Tips untuk Berjaya

Artikel ini asalnya ditulis daripada kemaskini status Facebook milik guru saya dari SMKA Sheikh Hj. Othman Abdul Wahab, Kuching, Sarawak; Ustazah Habibah Mohamad Suhai; pernah mengajar di SMKA Tun Ahmad Zaidi.


Semua tulisan yang ditebalkan melambangkan pesanan guru saya ini.


Saya cuba berkongsi pesan-pesan guru ini dan cuba menghurainya sedikit tentang tips orang yang berjaya. Tips ini juga sesuai dalam mencari sahabat dan mengekalkan persahabatan atas nama ilmu dan kerana Allah, terutamanya ketika dalam pengajian.

  1. Berkawan dengan orang yang telah atau sedang berjaya dalam ilmu duniawi mahupun ukhrawi.
    Baik benar kalau kita berkawan dengan orang yang telah atau sedang berjaya dalam ilmu duniawi mahupun ukhrawi, kerana atas ilmu, kita berkemungkinan ada kemampuan untuk berjaya atau menjadi yang sedang berjaya sepertinya. Dengan ilmu, kita berkongsi, kita saling bersaing secara sihat dan kita manfaatkan dan aplikasikan bersama.
  2. Berkawan dengan orang yang mencungkil kekuatan diri, bukan kelemahan.
    Pada kelaziman, orang yang lebih kuat lebih disahabati dan dicontohi daripada orang yang lebih lemah.
  3. Berkawan dengan orang yang mampu menjadi cermin kerana cermin akan melantun kelebihan atau kekurangan secara berdepan, bukan mengumpat di belakang sepertimana pesan Nabi kita SAW, "Seorang mukmin adalah cermin kepada saudaranya."
    Memang patut seorang mukmin itu menjadi cerminan mukmin lain. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW, "Kamu adalah sahabat kamu." 
  4. Memberi atau menyampaikan, bukannya menjadi peminta.
    Agama Islam melarang kita meminta-minta. Minta sekali akan sesuatu, itu kelaziman. Tetapi, amalan meminta-minta melambangkan seseorang itu berputus asa atau terus malas dengan usahanya. Pepatah Arab pun sudah mengatakan, "Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima)."
  5. Mencari peluang untuk sentiasa menolong atau menambah kebaikan kerana Allah tidak menjadikan kita miskin dengan pemberian itu.
    Sifat seorang Muslim yang Mukmin sebenarnya adalah suka tolong-menolong. Al-Quran sendiri sudah menyebut, "Bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam kedosaan dan pencerobohan."
  6. Hargai apa jua pertolongan atau pemberian orang sekalipun ianya kecil mahupun sedikit.
    Hal ini demikian kerana, Allah suka orang yang bersyukur. Firman Allah, "Sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia mensyukuri dirinya sendiri." Tambahan pula, orang yang bersyukur bererti dia menjaga perhubungan dan persahabatan kerana pada kelaziman, orang yang memberi dihargai dan disahabati oleh orang yang ikhlas dalam persahabatannya dan menjaga persahabatan itu kerana Allah.
  7. Sentiasa mengajar orang kerana ilmu itu semakin kita ingat.
    Islam adalah agama ilmu. Islam ini berkesinambungan kerana ilmu. Oleh itu, untuk melestarikan Islam dan kemajuannya, adalah penting bagi umat Islam untuk menuntut ilmu dan menyampaikannya semula dan mengaplikasi serta mengamalkannya. Orang yang mendedikasikan ilmu, menurut hadis Nabi SAW, menerima pahala berterusan walaupun sudah meninggal dunia, selagi diamalkan dan disampaikan terus.
  8. Jangan sangka buruk.
    Hal ini demikian kerana, sangkaan buruk daripada kita biasanya dipulangkan kepada diri kita, bukan orang yang diberi sangkaan buruk. Allah lebih menggalakkan sangkaan baik.
  9. Minta rakan atau pelajar komen kekuatan dan kelemahan diri secara jujur.
    Ini namanya muhasabah. Ramai dalam kalangan kita mudah untuk bermuhasabah, tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar atas muhasabahnya itu. Komentar seseorang terhadap kita biasanya pahit untuk didengar, tetapi sebenarnya manis jika ada transformasi hasil muhasabah itu. 
Renung-renungkan dan selamat beramal - Saya hanya menyampaikan semula apa-apa yang saya dengar dan pelajari, bersama tambahannya, juga setakat yang saya ketahui.

Comments