Orang Islam Haram Sambut Hari Valentine

Saya menyeru diri saya dan semua umat Islam agar tidak menyambut Valentine's Day (Hari Valentine atau Hari Kekasih, dalam istilah lain) kerana hukum menyambut Valentine's Day adalah haram berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada kali ke-71 pada 22-24 Mac 2005.


ALASAN PEMFATWAAN


Fatwa dikeluarkan berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang berikut:

Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.
(Hadis Riwayat Abu Daud)


Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.
(Hadis Riwayat as-Syaikhani)

Sejarah Hari Valentine tidak pernah wujud dalam Islam. Sejarah Hari Valentine hanya wujud dalam Kristian.


Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Hari Valentine kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam.

SAINT VALENTINE DAN HARI SAINT VALENTINE


Saint Valentine (dari Rom, Itali) merupakan adalah seorang daripada 14 orang paderi yang dikorbankan. Menurut agama Kristian, tarikh 14 Februari merupakan hari pengkebumian mayatnya setelah beliau meninggal dunia di Rom, Itali.

Untuk pengetahuan semua, tarikh sebenar Hari Valentine menjadi khilaf penganut agama Kristian kerana hari Valentine disambut oleh penganut Kristian Roman Katolik pada setiap 14 Februari, manakala penganut Kristian Ortodoks Timur menyambutnya pada 30 Julai. Penganut Kristian Ortodoks dari kalangan orang Greek pula tidak menentukan tarikh khusus sambutan ini.

Secara tuntasnya, yang dapat saya fahami ialah Hari Valentine (nama penuhnya ialah Hari Saint Valentine) adalah Hari pesta bagi penganut Kristian antarabangsa sebagai meraikan kematian Saint Valentine yang lebih sinonim dengan cinta. Rentetan Saint Valentine disinonimkan dengan cinta, maka orang yang menyambut Hari Saint Valentine akan meraikan hari ini sebagai hari yang khas dan satu-satunya untuk menyatakan cinta, kasih dan sayang, terutamanya kepada kekasih yang dicintai.

Hari Valentine memang disambut di kebanyakan negara terutamanya negara yang majoriti penduduknya menganut agama Kristian. Tetapi, Hari Saint Valentine tidak pula dijadikan cuti umum di sesebuah negara.

CINTA, KASIH DAN SAYANG MENURUT ISLAM


Cinta, kasih dan sayang itu ada sepanjang masa. Tinggal lagi cara kita mengecap cinta, menerima cinta, menolak cinta atau hidup dalam keadaan serba kecintaan.

Cinta dalam Islam pernah dipuisikan dan dilagukan oleh Raihan seperti berikut:

KASIH SAYANG

(i)

Kasih sayang itu titi
Kasih sayang penghubung hati.
Kasih sayang itu tali
Kasih sayang pengikat diri.

Dari kasih timbul simpati
Dengan sayang ada persaudaraan
Kerana kasih ingin berbakti
Saling sayang, maaf memaafkan.

Kasih sayang itu baja
Kasih sayang penyubur jiwa
Kasih sayang itu penawar
Penguat cinta penghapus duka

Kasih manusia sering bermusim
Sayang manusia tiada abadi...
Kasih tuhan tiada bertepi
Sayang Tuhan janjinya pasti.

Tanpa kasih sayang Tuhan
tiada simpati tiada persaudaraan
Tanpa kasih sayang Tuhan
tiada bakti tiada kemaafan

(ii)

Kasih sayang itu titi
Kasih sayang penghubung hati
Kasih sayang itu tali
Kasih sayang pengikat diri

Kasih sayang pada semua
Kasih sayang sesama kita
Kasih sayang oh dunia
Moga selamat di akhirat sana.

Raihan
(Demi Masa, 2001)


Dalam al-Quran, terang-terang Allah wahyukan kepada Rasulullah SAW bahawa Allah itu Maha Penyayang.

(Allah) Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(Surah al-Fatihah, ayat 3)

Dalam al-Quran jua, Allah menerangkan tentang kasih sayang sesama pelbagai pihak, seperti antara ibu bapa dengan anak, sesama ahli keluarga, antara pelajar dengan guru, sesama sahabat, sesama pasangan berkahwin dan sebagainya. Islam itu syumul (menyeluruh). Jadi, Allah dalam al-Quran, dan Rasulullah SAW dalam Hadisnya telah menerangkan tentang kasih sayang secara terhurai, padat dan lengkap.

Katakanlah (wahai Muhammad), "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah,) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Ali Imran, ayat 31)

Ayat di atas menunjukkan syarat untuk mencintai Allah dan RasulNya. Untuk mencintai Allah, umat Islam mesti ikut ajaran Allah dan RasulNya SAW. Mencintai Rasulullah SAW bererti mencintai Allah SWT.

Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus.
(Surah al-Hujurat, ayat 7)

Ayat di atas pula membuktikan bahawa Allah itu menciptakan cinta melalui kewujudan iman. Orang yang kuat iman pasti mencintai perkara-perkara kebaikan dan membenci untuk melakukan kemungkaran. Perkara ini bertepatan dengan Hadis Rasulullah SAW mengenai Halawatul Iman (Kemanisan Iman):

Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.
(Hadis Riwayat asy-Syaikhani)

Satu bukti lagi mengenai kasih sayang ada dalam ayat al-Quran ini.

Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam dan sebaiknya bersikap) kasih sayang serta berkasih sayang sesama mereka (umat Islam).
(Surah al-Fath, ayat 29)

Ayat ini menggambarkan bahawa umat Islam adalah umat yang berkasih sayang.

KESIMPULAN

Kasih sayang dan cinta tiada dikhususkan harinya dalam Islam. Maka, mari, kita syukuri cinta, kasih dan sayang yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Banyak cara kita boleh meraikan rasa cinta, dari perkenalan sehinggalah ke tahap seseorang mendoakan seseorang yang lain. Semua itu boleh berlaku dengan wujudnya cinta, kasih dan sayang yang Allah ciptakan kepada kita semua.

Sambutan ini dilarang disambut oleh umat Islam agar akidah umat Islam tidak tergugat memandangkan sambutan ini berkait rapat dengan soal akidah.

Demi Allah, saya sayang kamu semua. 

Saya hidup kerana kasih sayangNya dan kasih sayang semua. Terima kasih, semua. Terima Kasih Allah.

Comments