Sesiang Bersama Sahabat Ilmu

Sesiang bersama sahabat ilmu hari ini mengajarkanku suatu ibrah.

Dakwah hari ini mengajak orang lain sambil memperkuatkan diri serta mengingatkan dan menginsafkan semua tentang erti kehidupan yang sebenar. Akhirnya persahabatan itu abadi dengan restu Ilahi.

Demikian.

Saya pada siang tadi bersama sahabat saya, Zulkiflee Yappi. Sudah merancang, akhirnya Allah kabulkan perancangan tersebut.

Dalam 2 minggu, saya seperti hanya banyak bercerita tentang Zulkiflee. Selalu sangat nama ini meniti di papan kekunci. Biarlah. Bermusim.


Seperti yang dijangka, saya bertemunya di tempat kerjanya, Metrojaya, Tingkat 2, Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Saya menemuinya dalam keadaan pakaian serba hitam. Nasib tidak disangka ini sebuah perkabungan. Sebenarnya, pekerjaan menghendakinya berpakaian sedemikian atau berpakaian berwarna putih.

Mula-mula, dalam perancangan, bertemunya hanya seketika. Rupanya, seorang saya bertemu seorang Zulkiflee lebih 4 jam, termasuk masa kerjanya! Yang sebahagiannya lapang. Sempat menunaikan 2 solat fardhu bersamanya di surau yang terlalu kecil di Tingkat 3 Suria Sabah.

Sebelum itu, kebimbangan saya - saya mengganggu pekerjaannya waktu itu. Jawabnya, tidaklah. Ada juga kawan bercerita. Untuk saat itu.

Saya fikir saya hanya akan bercerita dengannya sahaja. Saya bertemu lagi dengan pak cik yang mengawal kawasan jualan di Tingkat 3, guru Zulkiflee ketika sekolah rendah dan 3-4 orang lagi rakan sekerjanya. Yang saya sempat bercerita panjang itu dengan 2 orang rakan sekerjanya yang perempuan.

Saya sangka kata-kata berunsur dakwah itu hanya Zulkiflee sahaja yang mendengar. Dakwah saya bukan setakat tentang Islam itu sendiri, bahkan tentang ilmu ekonomi dan ilmu Bahasa Arab.

Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru saya rasa Ekonomi itu mudah untuk diaplikasi setakat yang dipelajari.


Saya tanpa menyedari, sedang mengeluarkan kata-kata dakwah kepada 2 orang rakan sekerja Zulkiflee. Ketika berkata Zulkiflee itu handsome, saya berkata, "Handsome atau cantik, itu semua dari Tuhan." Sebenarnya banyak lagi perkongsian yang bermanfaat. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata-kata yang baik ataupun diam."
(Hadis)

Nilai murninya - Dakwah itu syumul. Caranya hendaklah sesuai dengan kesyumulan dakwah itu sendiri.

Sebab itu, di atas, saya membangkitkan ibrah itu. Setelah berbincang tentang kerjanya, ilmu bahasa Inggeris dan Arab, wawasan, persahabatan, menteladani Nabi Muhammad SAW, ekonomi dan sebagainya, saya menginsafi suatu perkara seperti yang saya kuotakan di atas.

Dakwah hari ini mengajak orang lain sambil memperkuatkan diri - kerana definisi dakwah itu sendiri, menyeru kepada diri dan orang lain.

Serta mengingatkan dan menginsafkan semua tentang erti kehidupan yang sebenar - kerana dakwah itu sendiri berfungsi untuk membantu manusia beringat dan bermuhasabah tentang diri dan hakikat kehidupan.

Akhirnya persahabatan itu abadi dengan restu Ilahi - kerana orang yang beriman itu sudah tentu bersaudara menurut hukum Allah. Dua orang yang bersahabat kerana Allah, mereka ini di hari akhirat, akan diberi naungan yang tidak ada naungan lain selain naunganNya. Dalam pada itu, dalam waktu yang sama, dakwah itu memungkinkan persahabatan murni kerana Allah.

"Berserulah (kamu) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan teladan yang baik."
(Surah an-Nahl, ayat 125)

"Muhammad itu Rasulullah, dan sesiapa yang bersamanya itu bertegas sesama orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka."
(Surah al-Fath, ayat 29)

"Beringatlah, kerana peringatan itu berguna bagi orang yang beriman.
(Surah adz-Dzariyat, ayat 54)

Atas manisnya sebuah pertemuan, terima kasih Allah. Terima kasih, sahabat.

Comments