Perjalanan Bermula pada Dinihari

Waktu itu, seawal jam 4.30 subuh, belum Subuh pun, sudah aku bangkit dari peraduan.

Berkhidmat untuk diri. Akhirnya seperti yang aku rancangkan. Tuhan, segala puji dan syukur ke atasMu.

Ya Rasulullah, selawat dan salam jua untukmu.

Solat Subuh ku tunaikan sendirian selaras dengan waktunya yang sudah masuk.

Sekitar 5.30 pagi, aku meninggalkan rumah. Takut aku terlepas berarak bersama beribu yang lain untuk mengingati jasa dan budi Rasulullah SAW.


Perjalanan Bermula pada Dinihari

Aku keluar rumah terus ke perhentian bas, tak jauh dari rumah.

Aku berjalan seolah-olah waktu masih malam walhal fajar sadik sudah muncul di ufuk sana. Tak lama lagi, mentari akan bersinar kembali - dengan izinNya.

Aku sangka tiada yang akan membawaku ke sana ke mari melainkan jika jarum jam sudah menuding ke nombor 6. Aku menyeberang seberang jalan dalam keadaan serba kehitaman. Lampu lebuhraya belum bertegak, bernyala apatah lagi.

Aku cuba jua menyeberang dua batang jalan empat lorong. Aku seperti menyeberang lohong hitam. Biarlah. Aku sampai jua ke sana akhirnya.

Tak lama selepas itu, ada yang berhenti. Dia sudi membawaku ke bandaraya sana, setengah jam jauhnya. Tapi, aku hanya akan tiba sana lebih dari setengah jam tapi kurang dari sejam.

Biarlah.

Aku berseorangan di dalam bas. Aku bersenandung sendirian - harus - supaya aku sedar hari ini aku menggembirakan ulangtahun keputeraan Ketua Negara Madinah, Rasulullah SAW, Penghulu segala Nabi dan Rasul Allah, juga mengingati jasanya.

Ku membaca Selawat Adnaniyyah. Puitisnya selawat ini. Beginilah.
Berkat Allah untukmu, wahai Adnan
Wahai yang terpilih, wahai yang ikhlas dan pengasih
Segala puji bagi Allah yang mengurniakanku
anak lelaki yang baik akhlaknya dan sifatnya.
Semoga Allah terus merestui kita sepertimana restunya Allah kepada Muhammad SAW dan keluarganya dan sahabatnya.

Bersenandung ku sendirian dengan senandung yang varian sehinggalah tiba di bandaraya. Penumpang naik dan turun silih berganti.

Aku sampai jua akhirnya di kala matahari sedang naik. Tapi, langit masih kebiruan gelap.

Aku terus mendapatkan kereta sewa membawaku hingga ke Padang Merdeka. Menurut pemandu, ramai sudah orang di situ. Sejejak aku di situ, sudah ramai orang di sana.

Sampai jua akhirnya.

Permulaan Mentari di Padang Merdeka

Seperti yang aku hajatkan kepada guruku, aku terus menuju menemui sebuah kontinjen. Waktu itu, mentari baru mahu memancar.

Yang ada di sana, Ustaz Shariful Bahri dan Ustaz Yassir. Tuan Pengetua Kassim datang kemudian. Itulah pertama kali aku bertemu dengan Ustaz Kassim semenjak kepengetuaannya di situ.

Kepada yang keseluruhan, saya hanya mampu melambai, kecuali Faliq - bersalaman - kebetulan dia membawa sepanduk sekolahnya, Sekolah Tun Ahmadshah.

Kompang berbunyi. Aku terus menuju ke pentas utama. Aku duduk di baris kedua kerusi biasa, kedudukan tengah.

Rupanya, ada seorang ustaz lagi aku jumpa. Ustaz Zaki.

Bersama Pemimpin

"Duduklah, mari." Aku langsung mendapatkan tempat duduk. Protokol ketika itu dilonggarkan sedikit.

Beliau itu Pengarah JAKIM Negeri Sabah. Orang Shah Alam, Selangor. Pernah duduk kerusi yang sama di Sarawak dan pernah dipinjamkan oleh JAIS Selangor sebagai pegawai kanan agama.

Aku masih ingat itu. Aku bertemunya pertama kali ketika menghadiri sambutan Hari Guru di SMKA Kota Kinabalu. Beliau mengimamkan solat Isyak dan Hajat, manakala aku mengimamkan solat Maghrib sebelum Ustaz Amir meneruskan majlis yang mengandungi acara bacaan Yaasin dan Tahlil.

Beliau nampak seperti seorang imam biasa. Melihat dirinya yang sebenar, boleh jadi orang sukar kenal bahawa beliau adalah beliau yang sebenar. Telefon bimbit pun tidak semewah mana. Modelnya sama seperti ibuku punya telefon bimbit. Kalau Pengarah lain ke atas, lihatlah, bermewah sahaja.

Jadikan aku seorang yang zuhud, ya Allah. Kalau tidak, cukuplah Kau jadikan aku dari kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur...

Aku masih ingat beliau bersuara mengenai personalitinya. "Saya ini, orang cakap, kalau bagi ceramah, tak sistematik." Tetapi, beliau tidak pernah mempeduli, asal ilmu yang ingin disampaikannya, sampai kepada pendengarnya.

Dijemput dia ke hadapan - layak dia ke sana menurut protokol - pun dia tidak mahu. Dia suruh orang lain duduk dahulu. Beliau tidak menghendaki.

Kedudukannya, biarlah Allah tahu sebenar-benarnya. Subhanallah.

Tuan Gabenor Negeri tiba pada jam 7.30 pagi bersama paluan kompang. Aku terus duduk sampai perarakan bermula selepas persembahan nasyid.

Berarak sambil Mengingati Rasulullah

Kami mendahului perarakan. Kontinjen VIP dan orang awam biasa, katakan. Kontinjen ini sahaja sudah sekitar seribu manusia. Inikan 99 kontinjen yang di belakang, berjumlah lebih dari 9 000 orang.

Selawat tidak selalu dapat dikumandangkan. Aku lihat ramai yang bercerita lagi ada. Tapi, asal ada selawat bersenandung, aku tidak tinggal menyertainya. Selawat dikumandangkan di 3 tempat yang berbeza dengan menggunakan pembesar suara Jabatan Penerangan, dikendalikan oleh warga Sekolah Toh Puan Rahmah.

Perarakan 3.2 kilometer berakhir sekitar jam 8.45 pagi. Jalan hanya kosong selepas jam 10.00 pagi.

Kontinjen Sekolah Tun Ahmadshah - jauh di belakang aku, jauh dan jauh lagi - tiba di perkarangan Masjid Negeri sekitar jam 9.15 pagi.

Setibanya aku di sana, aku yang mengiringi Ustaz Zaki terus duduk di kerusi putih. Khemah saya betul-betul belakang khemah utama.

Sebelum itu, di tengah jalan, ada tadi Pak Hj. Samin bersama. Dia mengetuai PIBG di SMKA Kota Kinabalu, sekolah saya.

Aku pula sibuk mengambil gambar. Ada sudah di pustakaku aku arkibkannya.

Sebentar di Kemuncak Acara


Aku sibuk mendengar segala ucapan, perutusan dan ceramah dalam majlis zikir itu. Aku seperti para hadirin yang di sebelah sini.

Budak-budak Sekolah Tun Ahmadshah, yang aku kasihi dan segani, pulang terlebih dahulu.

"Tadi, di padang, ramai betul. Sampai sini, masih ramai, tapi ramai juga yang sudah pulang awal," kataku kepada Ustaz Zaki.

Tetapi, saya membiarkan sahaja itu semua berlalu. Biarlah. Kalau sedih atas sebab itu, sendirianlah aku.

Yang aku catat hari ini - ucapan, perutusan Gabenor, ceramah khas, keputusan - aku arkibkan, macam minit mesyuarat.

Aku ingat itu. Ustaz Ismail, penceramah khas, memberi ingatan dengan bersungguh-sungguh kepada para hadirin agar tidak sama sekali berpecah belah. Bersahaja sungguh ceramahnya. Langsung pendengar mengerti dan memahami. Mensyukuri sekali.

Ya. Nama-nama tokoh diiklankan secara lisan. Nama-nama agensi dan pertubuhan turut diumumkan sama ada sebagai pemenang sepanduk terbaik, perarakan terbaik atau kontinjen teramai.

Kepada yang menang, syukur, Alhamdulillah - itu semua kurniaan Allah. Tapi, janganlah kiranya kemenangan dahulu dikejar. Motif esensi sambutan ialah mengingati Rasul SAW dan menghargai jasa dan budinya. Selain itu, motifnya ialah untuk mewujudkan persefahaman dan memantapkan ukhuwah. 1 Malaysia 1 Ummah.

Aku berseorangan sahaja pulang, sepertimana datangku ke majlis tadi pagi, ketika mentari baru mahu menyinari untuk hari yang berikutnya dengan kuasaNya.

Aku sangka ada teman. Teman yang diajak menempuh rintangan, terhalang mereka untuk datang. Tapi, biarlah Allah mendengar niat mereka. Pasti Allah akan mengabulkannya.

Aku pulang sendirian, sambil diiringi senandung ini:

Ucapan salam, ungkapan sejahtera adalah seelok penutup
Buat kalian, wahai para kekasihku yang mulia.

Dengan mengingat mereka, ku rasa ketenteraman
dan cahaya bagi kami di antara manusia sejagat.
Demi Allah, engkau bertakhta di kalbuku
dan kamu sekelian adalah maksud dan tujuanku.

Maka, tidakkah kau mencintaiku sesucinya
dan tidakkah jua kau berikan padaku darjat yang mulia?
Aku adalah pembantumu, wahai orang-orang yang mulia
dan ketika mendekatimu, di situlah ubat dan kesembuhan untukku.

Bila hati terdengar nama orang yang dikasihi,
demi Lembah ‘Aqiq serta negeri itu,
riang nian hati ini laksana dahan pokok yang bergoyang
dan akan bergetar kerana rindu dan cinta.

Aku bermohon, ya Allah, saksikanlah kerana Engkaulah Maha Penyaksi.
Semoga Engkau membantuku, Tuhan, memperbaiki diriku menjadi orang yang bersyukur...

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
5-6 Februari 2012.

Comments