Terima Kasih Allah

1432 Hijrah sudah selesai dan tak akan kembali. 1432 Hijrah hanya memori. 2011 pada waktu ini hanya tinggal 5 hari lagi, melangkah ke 2012 yang penuh mencabar. Namun, 360 hari yang berlalu tetap pergi jua tak kembali. Namun, memori indah yang sudah tersejarah dalam prospektus kehidupan, semoga tercatat semula di lembaran sejarah yang mendatang.


Sebelum itu, selain famili, sanak saudara dan guru-guru serta semua yang mengenali saya yang menghiasi laporan tahunan kehidupan, saya ingin berterima kasih kepada mereka semua yang tadi; juga kepada rakan-rakan di setiap pelusuk alam terutamanya di tanah air Malaysia; lagi-lagi buat sahabat yang dikasihi. Sedikit masa nanti, saya perkenalkan mereka satu persatu.

Sahabat-sahabat SMKA Kota Kinabalu (0711). TERIMA KASIH ALLAH.
Atas - Mohd. Abu Ruis, Muhd. Taqiyuddin, Zulkiflee,
Mohd. Zulfikar, Mohd. Izharuddin.
Tengah - Norfaridzuan, Zainulariffin, Awang Abdul Muizz,
Mohd. Shafiq, Mohd. Madzuan Shafaraz.
Bawah - Abunian, Mohd. Aminuddin, Muhd. Khalid Khumaini,
Awangku Syukri, Ahmad Taqiyuddin.
Gambar di sebelah mahu menunjukkan bahawa mereka adalah antara sahabat yang banyak menyinari hati yang sunyi dalam ratusan hari.

SAHABAT: MENITI HARI BERSAMANYA

Bukan saya tiada sahabat dan rakan. Rakan ramai, kalau dihitung sepanjang hidup sudah beribu di serata tanah air juga ada di perantauan sana. Memang, saya memang suka bersendirian. Namun harus saya beri maklum secara ikhtisar bahawa sahabat saya adalah mereka ini.

Mohd. Abu Ruis dengan kenakalannya dan dalam waktu yang sama, mampu mendedikasikan ilmu warisan Rasulullah SAW. Muhammad Taqiyuddin yang menjadi sebutan ramai sebagai solo nasyid sekolah, namun dirinya hanyalah mahu menjadi yang biasa. Zulkiflee, dalam ratusan hari, beliau menyandang kerusi ke-2 dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sekolah, namun beliau mudah didekati terutamanya di waktu senggangnya. Bersemangat nian, ketika pengajian, mahu menuntut Bahasa Dhad dengan saya, maka saya tidak pernah rasa malu, bahkan atas nama kasih sayang, saya cuba memberi ilmu itu sebaik mungkin. Biarpun tegas, namun mesranya meresap ke hati sahabat ini. Beruntung kerana dulu seangkatan jua dalam Kelab Komputer sekolah; dalam 2011, kembali lagi seangkatan dalam Kelab Bahasa Arab sekolah.

Mohd. Zulfikar, seorang yang dilihat oleh guru saya sebagai yang semakin hari semakin mampu menguasai bahasa kenusaan, dan bagi saya, beliau juga membuatkan hati selalu tersenyum dengan lawaknya. Mohd. Izharuddin yang nampak pendiam, hakikatnya beliau memiliki hikmah yang boleh dikongsi, kebetulan seangkatan dakwah tabligh dengan Abu Ruis. 

Norfaridzuan, seorang pemantun yang bolehlah penyantunnya dirinya. Lawaknya boleh tahan dan mencuit hati selalu. Lagikan Zainulariffin, yang saya adalah timbalan setianya. Lawaknya, MasyaAllah, Allah sahaja yang tahu. Namun, guru-guru menyenanginya kerana ketinggian peradabannya, itupun hasil hikmah ayahbondanya. Mungkin akademiknya nampak biasa, namun, kerana ketinggian budinya, begitulah seorang sahabat yang dikehendaki. Mohd. Shafiq yang dianggap ilmuwan di sekolah, juga timbalan setia Zainulariffin. Tidak pernah kedekut ilmu dan tidak pernah rasa malu mahu menuntut ilmu. Selalu merasa mesra dan dekat, dekat lagi dan lagi kepada Tuhannya, Tuhan kita, Allah SWT. Mohd. Madzuan Shafaraz, seorang yang berseni dalam lukisan seperti jua Mohd. Zulfikar, kesantunan dirinya turut dihargai.

Abunian, seorang pendebat, ahli Yang Berhormat selalu diutus oleh sekolahnya untuk berdebat bersama sekumpulan pendebat untuk membahaskan isu semasa dan seterusnya melukiskan kejayaan dalam sirah madrasah. Mohd. Aminuddin, sepupu Zainulariffin, hanya mahu kelihatan biasa, namun kebiasaanya turut disenangi. Seorang Muhammad Khalid Khumaini, seorang yang suka bersistem dan terperinci, lebih disenangi dengan rasa lemah lembutnya.

Seorang Awangku Syukri pula juga seorang yang tidak pernah jemu bahkan seakan beristiqamah, mogakan, dalam dakwahnya menuju cinta Allah, seangkatan dengan Abu Ruis. Suka jua bersikap biasa namun tidak jemu memberi ilmunya. Kebaikannya dihargai seadanya. Akhirnya, seorang Ahmad Taqiyuddin pun nampak biasa. Di bandar residensinya, sudah pernah bertemu pada tahun 2004. Akhirnya, di sekolah jua persahabatan dihargai.

Saya mahu turut menghargai persahabatan dengan rakan-rakan puteri yang muhsinat. Saya tidak dapat sebut nama mereka satu persatu. Rata-rata mereka pandai, mesra, pelawak, saling menyapa dan akhlaknya dihargai.

Semoga Allah merestui saya dan mereka semua dengan kasih sayangNya, Amin.

HARI-HARI YANG BERBUNGA: TERIMA KASIH ALLAH

Saya suka memetik kata-kata pemimpin sastera saya, bapak Hasyuda Abadi dalam artikelnya, kelmarin:
Pernahkah anda berfikir tentang beberpa hari yang lalu? Beberapa hari yang telah berlalu dengan seribu satu peristiwa, kenangan, kemenangan, suka dan duka. Tidak mungkin hari-hari itu berlalu begitu sahaja. Meski mustahil untuk memanggilnya semula, hari-hari yang lalu itu sentiasa memberikan nilai tersendiri. Pengalaman kata orang amat mahal dan untuk membezakan antara insan dengan yang lain inilah, pengalaman. Pengalaman itu pengisian hari-hari yang mungkin biasa, luar biasa dan tanpa disedari tentang masa lalu yang bermakna.

Sesiapa sahaja memiliki pengalaman dan penyair amat mencintainya. Seorang penyair sentiasa merakamkan peristiwa-peristiwa masa sudahnya, masa sudah orang lain atau mereka yang akrab dengannya. Dia berkisah dalam bait-bait peristiwa kemudian diperindah oleh keelokan bahasa, teknik pelukisan serta penulisan yang berwibawa.
Demikian. Sebab saya seorang penyair, penulis dan perintis sastera Melayu di Sabah. Maka, setiap masa indah, yang sudah tertulis dengan izin Allah, sudah tentu terabadi dalam ensiklopedia sejarah; dan terus terabadi dalam diari hati masing-masing. Untuk hari-hari yang indah, terima kasih, Allah. Kerana Rasulullah SAW lebih mengalakkan kita menyampaikan semua yang baik-baik.

Kalau ditanya tentang hari-hari yang berlalu, hampir 2 minggu lepas, memang, persekolahan sudah tamat. Namun, sebak dan sedih kerana masa menuntut perpisahan antara saya dengan sahabat-sahabat. Hari-hari yang lalu juga menuntut kesibukan jadual waktu, harus ke sana ke mari. Hari-hari yang berlalu menuntut satu hijrah dan mengenang hijrah itu semula dan ingatan itu terabadi dalam kehadiran saya ke 3 sambutan yang sama, di Kota Kinabalu (27 November/1 Muharram), di Tuaran (16 Disember/20 Muharram) dan di Tamparuli (24 Disember/28 Muharram). Terkenang saya akan sebuah hijrah.

Hari dan bulan yang berlalu mencatatkan sejarah manis. Orang jauh menziarahi bumi Sabah ini lantas saya menerima dan mengalu-alukan mereka. Saya juga ingin membuka lembaran sirah lalu apabila saya berjaya menziarahi, diziarahi dan menemui sahabat yang dirindui sama ada di sekolah lama mahupun dari kejauhan. Hari-hari yang berlalu jua gembira kerana dapat mewakili sekolah ke pertandingan tertentu di merata tempat.

Tetapi tidak pernah juga saya lupa kesedihan. Kucing-kucing yang di rumah yang disayangi, Allah lebih menyayangi ciptaanNya. Yang pernah ditemui dan dikenali pula harus kembali ke desa Ilahi. Yang pernah disahabati, tetapi dirinya dengan saya sudah jauh, tidak mungkin akan mendekati kembali bahkan yang terputus ukhuwah itu tak akan tersambung lagi. Masing-masing keras hati. Redha sahajalah.

Bersama permohonan maaf, nama-nama yang berkenaan terkisah dalam bait-bait sastera. Tetapi, tulisan itu harus diingat, saya berijtihad akannya, semuanya takdir Allah, kehendak manusia. Asyairah.

Apapun, semua berlaku atas kehendak Allah SWT.

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah, biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu, pasti cerah kembali.

(Kehidupan, In Team dan Nazrey Johani)

KHULASAHNYA

Saya sekali lagi ingin memetik kata-kata bapak Hasyuda Abadi:

Seorang penyair terus merakam hari-hari indah dan tidak indah, tentang beberapa hari yang lalu yang tidak mungkin berhenti meninggalkan sesuatu berupa peristiwa. Bahkan masa hadapan itu sebentar lagi akan menjadi beberapa hari yang baru, akan berlalu dan dia terus juga menceritakan indah dan tidak indahnya. Biasa bagi orang lain tetapi luar biasa baginya. Masa berjalan tanpa berhenti, manusia mencari tanpa henti sesuatu yang boleh sahaja menggembirakannya dan boleh jadi mendukacitakannya. Hari-hari yang menjadi beberapa peristiwa dirakam dan dicatatkan, diperindahkan, dinukilkan menjadi citra yang mencabar minda sebagai penghayatan kebenaran, penghayatan kebobrokan, penghayatan kerakusan, tamak haloba tanpa titik selagi manusia berfikir dan menjadikan fikirannya benar, jujur atau sebaliknya menjadikan fikirannya sebagai anjakan untuk mencapai impian dengan cara yang kurang tepat. Atau barangkali itulah takat kemampuan yang dipunyainya dan dia berjuang untuk itu.

Sesungguhnya beberapa hari yang lalu itu berharga emas jika kita benar-benar bernas dan berawas daripada fikiran-fikiran yang tidak bernas. Apa pun peristiwa mempunyai wibawanya dalam keadaan yang indah dan tidak indahnya. Beberapa hari yang lalu tak pernah berlalu selagi manusia penyair ada dan fikiran untuknya wujud.
Terima kasih Allah. Terima kasih sahabat tersayang.

Comments