Perutusan sempena Maal Hijrah 1433 Hijrah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعن كل الصحابة والقرابة أجمعين. أما بعد

Muizz ketika menyampaikan ucapan.
Alhamdulillah. Syukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan rahmatNya, tanggal 1 Muharram 1433 Hijrah akan jatuh pada waktu Maghrib, 26 November tahun ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru 1433 Hijrah kepada seluruh Muslimin dan Muslimat.

PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH

Kita difahamkan bahawa tema sambutan Maal Hijrah 1433 Hijrah kali ini adalah “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”. Saya melihat memang sampai masanya seluruh umat Islam amnya, dan seluruh rakyat Malaysia khasnya, agar mendasari dan terus mendasari perpaduan antara ummah dengan persefahaman. Dalam erti kata lain, tak kenal maka tak cinta. Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling kenal-mengenal.”

HIJRAH: PERJUANGAN, PENGORBANAN DAN KEJAYAAN

Sememangnya, Islam mengkonnotasikan dua definisi yang tersirat dalam istilah Hijrah. Pertama, Hijrah bermaksud perpindahan Rasulullah SAW dan rombongannya dari Makkah ke Madinah; dan yang kedua, Hijrah merupakan perubahan daripada yang kurang baik kepada yang baik, dan yang baik kepada yang lebih baik. Dalam konteks sambutan Maal Hijrah 1433 Hijrah ini, Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil kira takrifan kedua Hijrah untuk mewujudkan tema yang sedemikian rupa. Saya bersetuju dengan usaha JAKIM sebegini. Diharap seluruh lapisan masyarakat yang wujud di Malaysia menyokong usaha dakwah ini. Namun begitu, untuk mengambil kira takrifan kedua mengenai Hijrah, takrifan asal turut diambil kira. Bukan itu sahaja, malah sejarahnya dan kepentingannya turut ditekankan.

Sebelum menyahut seruan JAKIM ke arah terealisasinya falsafah Persefahaman Asas Perpaduan Ummah, adalah menjadi keutamaan umat Islam untuk menghayati sirah Rasulullah SAW. Sebelum Hijrah Makkah – Madinah, Rasulullah SAW melalui pengikutnya merealisasikan Hijrah Makkah – Habsyah, atas permintaan Rasulullah SAW. Hijrah ini tidak dapat mencapai objektifnya berikutan beberapa masalah yang menguji umat baginda sendiri. Lalu, setelah turun perintah Allah SWT, Rasulullah SAW bersama sahabat dan pengikutnya merealisasikan Hijrah Makkah – Madinah yang memakan masa 12 hari. Kita boleh melihat dengan mata hati kita bahawa Rasulullah SAW dan rombongannya disambut dengan penuh selawat dan kesyukuran di Madinah. Setelah Hijrah, Rasulullah berjaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Baginda juga berjaya menubuhkan negara Islam pertama di dunia, Madinah (kini menjadi wilayah dalam negara Arab Saudi), setelah berjaya menggubal Piagam Madinah (perlembagaan pertama di dunia) bersama umat Madinah dengan adil dan saksama. Begitulah, ada lagi beberapa kejayaan tercatat dalam lembaran Sirah Nabawiyah setelah Hijrah direalisasikan dengan sepenuh perjuangan dan pengorbanan.

Setelah menghayati Sirah Rasulullah SAW, adalah menjadi peranan semua untuk memahami dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sebagai ingatan, setiap perkara dalam hidup kita yang menjurus ke arah menteladani Rasulullah SAW adalah sunnah. Satu sunnah membawa ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT. Kata Imam Bukhari, “Sesiapa yang menghidupkan sunnah Nabi SAW, Allah akan tuliskan kehidupan pada hatinya.” Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31, “Katakan (wahai Muhammad SAW), jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, Allah akan menyayangimu dan mengampunkan dosa kamu, dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

MARILAH KITA BERSATU

Pemerintah Malaysia amat berharap agar rakyat Malaysia terus hidup dalam kesatuan. Seruan ke arah perpaduan yang menjadi teras kejayaan ini bukanlah suatu seruan yang baru. Akan tetapi, sudah menjadi kemestian bagi yang mencintai perpaduan untuk terus membulatkan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh hal yang demikian, betapa pentingnya kita menghayati falsafah-falsafah yang menjerumus ke arah kesepaduan, seperti “Perpaduan Teras Kejayaan”, “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” dan sebagainya.

Malaysia tidak mahu rakyatnya hidup berpecah-belah. Islam sendiri melarang perpecahan bahkan menyeru kepada perpaduan. Islam dan Malaysia sendiri telah membuktikan bahawa perpaduan itu menjadi instrumen kejayaan. Maka, persefahaman adalah perkara yang paling asas perlu dipupuk dalam diri manusia untuk mencapai suatu ikatan perpaduan yang murni. Tanpa persefahaman, tidak mungkin perpaduan akan lestari dan terus sejati.

Adalah benar sekiranya kita mempunyai perbezaan agama, taraf, latar belakang kehidupan, amalan seharian, fahaman politik, bangsa, warna kulit, warga negara dan sebagainya. Namun, itu semua bukan penghalang untuk bersefahaman sesama insan. Bersefahaman dengan manusia lain amat mudah, bahkan dianjurkan oleh Islam. Melalui persefahaman, perpaduan boleh wujud, perkongsian maklumat berlaku, perbezaan fahaman dan falsafah ditolak tepi, ukhuwah sejati dan murni.

Islam mendidik persefahaman antara manusia melalui solat berjemaah, ibadah haji dan umrah dan ibadah lain yang memerlukan jemaah yang memungkinkan kewujudan Ukhuwah Islamiyyah. Kerajaan Malaysia pula mendidik persefahaman antara rakyat melalui jalinan diplomatik antarabangsa, gagasan perpaduan 1 Malaysia, amalan rumah terbuka, sambutan hari kebesaran negara, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pembentukan skuad sukan negara dan sebagainya. Semua ini berlaku demi mewujudkan persefahaman dan perpaduan. Semua ini tidak akan berhasil tanpa persefahaman dan perpaduan.

Oleh itu, hargai perpaduan. Mulakannya dengan kesefahaman. Perpaduan hanya murni menerusi amalan saling kenal-mengenal, saling faham-memahami dan saling bantu-membantu. Dari sifat tersebut, akan wujud pula sifat saling maaf-bermaafan dan saling sayang-menyayangi antara satu sama lain. Perpaduan teras kejayaan.

SEMPENA TAHUN BARU 1433 HIJRAH

Sempena tahun baru 1433 Hijrah ini, suka saya mengingatkan diri saya dan semua agar membaca dan menghayati Doa Akhir Tahun pada beberapa minit sebelum azan Maghrib dan Doa Awal Tahun pada waktu selepas solat fardhu Maghrib. Semoga dosa tahun sudah (1432 Hijrah) diampunkan kesemuanya dan kehidupan tahun ini (1433 Hijrah) dirahmati dan dikasihi.

Sempena ulangtahun kelahiran saya yang ke-18 (menurut tarikh Islam) yang akan jatuh pada 3 Muharram ini (29 November 2011), saya berdoa semoga saya dan anda semua terus diampunkan dosa, dicucuri rahmat dan dikasihi Allah SWT. Terima kasih atas doa anda semua ke atas saya. Sementara peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tamat pada 14 Disember ini, saya masih mengharapkan doa semoga dimudahkan urusan menghadapi peperiksaan SPM dan mendapat kejayaan dalam peperiksaan ini.


Saya memohon maaf segala dosa saya daripada Allah SWT dan anda semua sepanjang 1432 Hijrah ini. Semoga 1433 Hijrah memberi makna dan semangat baru dalam kehidupan yang semakin hari semakin mencabar.

Ya Allah Maha Kuasa,
padaMu kami meminta
perlindungaan di tahun ini
dari godaan syaitan durjana

Ya Allah Maha Kuasa,
padaMu kami meminta
kebaikan di tahun ini
berkekalan ke tahun depan

(Bulan-bulan Islam, AlarmMe)

Terima kasih dan Wassalam.

Salam takzim,
AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN

25 November 2011

Comments