Apresiasi Sastera - Ombak Rindu

Kelmarin, saya membahagikan lirik lagu Ombak Rindu nyanyian asal Hafiz dan Adira dan nyanyian semula Harris, kepada 3 bahagian sajak yang berbeza. Hari ini, saya mahu mengangkat tajuk Ombak Rindu sebagai karya apresiasi puisi, apresiasi filem dan apresiasi novel.


OMBAK RINDU: NOVEL, FILEM DAN LAGU OST

Sebelum itu, novel Ombak Rindu dinukil oleh Fauziah Ashari. Novelnya diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd. pada 6 Mac 2003.

Sementara itu, filem Ombak Rindu arahan Osman Ali ditayangkan secara rasmi pada 1 Disember 2011 oleh Astro Shaw dengan menampilkan pelakon terkenal seperti Lisa Surihani, Aaron Aziz, Maya Karin, Bront Palarae dan ramai lagi.

Lagu Ombak Rindu pula merupakan lagu original soundtrack (OST) bagi filemnya, dinyanyikan oleh Hafiz dan Adira. Klip videonya diterbitkan oleh AF Talents Sdn. Bhd., anak syarikat Astro. Lagu ini dalam video yang lain dinyanyikan semula pula oleh Harris dan videonya pula diterbitkan secara berasingan oleh Streetz Crib Sdn. Bhd.

MUKA BELAKANG NOVEL


Sebelum filem ini diwujudkan untuk tontonan umum, novel memberi ulasan pendek seperti berikut:

IZZAH adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian orang tua mereka akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, pak saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.

Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak pak saudaranya walaupun hatinya tidak rela.

Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?

SETELAH NOVEL DIPENTASKAN

Ombak Rindu mengisahkan tentang perjalanan cinta dua insan, Izzah (Maya Karin) dan Hariz (Aaron Aziz) dari dua dunia yang berbeza dan mereka terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum menemui kebahagiaan. Izzah adalah gadis kampung yang telah dijual oleh bapa saudaranya kepada sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur untuk dijadikan pelacur. Seorang pemuda, Hariz anak Datuk Sufiah (Azizah Mahzan), pemilik empayar perniagaan Sufiah Cemerlang telah membeli Izzah dari pemilik kelab tersebut untuk dijadikan perempuan simpanan, namun Izzah telah merayu Hariz supaya menikahinya untuk menghalalkan hubungan mereka.

Hariz setuju dengan syarat Izzah tidak menuntut sebarang hak sebagai isteri. Namun selepas itu, Hariz yang kasar dan panas baran telah jatuh cinta dengan Izzah yang penuh dengan kelembutan. Hariz kemudian terpaksa menikahi Mila (Lisa Surihani), kawan zaman persekolahannya setelah didesak oleh Datuk Sufiah dan Mila yang amat mencintainya. Semasa Hariz koma di hospital akibat kemalangan jalan raya, Datuk Sufiah telah menghalau Izzah keluar dari banglo Hariz dan merampas kunci kereta dan telefon bimbit Izzah.

Setelah keluar dari hospital, Datuk Sufiah memberitahu Hariz yang Izzah telah menjalani hubungan dengan lelaki lain. Hariz yang marah telah memberitahu Izzah bahawa dia akan digantung tidak bertali semasa terserempak dengan Izzah di rumah Pak Dollah, pemandu keluarga Datuk Sufiah. Izzah kemudian kembali ke kampungnya. Pak Dollah yang marah dengan Datuk Sufiah telah memecahkan rahsia bahawa Hariz adalah anaknya yang telah diserahkan kepada suami Datuk Sufiah untuk dijadikan anak angkat serta memberitahu Hariz bahawa Izzah tidak bersalah. Hariz yang menyesal dan amat rindukan Izzah telah pergi ke kampung Izzah untuk memujuk supaya kembali ke pangkuannya. Mila datang ke kampung Izzah dan menuntut cerai dari Hariz. Filem ini berakhir dengan Izzah dan Hariz menjalani hidup bahagia tanpa rahsia lagi.

LAGU (SAJAK) YANG MENGIRING PEMENTASAN


Kemunculan lagu ini hanya bertepatan dengan jalan cerita, kira-kira lagu ini hanya bertepatan antara klimaks dengan peleraian cerita Ombak Rindu ini.

Penulis/Penyanyi ini memulakan lagu ini dengan doa, di rangkap pertama, agar pasangan yang dicintainya dibukakan hatinya semula untuk mencintai dan kembali semula kepada si penulis/penyanyi. Bagi penulis/penyanyi, dia hanya akan gembira untuk hidup apabila pasangannya ada di sisi.

Dalam rangkap kedua, penulis/penyanyi menyesal kerana mengetahui akan banyaknya dosanya dan kerana hanya mahu mengadu kepada Tuhannya hanya ketika sedih. Dalam waktu yang sama, penulis/penyanyi yakin bahawa Allahlah yang mampu membuka hati orang yang dicintainya.

Rangkap ketiga menyaksikan penulis/penyanyi menyeru agar rindunya dibawa oleh kesirnaan malam kepada orang yang dicintainya agar si dia tidak sepi, kerana masih ada cinta. Sementelahan itu, penyanyi/penulis menyeru agar cuaca hujan membasuh wajahnya daripada linangan air mata rentetan betapa seksanya menanggung cinta dan kerinduan terhadap orang yang dicintainya. Hujungnya, penulis/penyanyi bertawakkal kepada Allah, semoga akan tiba hidayah kepada kedua-dua yang saling mencintai.

Lagu/Sajak ini diakhiri dengan mengulang semula rangkap pertama.

Tema puisi ini ialah sifat cinta dan rindu yang wujud terhadap pasangan yang dicintainya.

Comments