Perhimpunan Maal Hijrah 1433H Tamparuli

Alhamdulillah, Perhimpunan Maal Hijrah 1433H peringkat Daerah Kecil Tamparuli telah selamat diadakan pada hari Sabtu, 24 Disember 2011, di tingkat bawah bangunan baru Masjid Ubudiyyah, Tamparuli, Tuaran, Sabah. Majlis yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.


Datuk Jahid dalam ucapannya menyeru seluruh umat Islam agar bermuhasabah diri. Beliau berkata, umat Islam di Tamparuli hanyalah 13 peratus. Akan tetapi, beliau mahu kewujudan umat Islam di Tamparuli ini dirasai. Mengenai pendapat Barat bahawa Islam ini terroris, beliau membidasnya berdasarkan hujah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak bahawa hanya segelintir umat Islam yang ekstrem. Datuk Jahid mahu melihat umat Islam yang sebenarnya mempunyai sifat penyayang dan mengutamakan ukhuwah.

Majlis diserikan dengan persembahan nasyid daripada 4 buah kumpulan dari sekitar Tamparuli, Tuaran dan Tenghilan; persembahan tilawah al-Quran daripada pelajar SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS), saudara Syed Mohd. Ridzuan Raflee; serta syarahan khas yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Hilham Hj. Mohd. Noor dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Ustaz Hilham dalam ceramahnya, mengupas tentang 3 jenis hijrah, iaitu hijrah ilmu, hijrah iman dan hijrah akhlak. Beliau menerangkan bahawa dalam al-Quran, orang yang beriman amat mencintai Allah. Beliau menyeru semua hadirin agar tidak terus-menerus menyalahkan Allah ketika ditimpa sesuatu musibah kerana perkara itu melambangkan tiadanya rasa cinta kepada Allah, dan mahu umat Islam yakin kepada Allah akan doa masing-masing. Beliau seterusnya memberitahu majlis bahawa orang Melayu dan Islam sebenarnya dipuji kerana sifat saling berterima kasih.

Turut hadir dalam majlis ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Tuaran, Ustzh. Siti Hariyani Hj. Yahya; Penyelaras Dakwah JHEAINS Tamparuli, Ust. Suffian Kundu; dan Pengerusi Masjid Ubudiyyah, En. Datu Raflin Datu Anggol.

Bersama saya dalam majlis ini ialah saudara Ridzuan dan sahabat saya, saudara Awangku Syukri Salim.

Comments