Terdidik ke arah Ukhuwwah

Pagi tadi, saya sempat bermesra bersama sahabat saya, adik Guru Besar sekolah rendah saya dahulu, Abunian Hj. Alidin. Tengah malam semalam (29 Disember), beliau mahu menyertai pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuaran.

Pagi tadi, pemeriksaan kesihatan tidak dapat dijalankan sepenuhnya berikutan jadual Pegawai Perubatan yang padat dan penuh. Staf yang menguasa pemeriksaan kesihatan hanya meminta ujian makmal yang mengandungi ujian air kencing dan ujian darah dijalankan di Pejabat Patologi (Makmal) Hospital. Urusan selebihnya hendaklah diselesaikan mengikut arahan pihak kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berikutnya.


Saudara Abunian Hj. Alidin terpilih menyertai Kumpulan 1 PLKN 9/2012 dan ditempatkan di Kota Belud, Sabah. Sebentar tadi, bersama saya ialah rakan dari SMKA Tun Ahmadshah (SEMAI), Diniy Ammarah Maidi dan kawannya. Saudari Diniy terpilih menyertai PLKN dan ditempatkan di Sipitang, Sabah.

Sebentar tadi, saya bertanyakan aktiviti Abunian pada hari Sabtu ini (31 Disember). Rupanya abangnya akan menikah pada hari itu dengan pasangannya yang berasal dari Kampung Pengalat Besar, Papar. Rumahnya di Kampung Simpangan, Tuaran. Baru saya perasan bahawa sahabat saya yang lain, saudara Mohd. Shafiq Hasbollah dan saudara Norfaridzuan Hj. Abdul Nain seperti mahu berziarah ke sana. Sementara itu, menurut Abunian, sahabat saya, Zainulariffin Hj. Narawi dijangka menantinya di Papar sana.

Respon saya, kalau begitu, InsyaAllah, saya pun ikutlah. Monolog - saya masih mahu terdidik untuk berukhuwwah ke arah ukhuwwah kerana Allah.

Baru saya mengingat semula ukhuwwah yang sebenar adalah kerana Allah - suatu masa pandai terlupa. Kerana terlupa prinsip ukhuwwah sebenar, sahabat yang sebenar-benarnya bagi kita tidak mampu kita hargai. Hargai sahabat, walaupun sahabat bukanlah keutamaan, kerana hanya atas nama kehidupanlah wujudnya persaudaraan. Tanpa manusia, tiada kehidupan. Tanpa kehidupan, mana mungkin wujudnya keduniaan untuk kehidupan. Dengan manusia, wujud kemasyarakatan. Dengan kemasyarakatan, wujudlah kekeluargaan, keguruan dan persahabatan dan terbentuklah persaudaraan dalam Islam.

"Setiap orang yang beriman itu bersaudara."
(Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ibrahnya, pertemuan tadi hakikatnya, mewujudkan prinsip persaudaraan dan persahabatan dalam Islam seperti bantu-membantu, berkasih sayang, bertegur sapa dan bermesyuarat dalam sesuatu perkara.

Tidak boleh wujud persahabatan tanpa sifat bantu-membantu kerana sahabat amat berperanan dalam bantu-membantu, lebih-lebih lagi ketika terpisah dengan keluarga dan guru.

"Bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa."
(Surah al-Maidah, ayat 3)

Sahabat bukanlah orang yang membenci sahabatnya yang lain atau perpaduan akan terhakis dengan mudah. Bertegur sapa pula menunjukkan kita memiliki peradaban yang dianggap berbudi bahasa. Budi bahasa budaya kita. Berbincang pula amat penting kerana sesuatu perkara juga kekadang memerlukan bantuan orang lain walaupun dengan perkataan.

"Berbincanglah dalam sesuatu urusan."
(Surah Ali Imran, ayat 159)

Biarkan waktu itu berlalu dengan manis. Terima kasih Allah. Terima kasih, sahabat.

Comments