Tawakkal kepada Ilahi, Terutama Mengenai Rezeki


Tawakkal kepada Ilahi
Terutama mengenai rezeki
Tanpa ragu-ragu walaupun sedikit
Ada jaminan pembelaan dariNya

Bila taqwa pakaian kita
Urusan kita dimudahkan
Kerana kita sudah menjadi Ahlillah
Begitu indah hidup bersama Tuhan.

(Indah Hidup Bersama Ilahi, Hijjaz)

Barangkali itulah perasaan sahabat saya, saudara Zulkiflee Yappi, apabila dia beruntung. Kecekalan semangat yang beliau ada membolehkan beliau memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk berbakti, walaupun hanya setakat bekerja sambilan sebagai staf di Metrojaya dekat Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.


Saya, apabila mendengarkan berita tersebut, saya mempunyai pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Saya mahu tumpang gembira, tapi dalam masa yang sama saya merasa sedikit cemburu, sedih dan kagum.

Tahniah buat saudara Zulkiflee atas rezeki Allah yang murah ke atasnya itu.

PERASAAN SAYA MENGENAI REZEKI YANG DITERIMA OLEH SAHABAT ITU

Saya tumpang gembira kerana Allah meluaskan rezeki beliau dengan pekerjaan sambilan. Sambil itu, saya berfikir, masih ramai yang memohon beribu pekerjaan, masih belum mendapat sebarang pekerjaan. Dalam erti kata yang lain, masih ramai yang menganggur. Oleh hal yang demikian, saya merasa sedih (dan boleh jadi cemburu) kerana saya (yang berstatuskan ingin mencari pengalaman seperti sahabat saya) dan beribu lagi rakyat Malaysia yang berusaha mencari pengalaman kerja pun belum lagi diberi apa-apa pekerjaan. Saya putuskan saya adalah protege sastera Melayu dan aktivis masyarakat daerah Tuaran.

Pada mulanya, saya kecewa kerana jemputan saya untuk menyertai saya dalam Karnival Pendidikan Facon yang telah diadakan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Disember yang lalu, diabaikan oleh kesemua yang dijemput.

Akan tetapi, saya rasa memang patut kalau yang lain menolak pelawaan saya ke sini. Saya akan terangkan kemudian - beri saya masa.

PERISTIWA 17 DISEMBER

Kisahnya begini – Sebelum melangkah ke Ekspo itu, saya ingin menziarahi rumah sahabat saya, Awang Zulfadli Abdul Manan. Tapi, beliau tiada di rumah walaupun hasrat saya untuk menziarahi beliau dan keluarga (ziarah ukhuwah katakan) sudah saya panjangkan kepada beliau sejak beberapa hari yang lepas. Maka, saya merasa kecewa, namun dalam masa yang sama saya berlapang dada. Saya terus berjalan-jalan ke Singgah Mata, barulah saya mengunjungi ekspo pengajian tinggi itu. Rupanya, dari sekolah saya (SMKA Kota Kinabalu – SMKAKK), saya hanya bersendirian. Sebelum itu, sahabat-sahabat saya yang lain, saudara Awangku Syukri Salim menziarahi saudara di Bongawan, Papar; saudara Mohd. Shafiq Hasbollah menghadiri keraian, tempatnya tidak diketahui. Saudara Mohd. Khalid Khumaini Hj. Chacho pula pulang ke Semporna bersama keluarga. Saudara Zainulariffin Hj. Narawi pula tidak membalas jemputan. Turut sama tidak membalas, rakan-rakan dari SMKA Tun Ahmadshah.

Sementelahan itu, ketika saya berada di Hotel Promenade, Zulkiflee menghubungi saya tetapi diletak semula olehnya. Lalu saya menghubunginya dan barulah saya tahu hal yang sebenar. Akhirnya saya faham, tetapi saya sedih kerana tiada yang menemani. Memang benar andainya saya memang suka bersendirian. Akan tetapi, di kala saya memerlukan sahabat, mereka tiada di sisi. Tidak mengapalah, saya faham dan saya hanya mampu menahan kekecewaan dan kesedihan.

Kepada sesiapa yang tertanya-tanya mengenai saya, saya sudah menjawab. Seorang Awang Abdul Muizz adalah seorang yang suka membuatkan orang tertanya-tanya. Begitulah hakikat seorang saya.

RASIONAL AKTIVITI ZULKIFLEE YAPPI SETELAH PEPERIKSAAN SPM

Berbalik kepada isu asal, kemurahan rezeki Zulkiflee Yappi. Menurutnya, sebenarnya beliau hanya mencuba, tetapi rezeki itu jatuh kepadanya. Syukur, Alhamdulillah. Saya bersetuju dengan tindakan beliau dan saya tidak teragak-agak untuk menyokong aktiviti seperti ini. Dalam bancian saya terhadap rakan-rakan kelas saya mengenai aktiviti mereka selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai dalam kalangan mereka yang ingin mencari pengalaman kerja.

Sebelum itu, izinkan saya menyatakan sebab dan rasional Zulkiflee Yappi memilih untuk bekerja walaupun peperiksaan SPM baru lebih kurang seminggu berlalu (pada tarikh ini), pada pandangan saya sebagai seorang pemikir:
1.       Seorang Zulkiflee Yappi (menurut sejarah hidupnya yang saya tahu) adalah seorang yang bersemangat waja, berdisiplin dan tidak berminat membuang masa dengan kelalaian (walaupun tipulah jika saya berkata Zulkiflee Yappi tidak pernah membuang masa). Untuk mengisi waktu senggangnya yang berbulan-bulan, beliau mencari kerja.
2.       Keluarganya merupakan keluarga yang sederhana. Ayahnya seorang perantau (berasal dari Tawau) yang bekerja sendiri di bonda wilayah, manakala ibunya seorang suri rumahtangga. Untuk menyara dirinya (yang utama) dan keluarganya, beliau memerlukan wang. Menurut dasar kerajaan yang baru digubal oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Abdul Razak, keluarga beliau layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang berjumlah RM 500.
3.       Beliau layak dicontohi dari segi pengagamaan (mutadayyin). Mutadayyin bermaksud mengamalkan segala ajaran agama dalam kehidupan. Istilah mutadayyin hampir serupa dengan istilah “Islam ad-Din.” Lazimnya, dengan kasih sayang Allah SWT, orang yang mutadayyin ini murah rezekinya. Merujuk kitabah saya yang di atas tadi, orang yang banyak menggunakan nikmat Allah ke arah kebaikan (beribadah), berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakal akan murah rezekinya. Pada kelaziman kehidupan saya, merekalah sahabat saya dan saya boleh jadi malu kerana walaupun semua manusia adalah sama, pada pandangan Allah SWT, Allah memuliakan orang sebegini.
4.       Seperti yang lain, beliau mahu mencari pengalaman kerja. Sebelum menerima sebarang pekerjaan yang lebih tetap untuk umur yang mendatang, pekerjaan sementara merupakan salah satu pengalaman hidupnya.
5.       Beliau adalah antara yang ingin melihat keadaan sebenar rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Islam. Sebelum berdakwah dan membantu membangunkan masyarakat Islam, seorang daie mesti mengetahui keadaan masyarakat Islam yang sebenar. Mungkin, siapa tahu, suatu hari nanti, dengan penglihatan yang Allah berikan untuk fikir umat, seseorang mampu berdakwah dan akhirnya Islam akan gemilang kembali seperti zaman dahulu kala?
6.       Pekerjaan itu sendiri mempunyai realisasi perpaduan antara masyarakat berbilang bangsa dan agama.

REZEKI MASIH LUAS, BERUSAHALAH AKANNYA

Mengenai cerita ini, saya menyeru diri saya dan semua agar terus berusaha untuk mencari rezeki. Allah itu Maha Adil lagi Maha Pemberi Rezeki. Jangan putus asa kerana rezeki Allah masih luas. Untuk mengecapinya, hak Allah perlu menjadi keutamaan kita barulah Allah tunaikan hak kita.

“Bertebaranlah kamu di muka bumi (mencari rezeki Allah) dan kecapilah izin Allah (pahala) dan ingatilah Allah sebanyak-banyaknya, semoga kamu berjaya.”
(Surah al-Jumuah, ayat 12)

Seandainya rezeki yang diharap dan didoa itu belum tiba, sebenarnya Allah tetap membalasnya sama ada ketika umur kita masih panjang atau ketika kita berhimpun di Padang Mahsyar di Hari Akhirat.

Kepada sahabat dan semua yang murah rezeki, tolong doakan, semoga rezeki saya murah sepertimana murahnya rezeki kalian. Allahumma amin.

KEADAAN EKONOMI SUMBER MANUSIA MASA KINI

Saya faham keadaan ekonomi masa kini. Graduan yang memiliki Diploma dan Ijazah semakin hari semakin banyak, namun penawaran pekerjaan hanya sikit. Menurut teori ekonomi, apabila penawaran buruh rendah, permintaan buruh pula menjadi tinggi. Hukum perburuhan itu songsang. Oleh sebab itu, masih ramai rakyat Malaysia yang menganggur.

Permintaan buruh akan terus tinggi memandangkan graduan yang keluar dari institut pengajian tinggi (IPT) itu semakin banyak hari demi hari. Penawaran buruh hanya akan meningkat sekiranya wujudnya projek-projek baru terbitan firma dan kerajaan, tertubuhnya organisasi baru yang melibatkan pengurusan sumber manusia (HRM), dan apabila suasana ekonomi memuaskan hati semua pihak.

Tapi, kekadang, sikap rakyat Malaysia (terutamanya graduan IPT) yang suka memilih kerja membuatkan masih ramai yang menganggur. Adalah teruk sekiranya seorang graduan IPT menjadi ketua keluarga tidak bekerja, lalu tidak dapat memberi nafkah kepada ahli keluarganya. Kita perlu fikir yang itu.

Untuk berbincang tentang isu HRM di Malaysia, kemahiran ekonomi perlu dikuasai. Oleh hal yang demikian, pakar ekonomi semakin diperlukan kerana menurut kelaziman, pakar ekonomi yang turut menguasai ilmu politik akan menjadi ketua eksekutif kerajaan, yakni Perdana Menteri. Ketua legislatif, sesiapapun boleh, berkeutamaan pada penguasaan ilmu politik (bukan ilmu politik berparti semata-mata kerana makna politik itu luas). Ketua judisiari pula adalah ilmuwan undang-undang.  Namun begitu, demi melestarikan Islam di negara kita, pemimpin-pemimpin seperti ini diperlukan, berkeutamaan ilmu Islam.

DEDUKSI DARI KUPASAN ILMIAH

Walaupun perasaan masih bercampur-baur, saya dan kita semua masih berusaha untuk memastikan bahawa murahnya rezeki yang kita terima dari Allah.

“Berdoalah, nescaya aku jawabkan.”
(Al-Quran)

Begitulah. Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang. Berusahalah, kerana usaha itu teras jaya.

BUAT SAHABAT

Di mana pun kalian berada, doa menjadi hubungan kasih sayang antara sahabat dengan sahabat yang lain. Aku masih berharap bahawa aku disayangi sahabat-sahabatku sekalian sepertimana aku turut menyayangi sahabat-sahabatku. Aku masih berhutang hak ke atas kamu sepertimana kamu masih ada hutang hak ke atasku, tanpa kita sedari. Sama-sama berhutang hak persahabatan. Harap dapat ditunaikan sebelum berpulang ke pangkuan Ilahi.

Saya berhasrat untuk menziarahi sebahagian besar sahabat saya suatu masa nanti bermula sekarang walaupun jarak waktunya amat besar bezanya.

Ya Tuhanku, tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkan maghfirah dan kasih sayangMu
Agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat...

(Nostalgia, Shoutul Amal)

Zoraini Homestay, Kampung Cinta Mata, Kundasang, Ranau, Sabah.
Ahad, 18 Disember 2011, jam 4.36 petang.

Comments