Peninggalanku Setelah Habis Pengajian

Pertamanya, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana mengizinkanku menamatkan 11 tahun persekolahan rendah dan menengah.

Terus kepada matlamat selanjutnya, Perwarisku Setelah Habis Pengajian.

Rasulullah SAW bersabda,

العلماء ورثة الانبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما

"Ulama itu perwaris nabi, maka nabi-nabi tidak mewarisi satu dinar mahupun satu dirham."
(Hadis Riwayat Muslim)


Jadi, saya yang pernah menuntut dan menyampaikan ilmu, tidak meninggalkan apa-apa, melainkan ilmu yang bermanfaat, kerana ilmu yang bermanfaat itu peninggalan anak-anak Adam AS, hatta selepas dia meninggal dunia.

Setelah habis pengajian, saya tidak meninggalkan apa-apa pun kepada SMKAKK, melainkan ilmu, semangat keilmuan dan kenangan. Saya tidak tahu siapa yang akan menyandang kerusi kepimpinan Bahasa Arab yang baru dalam kalangan pelajar SMKAKK. Untuk memimpin Bahasa Arab di SMKAKK, saya fikir saudari Rahmi Hidayati Hj. Mohd. Mursal layak memimpin Bahasa Arab di SMKAKK. Saya harap beliau akan memimpin Kelab Bahasa Arab di SMKAKK untuk 2012, sama ada sebagai Pengerusi atau Timbalan Pengerusi kelab.

Saya masih ingin membantu SMKAKK dalam Bahasa Arab, terutamanya dalam bidang Debat Bahasa Arab. Persaingan Debat Bahasa Arab dalam kalangan sekolah menengah di Malaysia semakin hebat tahun demi tahun. Kelazimannya kini, yang ada keberhasilan dalam Debat Bahasa Arab akan menyertai jua Ihtifal Institusi Pendidikan Agama (IPA) dalam acara-acara berorientasikan Bahasa Arab.

Maka, acara Bahasa Arab dalam Ihtifal IPA seperti Kalimatus Sobah, Kuiz Bahasa Arab dan Hiwar hendaklah ada pelapis tahun demi tahun. Sekretariat Duta Gemilang Imtiyaz (DGi) SMKAKK hendaklah menjadi medium dalam mengembangkan bakat-bakat dalam kokurikulum Bahasa Arab. Sebagai ahli Alumni DGi SMKAKK, saya mengharapkan perkara sedemikian berlaku.

Saya akan membantu Sekretariat DGi SMKAKK mengembangkan bakat Bahasa Arab dalam kalangan peserta kokurikulum Bahasa Arab ini.

Tentang diri saya, perwarisnya tiada. Saya hanya satu dan saya adalah diri saya, bukannya orang lain. Banyak udang, banyak garam; banyak orang, banyak ragam. Benar, rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Benar tidur sebantal, tapi mimpinya lain-lain.

Di SMKA Tun Ahmadshah (SMKA TUNAS), saya fikir pemimpin Bahasa Arab yang seterusnya ialah saudara Suhardi Hablee. Orang yang memahami dan antara yang fasih berbahasa Arab. Saya pun tiada meninggalkan apa-apa di SMKA TUNAS, melainkan ilmu yang ada dan yang diamalkan.

Saya berharap SMKA TUNAS akan membarisi pula pasukan Debat Bahasa Arab setelah SMKA TUNAS gagal mewakili Sabah ke pertandingan kebangsaan pada tahun 2010 dan 2011. Saya berharap 2012 memberi makna kepada Bahasa Arab di SMKA TUNAS bahawa SMKA TUNAS memiliki pasukan Debat Bahasa Arab seperti SMKAKK, yang telah menyertai pertandingan kebangsaan setiap tahun berturut-turut, sejak 2008.

Di SMKA Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ), saya pun tidak meninggalkan apa-apa di TUNAZ melainkan ilmu dan memori. Saya bukan pelajar TUNAZ yang tetap. Saya hanya bertukar beberapa hari di TUNAZ. Tetapi, persahabatan antara saya dengan warga TUNAZ amat signifikan dan murni. Terima kasih semua. Sahabat-sahabat saya meninggalkan saya dengan nasihat dan memori; maka saya meninggalkan sahabat-sahabat saya dengan ilmu, nasihat dan kenangan manis.

Aku di TUNAZ hanya mewarisi memori kepada sahabat-sahabat yang dikenali dan dikasihi. Dua tiga orang dari kalangan mereka diwarisi dengan benda ilmiah, semoga bermanfaat.

Bahasa Arab di TUNAZ menyerlah. Sahabat saya, Mohammad Hami Hamizul Saimi, naib johan Kalimatus Sobah dalam Ihtifal IPA Malaysia 1/2011. Saya yakin Hamizul akan menjadi pendidik muda dan pewaris kepimpinan Bahasa Arab di TUNAZ.

Kesimpulannya, saya tidak meninggalkan apa-apa melainkan ilmu; kerana ilmu tetap hidup walaupun pemberinya sudah tiada.


Comments