Seketika Menoleh ke Belakang

Seketika aku menoleh ke belakang
siapalah aku di sini?

Benar, masa laluku ada yang mengharum
di beberapa lembaran berwarna cerah
kerana kenikmatan dan kerahmatan Tuhan Kerahmatan
membantuku mencorakkan keindahan hari bahagia
hari itu bergembira aku bersama seribu sahabat keranaNya
juga ditauliah sepangkat anugerah dan sesijil jasa
juga dirahmati dengan kecemerlangan dalam ilmu dan amal

Tapi, masa laluku ada yang membusuk
di beberapa helaian berwarna hitam kelam
kerana diriku jua yang tidak pernah sedar
bahawa yang tegah itu mesti salah meski merasa tidak bersalah
dan bahawa Tuhan menulis bahawa aku harus rela
melalui kesuraman dan kesesalan hari yang berlalu
masa yang sudah pulang ke genggaman Yang Maha Kuasa

Aku bisa membaca lembaran berwarna lagi mengharum
agar aku teringat sambil Tuhan di ArasyNya membantu
bahawa hari yang baik kerana usahaku berserta izinNya
dan aku mahu meneruskannya
di pelbagai persada jaya

Tapi, aku tak kuasa membelek muka surat hitam putih lagi tiada erti
walaupun itu sayugianya
agar sebuah tazkirah padaku sambil Tuhan di TakhtaNya menolong
bahawa hari yang buruk keranaku jua dan dariNya
dan aku mahu meninggalkannya
menjejak ke kaunti waspada.

Aku bukanlah siapa-siapa
di kala aku menoleh ke belakang seketika
dan tika menjengah ke hadapan seketika.

Begitulah seorang aku.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
Khamis, 19 Januari 2012, jam 1.42 pagi.

Comments