Keranamu Ku SyukuriNya

“Terima kasih, sahabatku.”

Seorang Zaim masih ingat bahawa dia pernah mendakap erat sahabatnya yang tercinta dan yang dihormati, Rais, di saat perpisahan mereka. Zaim takut kalau-kalau sebuah ciuman itu disalah erti. Takut dibilangnya nanti itu fitnah walhal yang sebenarnya sebaliknya.

Zaim pernah membaca tazkirah tentang ciuman. Akhirnya, jawapan sebenar ditemui setelah mutiara Sunnah Rasul SAW dicanai di tengah pantai menuntut ilmu. Mencium sahabat itu sunnah, hukumnya harus jika ingin menunjukkan penghormatan atau rasa syukurnya atau ucapan terima kasihnya kepada seseorang. Namun, sunnah itu boleh jadi haram andai sahaja timbul nafsu terbalik.


Mujur pertemuanku ketika itu, nafsu terbalik itu tiada. Takut aku.

Zaim beruntung mempunyai sahabat seperti Rais.

Musahabah itu sebenarnya sudah lama, tetapi bisa dikemaskini akhirnya pada tahun 2010.

Pertemuan pertama Zaim dengan Rais ialah pada 2007. Zaim anak Barat Wilayah, Rais anak Timur Wilayah.

Zaim masih ingat bahawa dia bersama kawan yang lain – di kala musim gila IT – memilih Rais untuk mengetuai Urusetia Buletin Kelab IT di sekolah mereka, Sekolah Bukit Padang.

Rais – setelah dipilih – berpesan kepada Zaim agar membantunya melicinkan deskripsi tugas. Bagaimanapun, hasrat itu tinggal hasrat. Zaim dipindahkan oleh bondanya ke Sekolah Kalansanan.

Bagaimanapun, Zaim tidak lama di sekolah sana. Zaim perlu menerima hakikat bahawa dia hanyalah seorang pelajar Sekolah Bukit Padang yang menjadi diplomat di Sekolah Kalansanan. 2010, Zaimlah seekor itik yang pulang di petang hari dan dialah setepak sirih yang pulang ke ganggang.

Kepulangan Zaim secara kolektifnya tidak disenangi seolah-olah seteru datang menceroboh. Sedangkan seteru pun dilayan laksana menteri negara, takkanlah orang biasa dilayan macam seteru. Tapi, itu hanya sangkaan. Sangkaan.

Tiba-tiba fikirannya teringat pada seorang Rais.

Rupanya, Rais bersyukur kepadaNya kerana Zaim dipulangkan semula ke Sekolah Bukit Padang pada September 2010. Rais menunggu orang baru yang akan memimpin Bahasa Dhad di sekolah asalnya, lalu suara majoriti yang dipimpin oleh Rais, dalam sidang agung tahunan pada Februari 2011, memilih Zaim sebagai Ketua Umum Bahasa Dhad sekolah.

“Buat kerja bagus-bagus, Zaim,” pesan Rais yang menyandang posisi Timbalan Premier sekolah.

Tapi, Zaim seperti rugi. Hubungannya dengan Rais dibiar begitu sahaja.

Sampailah suatu saat, Zaim dimanfaatkan oleh Rais untuk Bahasa Arab.

Zaim boleh mengira bilangan kekerapan Rais memohon untuk bersamanya belajar Bahasa al-Quran itu. Sedih. Kadang-kadang masa Rais penuh. Maklumlah, seorang Timbalan Premier Sekolah ada banyak urusan. Kadang-kadang masa Zaim penuh. Zaim itu orang biasa, tetapi orangnya, di kala menduduki kerusi Ketua Umum Bahasa Arab itu, turut sibuk.

Mungkin Zaim boleh mengira kekerapan tuntutan dan kekerapan pertemuan bersamanya. Tetapi, boleh jadi sukar kerana tiadalah sistematiknya waktu multaqa’ itu.

Tetapi, semakin hari Zaim bertemu Rais untuk Bahasa Arab, semakin sayang Zaim terhadap Rais. Nampak hubungan guru dengan pelajar itu akrab walaupun sebenarnya Zaim adalah sahabat Rais dan sebaliknya.

Sekurang-kurangnya, bagi Zaim, adalah galang ganti Kamal. Benar, Kamal masih bernyawa di atas dunia. Semakin hari, semakin sibuk. Maklumlah, Kamal, di Sekolah Kalansanan, adalah Pengurus ICT – walhal penuntut. Bagi Zaim, semoga Kamal ditinggalkan berilmu dan menerima ilmu Zaim, dan semoga pula Rais menjadi ganti bagi Kamal yang ditinggalkan. Biarlah, yang patah tetap tumbuh, yang hilang tetap berganti.

Berkata Zaim sendirian, “Ya Tuhanku, gantikanlah yang hilang, tumbuhkan yang telah patah.” Sebab Zaim masih sayang Kamal – sahabatnya.

Zaim masih ingat bahawa Rais adalah antara yang selalu mengambil berat hal Zaim, terutamanya di hari-hari akhir kebersamaan. Waktu itu sudah dalam zaman peperiksaan Sijil Pelajaran. Zaman SPM itu sekali, jadualnya pula 4 minggu.

Waktu itu, bahkan beberapa bulan sebelum jadual berjalan, Rais amat memerlukan Zaim. Zaim sedikit sebanyak berjaya menunaikan permintaan Rais sebaik mungkin.

Zaim pernah duduk semeja dengan Rais dan pengawasnya yang lain, buat latihan sama-sama.

Zaim, lanjutannya, bersyukur mempunyai orang sebegini. Zaim mahu jua lihat Rais berjaya.

Rais pula terus menggalakkan Zaim untuk terus menceburi minat dan kesukaannya. Bahasa Arab bahasa Syurga.

Tugas keguruan Zaim terhadap Rais berakhir 18 hari sebelum 2012. Tamat.

Zaim minat untuk mensahabati Rais bukan setakat kerana dirinya yang memimpin sekolah, tapi kerana tahu dirinya dan keluarganya; ingin menyemai kebaikan yang dia ada; dan ingin mencontohinya dalam beberapa perkara.

Hari-hari akhir Zaim dan Rais berada di Sekolah Bukit Padang, Zaim amat bersyukur kepada Allah kerana dapat mensahabati Rais. Selain Rais, ada 13 orang lagi rakan sekolahnya ditarafkan sebagai sahabat.

Zaim – di sepanjang kewujudannya di Sekolah Bukit Padang – tidaklah terlalu rapat dengan Rais. Rais ada sahabatnya lagi yang lebih dekat dengannya. Tetapi, Zaim dan Rais saling dekat kerana hubungan keilmuan. Lantas, Zaim bersyukur kepada Allah kerana mempunyai sahabat seperti Rais dan 13 lagi. Pendek kata, kerana adanya Rais, Zaim merasa bersyukur kepadaNya. Allah Maha Kaya dan Allah Maha Pengasih. Rasa kasihNya kepada manusia memungkinkan Zaim mensahabati Rais.

Rabitah ilmiah itu amat dekat dalam musahabah.

Zaim sangka hari itulah – hari ke-13 dalam Disember – pertemuan akhirnya dengan Rais. Rupanya, 4 hari sebelum tahun baru, Zaim bertemu lagi dengan Rais.

Rais yang berumah di Ketiau, bekerja di Ibu Negeri.

Zaim masih dapat mendekatinya, Rais, walaupun untuk seketika. Kata hati Zaim, “Lepas ini, carilah
Rais yang serba hitam untuk dipertemu denganku atau sahabatku yang lain.”

Sementelahan itu, Zaim kagum akan rezeki Allah yang diterima oleh Rais. Kata Zaim, “MasyaAllah, murahnya rezeki kau.”

“Aku cuba-cuba sahaja ini, tapi dapat pula.”

Kali berikutnya, disangka Zaim, itulah terakhir kali dia bertemu Rais. 2 hari di ambang hari yang haram bagi Islam – haram orang Islam menyambutnya, Hari Saint Valentine, Zaim temui lagi Rais. Biarlah, walaupun seketika.

Sebenarnya, Zaim mahu berterima kasih kepada Rais kerana Rais itu sahabatnya. Betapa sucinya kasihMu, Tuhan.

Zaim masih ingat. Pada 13 Disember, 28 Disember dan 12 Februari, Zaim pernah mendakap dan mencium pipi Rais sebagai menghormati dan menyayanginya, menurut sunnah Nabi SAW dan adat orang Arab. Zaim harap Rais masih mengerti.

Itulah cerita seorang Zaim dan Rais. Cukuplah untuk mengubat kerinduan dan kesedihan dengan mengenang lembaran sejarah lama yang telah terarkib sejak 20 tahun lalu. Aku mewarisi kisah sejarah ini di kala mereka berdua dan 13 lagi entah ke mana bertebar ke serata dunia. Kalau dimohon pencarian kepada Ketua Hakimku, boleh-boleh saja mereka diisytihar sebagai telah mati. Semoga Allah mempertemukan lagi aku dengan mereka.

Sebab aku pun pernah menempuh sejarah yang hampir sama dengan mereka berdua dan 13 lagi. Aku seperti sudah ketiadaan mereka lagi untuk disahabati biarpun aku masih beristeri, berayahbonda, beranak dan bercucu; dan biarpun aku yang sudah berumur 38 tahun sudah menduduki takhta Negeri sebagai Gabenor Negeri, wakil Raja di wilayahku. Viceroy dalam bahasa antarabangsa.

KeranaMu, ya Allah, aku sayang mereka. Saksikanlah, ya Allah, kerna Engkaulah Maha Penyaksi.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
15-16 Februari 2012.

Comments