Sebuah Rindu Menitip Harapan

(i)

Harapanku
semoga kita menerima waktu
semoga kita bersua muka kembali.

Kerana segenap rindu
berhalaman di beranda hati
walaupun hadirnya bukan kunanti
juga ziarahnya mana mungkin semudahnya direstu diri
seorang yang menghadapinya, hayatnya sengsara.


Kiranya dialah sahabat yang sebenar
yang teranugerah sifat setiawan
itulah sebenar seikat persahabatan
layak bagiku bersamanya berkasihan.

Tapi, bagi seorang ini
sayangku hanyalah hibah untuknya
tetapi sayangku mereput wayar persaudaraan
kerana diriku jua bersalahan
dan bagiku tiada erti kemaafan
atau kerana dirinya sebenar bersalahan
dan baginya aku bukanlah kemanusiaannya.

(ii)

Ombak rindu menjengah teluk kehidupan
bagaimana tebatan jiwaku bisa membentenginya
andaikan lautan kasih bergelombangan
menyusuri muara pendirian
membelok ke pelbagai sungai pilihan?

Kalau-kalau seorang, sayangku, membenciku
tetapi pintu kasih untuknya luas masih terbuka
bagaimana aku mampu menghadapinya
masihkah aku itu dia?

Kerana aku masih menyayanginya
laksana kosong hati tanpa dia walaupun di sisi.

Namun, seorang sayangku, mengasihiku
sebenarnya layak sekotak kerinduan untuknya
tanpa sebenarnya sengsara kerinduan itu tiada
kerana di dermaga hati, layar kasihnya masih berlabuh.

(iii)

Akukah hambaMu, Tuhan
andainya hanya bersujud kepadaMu
tika dukaku?

Siapalah aku, oh Tuhan
di tengah ihsanMu yang agung
terkurnia segunung bahagia
tetapi iman tiada harga?

(iv)

Untuk mentriti persahabatan yang jumud
aku berdoa semoga aku dan dia dilembutkan kalbunya
supaya dia tahu ketinggian dan kesucian kasih dan cinta.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah. 
Ahad, 15 Januari 2012, jam 12.30 tengah malam.

Comments