Andai Saya Menciummu, Sahabat...

Telah diterbitkan pada 12 Februari 2012 sebagai "Mencium Sahabat" dan diterbitkan semula dengan perubahan.

Sahaja saya menuliskan perkara ini untuk memberi penerangan kepada semua mengenai amalan seseorang mencium seseorang yang lain. Ada dalam kalangan masyarakat di sesetengah kawasan yang mengamalkan perkara ini bergantung kepada keadaannya, terutamanya di Timur Tengah.

Asas hukum cukup mudah. Pertama, setiap perbuatan hukumnya harus sehinggalah ada dalil yang meletakkan hukum lain bagi sesuatu perbuatan. Kedua, hukum bagi setiap perbuatan akan berubah mengikut tujuan perbuatan tersebut (Al-Jubayr, 2008).

Adapun hukum bagi amalan seseorang mencium seseorang yang lain berbeza mengikut keadaan dan dalil. Yang pasti, hukum seseorang mencium seseorang yang lain yang berbeza jantina tanpa ikatan yang sah seperti ikatan kekeluargaan dan perkahwinan atas apa-apa alasan sekalipun adalah haram kerana amalan ini tergolong dalam perbuatan zina. Hukum ini jelas dalam al-Quran (17:32).

Saya khususkan penulisan ini kepada amalan seseorang mencium sahabatnya sahaja. Ini pun setelah merujuk kepada Taha (2009) yang memberi butiran yang amat terhurai dan terperinci mengenai amalan ciuman ini. Sila baca lanjutan tersebut daripada beliau sendiri.

Adapun hukum bagi amalan seseorang mencium sahabatnya adalah bergantung kepada niat. Hukumnya haram sekiranya ada niat yang menjurus kepada amalan nafsu terbalik (LGBT). Pun begitu, sekiranya amalan tersebut hanya bersifat untuk meraikan kasih sayang dan perhormatan dalam lingkup persahabatan dan persaudaraan, hukumnya harus.

Rasulullah SAW sendiri diriwayatkan pernah mengamalkan perkara tersebut, seperti yang tercatat dalam hadis berikut:

Sesungguhnya Nabi SAW mencium Zaid bin Harithah RA ketika tiba di Madinah selepas memeluknya.
(Hadis Riwayat Tarmizi, tarafnya Hasan Gharib.)

Sesungguhnya Nabi SAW mencium sepupunya, Saidina Jaafar bin Abi Talib RA di antara kedua belah matanya.
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Sesungguhnya Nabi SAW mencium Saidina Abu Bakar RA selepas memeluknya di sisi Saidina Ali RA dan para sahabat RA yang lainnya.
(Hadis ini dinaqalkan oleh Ibnu Abid al-Ansari dalam kitab al-Majmu'.)

Hadis-hadis tersebut menunjukkan bahawa amalan seseorang memeluk saudaranya yang lain di samping menciumnya dikira sebagai sunnah (Taha, 2009) secara perbuatan yang menjurus kepada kasih sayang Rasulullah SAW dan para sahabat. Seperkara yang harus diingat adalah kasih sayang adalah amalan mereka yang Allah SWT abadikan dalam al-Quran (41:29).

Adapun timbulnya dua hadis lain yang memperkatakan amalan sedemikian.

Rasulullah SAW ditanyakan, “Wahai Rasulullah, adakah harus seseorang itu bongkok tunduk kepada saudaranya?” Baginda menjawab, “Tidak.” Lelaki itu bertanya lagi, “Adakah mesti seseorang itu memeluk dan menciumnya?” Baginda menjawab: “Tidak.” Lelaki itu kemudian bertanya lagi, “Adakah seseorang itu mengambil tangan saudaranya dan hanya bersalaman sahaja dengannya?” Baginda menjawab: “Ya.”
(Hadis Riwayat Tarmizi, bertaraf Hasan.)

Menurut Taha (2009), hadis ini telah dilemahkan oleh Imam Ahmad dan al-Baihaqi seperti yang dinaqalkan oleh al-Iraqi di dalam kitabnya al-Mughni. Di dalam sanadnya, ada seorang perawi yang bernama Hanzalah. Imam Ahmad, Nasa’i dan Ibn Mai’n telah menetapkan bahawa lelaki tersebut adalah ‘Dhaif’ (lemah). Imam Ahmad menambah dengan katanya: “Sesungguhnya (Hanzalah) meriwayatkan banyak hadis yang Mungkar, maka jangan beramal dengan hadisnya.” Maka gugurlah hadith ini.

Pun begitu, sehingga ke saat ini, masih ada lagi berlaku khilaf (perbezaan pendapat) antara Ulama dan mengikut Uruf dan Adat (budaya masyarakat setempat). Sebab itulah, hukum bagi permasalahan ini pelbagai, itu pun setelah disandarkan kepada sebab tertentu dan menurut dalil-dalil yang tertentu. Terpulang kepada mereka yang layak untuk berijtihad berdasarkan kelayakan dan setakat yang dibenarkan. Terpulang juga kepada yang lain untuk berpegang dengan mana-mana pendapat selagi tidak bercanggah dengan Syarak.

Saya faham sekiranya amalan seseorang mencium seseorang yang lain akan memberikan pelbagai kesan. Kita bimbang sekiranya amalan ini menjurus kepada fitnah. Sebab itulah, pertama, amalan ini perlu dilakukan dengan pengetahuan dan berhati-hati, dan bukannya melakukannya tanpa sandaran semata-mata. Kedua, masyarakat sekeliling perlu tahu dengan jelas perkara ini supaya dapat difahami.

Kesimpulannya cukup mudah. Jatuhnya hukum bagi amalan sedemikian rupa sebenarnya jatuh bersama-sama hukum berjabat tangan, berpegangan setakat yang dibenarkan dan berdakapan. Rasulullah SAW menerusi sunnah-sunnah Baginda berjaya menerakan kepada umum bahawa Islam itu indah dan mudah. Amalan ini cukup mudah bagi memberi maksud menyebarkan kasih sayang sesama umat. Cuma, yang harus diberi perhatian adalah pengetahuan umum mengenai perkara ini, dan prinsip agar dijauhkan keburukan.

Wa Allahu a'lam.

Comments

Post a Comment