwarah, sudah banyak berjihad, mempertahankan diri dan seterusnya mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT demi Islam.

Membelek lembaran Sirah Nabawiyyah, semenjak zaman pra keputeraan Baginda, kehidupan Zaman Jahiliyyah tidak memberi erti kepada kita. Di zaman yang sama, sebelum keputeraan Baginda SAW, Baginda kehilangan ayahandanya.

Merenung zaman pasca keputeraan Baginda, Baginda disusukan oleh Suwaibatul Aslamiyyah dan Halimatus Saadiah selain mendapat jagaan bondanya. Namun, sayang, bondanya turut dipanggil oleh Allah SWT ketika Rasulullah SAW. Namun, riwayat hayat Baginda tidak terhenti di situ.

Di zaman pra kenabian dan kerasulan Baginda SAW, Baginda dijaga oleh ahli keluarganya sambil diajar mengembala kambing dan berniaga. Kejujuran Baginda SAW dalam perniagaan berjaya menambat hati isteri pertama Baginda, Sayyidatina Khadijah, lalu menariknya dan Baginda SAW ke jinjang pelamin. Dalam zaman yang sama, sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW digelar al-Amin apabila berjaya menyelesaikan perbalahan antara para ketua kabilah dalam meletakkan kembali Hajarul Aswad di Kaabah.

Sejarah Rasulullah SAW juga mencatatkan bahawa Rasulullah SAW ditauliahkan oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul yang ulung dan terakhir. Maka, di pundaknya, terpikul amanah besarnya tidak tergambar untuk mewujudkan dan melestarikan Islam sehingga akhir hayat Baginda bahkan sehingga ke Hari Kiamat.

Di zaman kenabian dan kerasulan Baginda, tidak tergambar betapa hebatnya cabaran yang diterima Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam. Tetapi, Allah terus membantu Baginda untuk menyebarkan Islam sehingga akhir hayatnya.

Di permulaan kerasulan Baginda, Baginda takut mahu menemui Malaikat Jibril untuk menerima wahyu pertama dan ulung, Surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5, sampaikan Rasulullah lari berselubung di rumah. Sayyidatina Khadijah bimbang melihatkan. Turunlah pula sebahagian ayat Surah al-Muddathir.

Di zaman yang sama, Baginda terpaksa menempuh kebencian majoriti masyarakat Quraisy dalam berdakwah. Akhirnya, apabila merenung sejarah silam, dakwah Rasulullah SAW dijalankan secara sulit dahulu, barulah secara terbuka.

Di tengah kerasulan, baginda diuji dengan kehilangan orang tersayang. Baginda juga turut diuji dengan kezaliman pemerintah lain terhadapnya dan umatnya. Tetapi, Rasulullah tetap teguh di atas tapak langkahnya untuk memperjuangkan Islam. Baginda berjaya merealisasikan peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah yang turut disertai oleh para sahabat. Sejurus selepas Hijrah, puak Muhajirin berjaya bersatu dan disatukan dengan puak Ansar; juga puak Aus dengan Khazraj.

Baginda berjaya menubuhkan negara Madinah, yang kini merupakan wilayah Tanah Haram di Arab Saudi. Baginda berjaya menggubal Piagam Madinah, sebuah perlembagaan bertulis pertama di dunia selepas Perlembagaan Amerika Syarikat yang digubal selepas mendapat kemerdekaan daripada United Kingdom sekitar kurun ke-19.

Baginda berjaya melalui banyak peperangan yang melibatkan maruah Islam. Baginda juga berjaya menarik hati ramai manusia ketika itu untuk memeluk agama Islam melalui kemurnian akhlak dan ketinggian budi pekertinya. Sejarah itu telah dibuktikan sendiri oleh Sayyidatina Aisyah bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran. Bukan itu sahaja, bahkan Rasulullah SAW telah bersabda:

إني بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Baginda juga berjaya membuka semula Makkah al-Mukarramah, Tanah Haram dan Tanah Suci yang terulung di dunia, setelah ditawan oleh kafir Quraisy. Lalu, dengan kebijaksanaan Baginda, Rasulullah SAW menggazetkan Makkah sebagai wilayah bagi Madinah.

Baginda, dengan sepenuh jiwa raganya, mengorbankan diri untuk ketinggian agama Islam. Baginda sanggup mencintai sahabatnya kerana Allah. Kecintaan Baginda terhadap sahabatnya dan sahabatnya terhadap Baginda amat murni. Dengan sebab kecintaan yang ada, Rasulullah SAW tidak gentar dan terus berdaya juang mengangkat Islam ke serata umatnya.

Baginda memeteraikan kecintaannya melalui seruannya, “Ummati, Ummati, Ummati,” ketika hujung nyawa baginda. Akhirnya, Baginda tidak dapat hidup lama melainkan 63 tahun usia kehidupannya.

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
mengajar erti kesabaran
menjulang panji kebenaran
Terukir namamu di dalam al-Quran.

(Rasulullah, Hijjaz)

RENTETAN PERJUANGAN & PENGORBANAN RASULULLAH SAW

Sirah Nabawiyyah yang saya kisahkan secara ikhtisar pun sudah cukup menggambarkan kehidupan sebenar Nabi Muhammad, Rasulullah SAW.

Satu persoalan – Andai Rasulullah SAW masih ada bersama kita, apakah perasaan kita dan apakah perasaan Baginda waktu ini?

Tiada siapa dapat menggambarkan dengan sebenar-benarnya melainkan hanya mampu berharap sahaja.

Paling tidak, semua akan mengharapkan syafaat Baginda yang mulia di Hari Akhirat nanti.

Merentet sejarah Islam, kita bersyukur dan berbangga kerana jasa Rasulullah SAW diteruskan oleh Khulafa ar-Rasyidin, Khalifah Umayyah, Khalifah Abbasiyyah, Khalifah Fatimiyyah dan bermacam-macam lagi pemerintahan Islam sehinggalah ke Kesultanan Uthmaniyyah.

Dalam kehidupan kita, sudah menjadi kemestian untuk kita menghargai segala perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW. Sekurang-kurangnya dengan berselawat dan mengucap salam ke atasnya. Sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat.

Kita juga digalakkan bahkan disuruh mengamalkan sunnah Baginda SAW. Setiap pengamalan sunnah dibalas dengan 100 pahala syahid. Sedangkan satu pahala syahid pun besar, inikan 100.

Kita juga diseru agar mentaati dan mencintai Allah dan Baginda RasulNya. Firman Allah SWT:

قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم

Katakan (Wahai Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, maka kamu akan dicintai oleh Allah dan akan diampunkan dosa-dosa kamu; dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah, ayat 31)

Firman Allah lagi:


يا أيها الذين أمنوا أطيعوا الله واطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم
فان تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول


Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah; taatilah Rasul dan pemerintah dari kalangan kamu. Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah).

(Surah an-Nisaa, ayat 59)

Mencintai Allah dan RasulNya merupakan salah satu daripada tiga prinsip kemanisan iman.

Jikalau ingin bercerita tentang akhlak Baginda, amat banyak kebaikannya. Baginda penyabar, penyayang, rasionalis, adil dan segalanya yang baik, ataupun kalau boleh disimpulkan secara ringkas, Baginda itu Siddiq (jujur), Amanah (amanah), Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana).

TERIMA KASIH, RASULULLAH

Saya mengajak diri dan semua untuk berterima kasih kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang berterima kasih kepada Rasulullah, sebenarnya dia sedang mensyukuri Allah. Sesiapa yang mensyukuri Allah, bererti dia mensyukuri dirinya sendiri.

Ramai antara kita yang leka dan lalai sampai terlupa pesanan Rasulullah SAW dan jasa Baginda kepada kita. Jadi, apa salahnya, sekali sekala, terutamanya sempena memperingati Keputeraan Rasulullah SAW, kita berterima kasih kepada Baginda melalui selawat dan salam ke atasnya.

Kepada yang banyak menerima didikan agama, mari anda semua dan diri saya, kita gunakan ilmu agama yang ada dan dihayati serta diaplikasi untuk berterima kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW dengan selawat dan salam, mengamalkan ajaran Baginda, memupuk sifat dan akhlak Rasulullah SAW dan terus menyebarkan agama dan ilmunya yang berharga.

Bagi yang meminati bahasa Arab dan seni Islam, saya menggalakkan anda semua untuk menghayati Sirah Nabawiyyah melalui kita Mawlid al-Barzanji atau kitab Mawalid wa Ad’iyah karya Jaafar al-Barzanji. Nampak seperti kitab yang hanya dibaca ketika majlis perkahwinan atau majlis cukur jambul atau majlis pasca berkhatan seseorang budak. Namun begitu, banyak bentuk selawat dan salam dalam kitab itu kita boleh dendangkan.

Saya orang yang mencintai seni. Jadi, bagi saya, tidak salah kepada kita semua, bahkan digalakkan lagi melagukan selawat kepada Baginda SAW asalkan kita dapat menjiwai kata-kata itu seperti kita mendepani dan menemui Baginda.

Andai Rasulullah SAW masih ada, saya akan meminta motivasi dari Baginda tentang kehidupan dan saya hanya meminta kasih sayang Baginda melalui syafaat Baginda yang mulia di Hari Akhirat kelak. Soalan yang sama dengan frasa yang sama ditujukan kepada diri anda semua.

Semoga peristiwa Maulidur Rasul SAW dan Sirah Muhammadiyyah ini memberi banyak kesan dan iktibar kepada kita semua, dan semoga rasa cinta kita pada Baginda SAW tidak terbatas setakat hari Maulidur Rasul sahaja, tetapi berterusan untuk selamanya.

صلاة الله سلام الله
على طه رسول الله
صلاة الله سلام الله
على يس حبيب الله
صلاة الله سلام الله
على يس حبيب الله

Salam Maulidur Rasul SAW buat seluruh umat Islam, khasnya buat keluarga saya, guru-guru saya dan sahabat-sahabat saya yang dikasihi.

Salam hormat, terima kasih dan Wassalam.

AWANG ABDUL MUIZZ
4 Februari 2012.

Comments