Perhimpunan Maal Hijrah 1433H, Tuaran

Perhimpunan Maal Hijrah 1433H Peringkat Daerah Tuaran telah selamat diadakan pada hari Jumaat, 16 Disember 2011 di Dewan Hikmah, Masjid an-Nur, Tuaran, Sabah. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Noor, yang juga ADUN Sulaman. Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Tuaran (Pentadbiran), En. Abdullahsani Daud; Setiausaha Politik Datuk Hajiji, En. Abdul Kassim Razali; Timbalan Ketua Polis Daerah Tuaran, ASP Firdaus Abdullah; Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Pn. Tah Nia Hj. Jeman; pemimpin-pemimpin UMNO Tuaran dan ketua-ketua jabatan.

Hospital Tuaran diwakili penyelianya, En. Mohd. Emran Abdullah, manakala Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran diwakili mantan Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan Tuaran, En. Saidin Janeh. Sementara itu, Kariah Berungis pula diwakili Imam Kariahnya, Tuan Hj. Maidin Derahim.


Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Abdul Basit Salleh, Imam Kariah Serusup, Tuaran, sejurus selepas ketibaan Datuk Hajiji.

En. Abdullahsani Daud menyampaikan ucapan
selaku Pengerusi Penganjur
Di pentas ucapan, En. Abdullahsani yang juga Pengerusi Dakwah Islam Daerah Tuaran, menyatakan bahawa sebanyak 7 acara diadakan sempena meraikan Maal Hijrah 1433H. Antaranya ialah Bacaan Doa Akhir Tahun, Doa Awal Tahun, Yaasin dan Tahlil di masjid dan surau seluruh Tuaran; pemilihan tokoh-tokoh Maal Hijrah dan perhimpunan pada waktu ini.

Datuk Hajiji Noor menyampaikan ucapan
Datuk Hajiji pula dalam ucapannya mahu rakyat daerah Tuaran terus memahami Islam yang sebenar dan mengajak seluruh masyarakat Tuaran memahami konsep Wasatiyyah yang diwar-warkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak. Nada yang sama turut disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Hj. Awaluddin Nasution dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Dalam ceramah Ustaz Awaluddin, beliau mengajak seluruh umat Islam agar saling faham-memahami antara satu sama lain. Ceramah beliau juga menekankan kepentingan tanggungjawab kekekuargaan.

Saudara Syed Mohd. Ridzuan Raflee (SMKA TUNAS)
mempersembahkan Tilawah al-Quran
Majlis turut dihiburkan dengan bacaan Tilawah al-Quran oleh saudara Syed Mohd. Ridzuan Raflee dari SMKA Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu; persembahan Nasyid oleh Kumpulan Shoutul Nur Islam dari Kampung Serusup, Tuaran dan deklamasi puisi oleh wakil Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran.

Majlis turut menyaksikan sebanyak 6 anugerah dipertandingkan. Surau Nurul Hidayah, Kampung Melalin dinobatkan sebagai Surau Terbaik, manakala Masjid Nurussaadah, Kampung Bolong Lama dianugerahkan Masjid Terbaik.

Anugerah Ibu Mithali disandang oleh Datin Sofiah Abdul Latif, isteri mantan ADUN Sulaman, al-Marhum Datuk Dahlan Harun; manakala Anugerah Bapa Mithali disandang oleh Tuan Hj. Budiman Matin, pengasas Sekolah Agama Rakyat (SAR) Serusup, Tuaran.

Tokoh Maal Hijrah disandang oleh Tuan Hj. Jeman Bakri, mantan Ahli Majlis Daerah Tuaran; dan Pn. Hjh. Rosiah Mohd. Idris, bekas Ketua Wanita UMNO Tuaran.

Hadiah disampaikan sendiri oleh Datuk Hajiji. Majlis turut mendapat liputan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di samping akhbar tempatan.

Comments