Perutusan sempena Aidiladha 1432 dan Penghujung Persekolahan 2011


Berucap dalam Kem Besatri Solat
SK Mutiara 4/2010 di Masjid Bandaraya,
Kota Kinabalu, Sabah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia.

Pertamanya, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, kita hari ini sudah berada di bulan Zulhijjah 1432 Hijrah. Sudah tentu dalam bulan Zulhijjah ini, InsyaAllah, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Dalam waktu yang sama, bagi yang berada di Tanah Haram Makkah dan Madinah, mereka akan menunaikan haji. Bukan itu sahaja, malah kita yang menuntut di sekolah kini sudah berada di penghujung sesi persekolahan bagi tahun 2011. Setakat hari ini, hari persekolahan hanya berbaki seminggu dua lagi sebelum Cuti Akhir Tahun 2011.

Di kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Kita juga mendoakan semoga semua yang mengerjakan haji pada tahun ini, selamat pergi ke Tanah Haram dan selamat kembali ke tanah air bersama haji yang mabrur.


AIDILADHA MENGAPRESIASI DAN MENUNTUT KE ARAH PENGORBANAN

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Umum mengetahui bahawa Muslimin dan Muslimat menyambut Aidiladha pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Aidiladha dilihat lebih meriah apabila sambutan ini berlanjutan hingga ke Hari Tasyrik pada 11 hingga 13 Zulhijjah. Perkara ini menjadikan Aidiladha disambut selama 4 hari.

Sempena Aidiladha kali ini, saya ingin mengajak diri saya dan semua agar sama-sama mengapresiasi pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan puteranya, Nabi Ismail AS. Sejarah Islam menunjukkan bahawa ibadat korban disyariatkan melalui peristiwa ini. Di kala Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS mengorbankan Nabi Ismail AS dan baginda Nabi Ismail AS rela dengan perintah Allah itu, baginda Nabi Ibrahim menerima seekor kibas daripada Allah SWT sebagai balasan terhadap kesediaan baginda Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail.

Sejarah itu berjaya membuktikan bahawa iman berperanan memupuk semangat berkorban. Kerana keimanan yang tinggi dan kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT, seseorang sanggup berkorban. Saya dalam Majalah ar-Raudhah 2010 (terbitan 2011), terbitan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu, Sabah, pernah meletakkan suatu falsafah bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Maka, setiap pengorbanan harus diteladani. Syariah Islamiah sendiri meletakkan hukum berkorban sebagai sunat yang dituntut, menurut Mazhab Syafie.

Oleh hal yang demikian, pada fikiran saya, ibadat korban ataupun pengorbanan itu bukan berfokus kepada ibadat korban sempena Aidiladha semata-mata. Malah, pengorbanan itu merujuk kepada usaha kita menggunakan fizikal, mental dan spiritual untuk mencapai kejayaan dan membangunkan masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Sebagai seorang belia dan pelajar, pengorbanan saya dan sahabat-sahabat saya adalah untuk memajukan diri dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Hal ini demikian kerana, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dalam lagu rasmi sekolahnya, memetik sebagai berkata, “Pelajar hari ini, pemimpin hari esok.” Tambahan pula, belia dan pelajar adalah sebuah generasi masyarakat yang akan menggantikan generasi yang mendahului belia dan pelajar.

Bagi Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda, Tabiin dan Tabii Tabiin, mereka sanggup berkorban harta dan nyawa demi memperkasa syiar Islam. Tanpa mereka, mana mungkin Islam tersebar hingga dua pertiga (2/3) dunia.  Peperangan demi peperangan serta usaha Rasulullah SAW, Khulafa ar-Rasyidin dan para pemimpin Islam yang lain sebelum kita dalam menstabilkan Islam, memungkinkan Islam terus bertapak di dunia, mengesakan Allah sebagai Tuhan sekalian alam.

Tuntasnya, saya menyeru sekali lagi diri saya dan semua untuk terus berkorban semampu mungkin walaupun sedikit. Ingatlah, setiap pengorbanan pasti dibalas oleh Allah SWT sebagai amal jariah. Biasanya, kejayaan akan datang menerusi pengorbanan.

KHAS BUAT WARGA SMKA KOTA KINABALU

Yang Berusaha Tuan Pengetua SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK),
Yang Berusaha Tuan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKAKK,
para penolong kanan,
para guru dan ahli PIBG SMKAKK,
para kakitangan sokongan dan swasta,
serta rakan-rakan pelajar sekalian,

Sempena penghujung tahun persekolahan 2011, saya juga akan menamatkan hayat saya sebagai seorang pelajar SMKAKK pada 13 Disember 2011, selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya berterima kasih kepada semua. Dengan izin Allah SWT, dan seperti yang saya pernah hajatkan, saya akhirnya akan menamatkan persekolahan saya di SMKAKK ini.

Selepas menerima Sijil Graduasi
Pencapaian Kepujian dari SMKA
Kota Kinabalu.


Sepanjang saya di SMKAKK ini, saya tidak lain dan tidak bukan hanyalah seorang pelajar biasa. Jawatan tertinggi saya yang rasmi di SMKAKK hanyalah sebagai Naqib Usrah, Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR). Atas kepercayaan ini, saya berterima kasih kepada BADAR atas kepercayaan yang diberikan. Saya berharap agar saya telah menjalankan tugas ini dengan baik. Dalam kokurikulum, saya merupakan Pengerusi, Kelab Bahasa Arab (KEBARA). Saya turut ingin menghargai budi KEBARA atas kepercayaan mereka kepada saya untuk mengetuai KEBARA untuk tahun 2011 ini. Saya turut berharap agar saya telah memimpin KEBARA SMKAKK dengan cemerlang walaupun kecemerlangan itu hanyalah pada tahapnya yang tersendiri.

Hidup saya di SMKAKK, pada perasaan saya, seperti ‘adanya seperti tiada, tiada lebih bagus.’ Namun, barangkali itu hanyalah perasaan saya. Akan tetapi, melihat respon warga SMKAKK terhadap saya, saya seperti cukup sedih. Kadangkala, saya akan merasa sebak, sejujurnya, dengan diri ini bukan setakat kerana fikiran warga SMKAKK yang lain, malah kerana akhirnya diri sendiri harus menyesali diri sendiri. Namun begitu, bimbingan dan didikan Pengetua, para penolong kanan, guru-guru, setiap yang lebih dewasa di sekolah dan sahabat-sahabat saya di SMKAKK, saya masih boleh terus hidup di SMKAKK walaupun usia saya di SMKAKK sudah senja.

Saya berharap agar kehadiran saya di SMKAKK sebagai seorang pelajar memberi makna dan kesan baik walaupun sedikit. Cukuplah, walaupun sedikit. Sepertinya, saya tidak merasa bahawa saya menyumbang bakti kepada SMKAKK. Namun, saya berharap bahawa kewujudan saya di SMKAKK diterima umum walaupun sebagai seorang manusia biasa, hamba Allah SWT.

Saya juga bersyukur kepada Allah SWT kerana saya dapat mencapai kejayaan yang tersendiri dalam peperiksaan demi peperiksaan sebelum peperiksaan SPM yang sebenar yang akan bermula pada 14 November ini. Walaupun keputusan peperiksaan saya mengalami naik turun prestasi sama ada dari segi matapelajaran mahupun dari segi pencapaian keseluruhan , namun saya menjadikan prestasi tersebut sebagai ukuran dan kemampuan sebenar dalam mendepani peperiksaan SPM yang akan menjelang. Ilmu yang diajarkan sungguh bermanfaat bagi saya. Saya berazam untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya 8A dan 2B, walaupun Pentadbiran SMKAKK menyasarkan bahawa saya akan mendapat A dalam semua matapelajaran dalam peperiksaan SPM. Ya Allah, makbulkan doa ini.

Sekalung syukur turut dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dapat mencipta rekod penyertaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan dan kejayaan dalam menyertai pertandingan seperti Debat Bahasa Arab, Penulisan Esei Kepenggunaan dan sebagainya, sudah pasti menaikkan imej sekolah di pelbagai peringkat dan lapangan kebitaraan. Saya berharap agar pengalaman yang didapati dari penyertaan seperti ini dapat meningkatkan kemahiran dalam kepimpinan dan pengucapan awam.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Setiap yang diperkatakan atau yang direspon oleh warga SMKAKK, selagi yang difikirkan adalah benar, saya mengakui kesemuanya. Saya tidak akan mengakui segala yang tidak benar kerana kebenaran tetap mengatasi kebatilan, menurut al-Quran. Akan tetapi, bukan peranan saya untuk terus mendengar pandangan orang lain mengenai saya, sama ada perkara itu berbentuk pujian melangit mahupun sindiran membumi atau sebagainya. Saya tetap diri saya. Saya berterima kasih kepada setiap warga SMKAKK yang memahami diri saya yang sebenar. Bagi yang masih belum atau tidak atau tidak mahu memahami saya di SMKAKK, terpulang pada semua dan bukan hak saya untuk memaksa. Buat masa kini, saya tidak mengulas panjang mengenai diri saya sendiri di SMKAKK. Cukup sekadar sebuah perutusan eksekutif mengenai diri saya buat fahaman seluruh warga SMKAKK.

Apapun, bersempena dengan penghujung persekolahan tahun 2011, saya dan rakan-rakan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua atas jasa yang kalian sumbangkan kepada saya. Kepada Pengetua, Pn. Jaimis Saiman, terima kasih banyak-banyak kerana mengambil berat akan perkembangan saya dan rakan-rakan sepanjang menuntut di sekolah ini dan membantu saya sedikit demi sedikit dalam pencapaian saya di sekolah. Kepada semua Penolong Kanan, Ketua Bidang dan guru-guru, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas ilmu yang diajar dan perkongsian yang penuh bermakna sehingga memungkinkan saya dan rakan-rakan mendapat kejayaan yang setara dengan ilmu yang dimiliki dan usaha yang diilhami.

Kepada para kakitangan sokongan dan swasta, terima kasih banyak-banyak juga diucapkan. Kalian juga penting dalam mengoperasikan sekolah dan menggerakkan pembangunan sekolah. Tanpa kalian, mana mungkin asrama pelajar akan terurus dengan efisien; mana mungkin pelajar akan mendapat keperluan asas seharian; mana mungkin SMKAKK akan menjadi Sekolah Tanpa Sampah walaupun perkara ini merupakan tanggungjawab semua.

Buat sahabat-sahabat di SMKAKK, saya berterima kasih dan menghargai segala jasa kalian dan budi kalian sepanjang persahabatan kita. Terima kasih banyak-banyak buat setiap yang mengasihi, menasihati, membimbing dan menyokong perjuangan saya sepanjang berada di SMKAKK mahupun sepanjang hidup saya ini. Tanpa sahabat, walaupun diri ini lebih berminat bersendirian, mana mungkin saya mampu tersenyum lebar.

Saya dengan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf daripada kalian atas kesalahan, kesilapan, sikap kurang adab, profil buruk saya dan segalanya yang berkaitan. Saya juga hamba Allah SWT seperti kalian, tidak akan pernah lari dari kesilapan, sekecil-kecilnya mahupun sebesar-besarnya. Saya mohon dihalalkan segala ilmu, wang, makan minum saya dan persahabatan saya dengan kalian semua. Jika saya masih berhutang dan perlu saya bayar hutang tersebut, sila tuntut dengan saya.

Setelah saya pergi, saya di dunia tidak akan sengsara lagi; walaupun soalan seterusnya, apakah saya akan bahagia di alam berikutnya?

Saya memohon doa kalian, semoga saya dapat hidup bahagia dan dilindungi serta dirahmati Allah SWT. Andai ditakdirkan terus hidup atau ditakdirkan kepergian terhadap diri saya, Ya Allah, ampunkan aku; rahmati aku; afiatkan aku dan maafkan aku. Semoga saya diberi rahmat dan kasih sayang Allah SWT walaupun dengan hanya keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM mendatang.

KHAS BUAT WARGA SMKA TUN AHMADSHAH

Yang Berusaha Tuan Pengetua SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS),
para penolong kanan,
para guru,
para kakitangan sokongan dan swasta,
serta rakan-rakan pelajar sekalian,

Saya sedang meringankan hati untuk menyampaikan perutusan ini kepada warga SMKA TUNAS. Mohon perutusan ini diizinkan sempena penghujung persekolahan tahun 2011.

Saya telah berada di SMKA TUNAS pada tahun 2007 hingga tahun 2010, menjadi seorang pelajar yang berpegang pada prinsip hidup SMKA TUNAS, “Kami dengar dan kami taat; kamilah anak soleh yang meneraju kecemerlangan dan menyeru kepada kebaikan.” Apabila saya kini menuntut di SMKAKK, sekali sekala prinsip ini dilaungkan dan diaplikasikan dalam bentuk perkataan mahupun perbuatan. Saya menabik SMKA TUNAS kerana ketinggian sahsiah warganya.

Saya berterima kasih banyak-banyak kepada SMKA TUNAS kerana SMKA TUNAS merupakan pusat kecemerlangan saya yang sebenar. Saya tidak tahu nasib saya yang sebenar seandainya saya menuntut di sekolah selain SMKA TUNAS.

Pelajar 8A, PMR 2009,
SMKA Tun Ahmadshah
Sepanjang saya berada di SMKA TUNAS, saya berjaya merangkul 8A 1B dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2009. Saya juga sempat merangkul tempat kedua keseluruhan tingkatan dalam beberapa peperiksaan sebelum akhir hayat saya di SMKA TUNAS. Kecemerlangan saya dalam akademik adalah dengan izin Allah SWT dibantu dengan usaha yang digembeling bersama oleh saya, guru-guru dan sahabat-sahabat, terutamanya ketika menganggotai pasukan Ashabul Imtiyaz pada tahun 2009. Kecemerlangan saya ditambah dengan penyertaan dan penglibatan saya dalam acara kokurikulum dan kepimpinan di pelbagai peringkat hingga ke peringkat negara. Semuanya adalah nikmat dari Allah.

Walaupun kini saya berada di SMKAKK dan akan tamat pengajian sebagai bekas pelajar SMKAKK, saya berharap agar hubungan saya dengan SMKA TUNAS berkekalan. Saya telah meninggalkan ramai guru dan sahabat di SMKA TUNAS. Jurang persahabatan saya dengan kalian, warga SMKA TUNAS, semakin hari semakin jauh – saya bimbang. Saya sekali lagi berharap bahawa saya masih disahabati dan diterima umum di SMKA TUNAS walaupun sebagai manusia biasa.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara saudari sekalian,

Saya merangkaikan sekalung penghargaan buat guru-guru atas didikan dan bimbingan yang diberikan sepanjang menjadi penuntut di SMKA TUNAS. Segala ilmu dan nasihat mogakan tetap terpahat sepanjang hidup. Tanpa ilmu dan hikmah guru, mana mungkin saya akan berhasil seperti ini sehingga hari ini.

Ilmu guru saya membolehkan saya mendapat keputusan yang memberangsangkan dalam akademik. Ilmu membolehkan saya mencari pengalaman kepimpinan dan menyertai kejuaraan di peringkat negeri dan kebangsaan. Ilmu membolehkan saya menjalankan peranan sebagai Guru Muda Bahasa Arab dan Fasilitator Bahasa Arab di SMKA TUNAS sepanjang tahun 2008 hingga 2010. Ilmu memungkinkan saya akan hidup aman dan tenteran dan seterusnya dapat berkongsi ilmu kepada yang lain yang memerlukan.

Kepada para pekerja sokongan dan swasta, kewujudan kalian memberi pengertian besar kepada SMKA TUNAS. Kalian adalah penggerak sekolah. Tanpa kalian, mana mungkin sekolah akan beroperasi dengan lancar dengan hanya ada guru dan pelajar di bawah pimpinan Pengetua.

Saya turut mengapresiasi sahabat-sahabat saya kerana menerima saya sebagai sahabat kalian. Walaupun jurang kita amat jauh, saya berharap agar jurang itu tidak lagi dijauhkan akibat diri kita sendiri. Saya berterima kasih kepada sesiapa yang melayan saya dengan budi bahasa, hikmah dan kasih sayang dan menerima saya sebagai seorang abang, seorang adik, seorang sahabat, seorang guru muda atau sebagai seorang manusia biasa.

Saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf dari semua atas salah silap saya dan perilaku buruk serta kurang adab saya sepanjang  menuntut di SMKA TUNAS. Mohon dihalalkan ilmu dan harta yang saya pernah terima dari kalian semua. Semoga kita semua terus dirahmati Allah SWT atas persahabatan dan ukhuwah Islamiyyah ini. Terima kasih kerana menerima saya di SMKA TUNAS.

SAYA DAN PERSEKOLAHAN MENENGAH

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara saudari sekalian,

Secara holistiknya, zaman persekolahan saya di peringkat menengah lebih bermakna berbanding ketika di peringkat rendah. Sememangnya, zaman sekolah menengah memungkinkan lebih banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuh. Namun, zaman sekolah menengah jugalah membolehkan saya menyerlah terutamanya dalam bidang kokurikulum. Sepanjang 5 tahun persekolahan menengah saya, saya telah menyertai 3 aktiviti peringkat kebangsaan, beberapa aktiviti peringkat negeri dan daerah. Keaktifan saya membawa kepada pengiktirafan yang tinggi daripada sekolah saya. Saya berterima kasih kepada SMKA TUNAS kerana memilih saya menerima Anugerah Kokurikulum Asrama (Lelaki) dan Tokoh Kokurikulum Sekolah pada tahun 2009. Saya turut ingin berterima kasih kepada SMKAKK kerana memilih saya dan sekumpulan pelajar dan guru pengiring yang lain untuk menerima Anugerah Cemerlang Kokurikulum sempena Hari Anugerah Kokurikulum SMKAKK yang telah selamat diadakan pada 2 November yang lalu.

Melalui penglibatan saya yang aktif dalam bidang kokurikulum, saya dapat meningkatkan kemahiran saya untuk berkomunikasi dalam Bahasa Arab. Dalam masa yang sama, saya sedang mempelajari ilmu kepimpinan dan pengucapan awam dan saya dapat mengetahui cara pemikiran kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Yang lebih manis lagi, penglibatan saya dalam kokurikulum membolehkan saya menjalinkan ukhuwah dan hubungan diplomatik dengan berpuluh buah sekolah di seluruh Malaysia termasuklah SMKA Tun Ahmad Zaidi (Kuching, Sarawak), SMKA Dato’ Hj. Abu Hassan Sail (Rembau, Negeri Sembilan), Sekolah Arab al-Attas (Ulu Tiram, Johor), SMKA Arau (Perlis) dan SMKA al-Irshad (Kepala Batas, Pulau Pinang).

Oleh hal yang demikian, saya tidak pernah merasa rugi dengan penglibatan saya dalam bidang kokurikulum. Malah, saya lebih beruntung dengan kehidupan saya. Saya ingin mengingatkan diri saya dan rakan-rakan pelajar agar tidak merasa rugi untuk menyertai aktiviti kokurikulum. Kokurikulum pelengkap akademik, kepimpinan dan sahsiah. Tanpa kokurikulum, manakan lengkap kehidupan kita sebagai pelajar sekolah mahupun mahasiswa universiti. Pelajar yang aktif pasti akan diterima umum dan diraikan dalam kelompok masyarakat.

Akademik saya menunjukkan prestasi yang saya syukuri. Setiap prestasi akademik yang dicatat mempunyai konnotasinya yang signifikan. Gagal sekali bukan bererti kegagalan abadi. Yang cemerlang tidak selamanya akan cemerlang, dan yang gagal tidak akan selamanya gagal. Beginilah:

Kesenangan yang datang tak akan selamanya
Begitulah, selepas susah ada kesenangan
seperti selepas malam, datangnya siang
Oleh itu, waktu senang, jangan lupa daratan.

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
sebelum segalanya terlepas dari genggaman
kelak menyesal nanti tak berkesudahan...
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa?

Jangan difikir derita akan berpanjangan
kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah, biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu, pasti cerah kembali.

Ujian adalah tarbiyah dari Allah
Apakah kita akan sabar ataupun sebaliknya?
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
semuanya adalah nikmat dari Tuhan.

(Kehidupan, lagu nyanyian kumpulan InTeam dan Nazrey Johani)

Dalam zaman persekolahan menengah ini, mungkin saya kurang menyerlah dalam menyandang jawatan kepimpinan dan dalam menunjukkan sahsiah terpuji. Apapun, saya harap saya sudah dan masih mencuba yang terbaik dalam kepimpinan dan sahsiah. Seorang manusia tidak memerlukan jawatan tinggi jika berhasrat untuk memimpin kerana kita semua adalah pemimpin, setiap pemimpin bertanggungjawab atas pimpinannya. Seorang manusia tidak memerlukan pujian jika berhasrat untuk menjadi orang baik kerana setiap pujian biasanya menjadi permulaan kepada sebuah kehinaan. Baik menjadi orang penting, namun penting menjadi orang baik.

Persekolahan menengah saya menyaksikan sahabat saya semakin hari semakin bertambah, sama ada di dalam sekolah sendiri mahupun di tempat lain. Saya berharap agar persahabatan ini telah dijalin tulus dan suci. Semoga saya menjadi sahabat yang mampu memberi manfaat dan iktibar kepada semua kerana saya yang punyai seribu kebaikan juga mempunyai seribu keburukan. Semoga persahabatan yang murni dan suci berkekalan selama-lamanya. Dalam ramai kawan, bukan semuanya menjadi sahabat. Mengenai persahabatan, saya ingin berpesan, seandainya terputus hubungan persahabatan saya dengan seseorang, saya tidak pernah rugi satu pahala mahupun satu sen. Satu hubungan persahabatan terputus, sepuluh orang mampu menjadi sahabat saya yang baru.

Lidah hanya banyak berkata mengenai persekolahan menengah. Namun begitu, saya tidak pernah melupakan zaman persekolahan rendah saya. Tanpa memasuki sekolah rendah, mana mungkin saya lepas ke sekolah menengah. Begitu juga kalian. Semua yang keluar dari varsiti menerima ijazah Bacelor hatta yang berada di varsiti sebagai seorang Profesor DiRaja, semuanya akan ke sekolah rendah dan menengah.

Maka, atas pengalaman yang manis dan pahit serta kejayaan demi kejayaan yang membanggakan, saya berterima kasih kepada ibu bapa saya, keluarga saya, guru-guru saya dan sahabat-sahabat saya atas dorongan dan sokongan yang diberikan sehingga saya akan tamat pengajian di SMKAKK pada 14 Disember ini.

MENJADI AHLI MASYARAKAT

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Saya berterima kasih kepada semua yang mengenali saya kerana saya juga mampu menjadi ahli masyarakat. Saya sedang berlatih sebagai pelajar sekolah untuk memasyarakatkan diri dengan masyarakat yang wujud dalam sekolah saya.

Sempena penghujung persekolahan tahun 2011 dan sempena Aidiladha yang akan menjelang, untuk tahun 2012, sebelum saya akan meneruskan pengajian di mana-mana institut pengajian tinggi (IPT), saya berhasrat untuk menjadi ahli masyarakat, sama ada di sekitar daerah Tuaran mahupun di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Saya melihat keahlian saya dalam beberapa organisasi kerajaan dan bukan kerajaan merupakan antara modal berharga untuk memasyarakatkan diri dengan masyarakat umum. Melalui usaha memasyarakatkan diri, saya berazam mengorbankan kekosongan masa dengan berbakti kepada masyarakat. Kini, kita sebagai ahli masyarakat harus sedar bahawa kita ada pengorbanan masing-masing dalam pengkhususan masing-masing. Kita yang beriman kepada Allah akan terus berkorban kerana iman itu sendiri berperanan untuk memupuk semangat berkorban.

Dalam hal yang lain, saya mencintai masyarakat yang bersatu padu dan hidup dalam keharmonian. Bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat. Perpaduan teras kejayaan. Keharmonian hanya akan wujud melalui perpaduan sama ada di atas jalan Ukhuwwah Islamiyyah mahupun di atas gagasan 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Mengenai gagasan 1 Malaysia, saya harap gagasan ini didukung sebagai sebuah rancangan perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, fahaman politik dan latar belakang kehidupan. Kita berterima kasih kepada pemimpin kita, sama ada di peringkat persekutuan dan negeri juga di daerah dan di perkampungan dan taman perumahan, kerana terus mendukung perpaduan sebagai suatu instrumen ke arah kejayaan dan kestabilan Malaysia yang lebih gemilang. Namun begitu, saya harap Ukhuwwah Islamiyyah diutamakan kerana gagasan itu datang daripada Allah SWT.

Saya mula mengahlikan diri dalam organisasi bermula tahun 2009. Bermula menjadi seorang Rakan Cop Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada tahun 2009 dan kemudiannya menjadi Rakan Bandaraya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada April yang lepas. Saya menjadi Rakan Cop kerana ingin menyokong rancangan polis untuk turun padang bersama masyarakat untuk sama-sama membanteras jenayah. Sebab saya menjadi Rakan Bandaraya DBKK ialah untuk menasihati dan mendidik masyarakat bandaraya Kota Kinabalu untuk menjaga kebersihan dan keindahan Kota Kinabalu sebagai bandaraya rimba tropika.

Saya ketika menyampaikan puisi rakyat
di SMKA Tun Ahmadshah.
Saya kemudiannya ingin memanjatkan ucapan apresiasi kepada Ikatan Penulis Sabah (IPS) kerana menerima keahlian saya dalam IPS. Saya memahami peranan IPS untuk melestarikan sastera Melayu dalam suasana kemelayuan di negeri Sabah khasnya dan di Malaysia amnya. Kita mahu sastera Melayu di Sabah ini lestari dan warisan sastera bumiputera Kinabalu ini kekal sepanjang zaman, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Maka, saya terpanggil untuk bersama IPS mulai pertengahan tahun ini yang lepas sebagai pemuda yang menggiatkan sastera. Kita berharap agar sastera di Sabah tidak terus berkubur kerana sastera itu indah. Ingatlah, sastera itu bunga bahasa.

Sebelum terlupa, saya juga berterima kasih kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah kerana menerima saya dalam persatuan dakwah belia Islam di Malaysia. Melalui ABIM, saya boleh berlatih untuk berdakwah dan bersedia menyertai aktiviti berunsurkan dakwah dan qiadah dengan ABIM Sabah.

‘DIPLOMAT’ YANG BUDIMAN

Kepada warga SMKA Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ) (Kuching, Sarawak), saya mengucapkan jutaan terima kasih atas persaudaraan dan persahabatan yang dijalinkan antara saya dengan SMKA TUNAZ sejak Julai 2009. Walaupun saya menghadapi pertukaran sekolah tahun lepas, setelah ziarah para perwakilan SMKA TUNAZ ke Sabah, terutamanya ke SMKAKK dan SMKA TUNAS, saya masih dapat mengekalkan hubungan yang sudah lama terjalin. Saya berharap kerjasama dan ukhuwah antara kita berkekalan. Saya masih ingat bahawa SMKA TUNAS menjalinkan hubungan dengan SMKA TUNAZ pada tahun 2009, dalam bidang kemajuan akademik; manakala SMKAKK berhubungan dengan SMKA TUNAZ dalam bidang kemajuan kepimpinan pelajar pada tahun 2008. Kedua-dua hubungan ini telah dimurnikan semula pada Oktober yang lepas. Terima kasih diucapkan atas pemurnian hubungan tersebut.

Kepada sekolah lain yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu di seluruh Malaysia, saya berdoa agar persahabatan ini berkekalan selamanya. Walaupun jauh di mata, tapi dekat di hati. Yang saya ingat, kita bersahabat kerana Allah dan bekerjasama dalam bidang kemahiran pengucapan awam, kemahiran berbahasa Arab, kemajuan kepimpinan pelajar dan pembanterasan dadah dalam sekolah. Semoga kerjasama ini terus bermanfaat. Terima kasih saya sembahkan.

Kepada yang mengenali saya namun tidak saya kenali, saya menyediakan banyak saluran untuk berhubung dengan saya. Sila kenalkan diri anda kepada saya dan tunjukkan bahawa anda bersedia untuk bersahabat dan berdiplomatik dengan saya di bumi Sabah ini. Saya bersedia menerima sahabat-sahabat baru dari pelusuk nusa Malaysia.

PENGHARGAAN DAN PESANAN

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara saudari sekalian,

Sebagai intiha, saya dengan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf daripada kalian atas kesalahan, kesilapan, sikap kurang adab, profil buruk saya dan segalanya yang berkaitan. Saya juga hamba Allah SWT seperti kalian, tidak akan pernah lari dari kesilapan, sekecil-kecilnya mahupun sebesar-besarnya. Saya mohon dihalalkan segala ilmu, wang, makan minum saya dan persahabatan saya dengan kalian semua. Jika saya masih berhutang dan perlu saya bayar hutang tersebut, sila tuntut dengan saya.

Saya dengan rendah diri juga berterima kasih kepada semua yang menerima saya, mensahabati saya, mendidik saya dengan ilmu dan hikmah, mengasuh saya ke arah ketinggian budi pekerti, ihsan kepada saya dan dan sudi memaafkan kesalahan saya juga yang sudi bekerjasama dengan saya dalam memajukan diri dan organisasi. Sudah tentu dan diharapkan, semoga budi dan jasa kalian terus dibalas sebagai amal jariah dan ilmu yang bermanfaat oleh Allah SWT.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi nan baik rasa nak junjung.

(Pantun Budi)
  
“Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)".

(Surah al-Insaan, ayat 22)

Sempena di ambang peperiksaan SPM ini, saya memohon doa kalian semua agar saya dan rakan-rakan dpermudahkan segala urusan, diberi hidayah dan pertolongan dan seterusnya mendapat keputusan yang membanggakan, dan kemudiannya terus bersyukur dengan pemberian Allah yang Maha Pemberi. Saya berterima kasih juga kepada semua yang mendoakan kesejahteraan hidup dan kecemerlangan saya dalam pelbagai bidang.

Pesan saya, teruskan berjuang dan berkorban kerana Allah SWT. Sama-samalah kita berusaha memajukan diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara dalam pendidikan dan perkhidmatan masing-masing. Semoga kita terus mara untuk Islam dan Malaysia. Saya ingin melihat bahawa tahun ini lebih baik dari tahun sudah, dan tahun depan lebih baik daripada tahun ini, seperti yang dilaungkan oleh mantan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Seri Dr. Hasbullah Mohd. Taha.

Ya Allah, rahmati dan kasihi diriku, ibu bapaku, keluargaku, nenek moyangku, guru-guru, sahabat-sahabatku, setiap yang mendoakanku, setiap yang ihsan denganku, setiap yang aku berhak ke atasnya, setiap yang mengasihi dan menyayangiku keranaMu, dan setiap yang mengajarkanku. Ampuni dosa aku dan mereka, berkati aku dan mereka sekalian. Semoga kami semua dikasihiMu, Tuhan. Amin.

Kasihi mereka semua, Ya Allah, mereka yang aku kasihi dan mereka yang mengasihiku, kerana aku menyayangi mereka.

Ya Allah, kuatkan ikatan persaudaraan dan persahabatan antara kami. Kekalkan kecintaan antara kami. Tunjukkan kami jalan yang benar. Terangilah hidup kami dengan cahayaMu yang tidak pernah padam. Lapangkan dada kami dengan kurniaan iman dan keindahan bertawakkal kepadaMu. Hidupkan kami dengan makrifatMu. Matikan kami dalam syahid di jalanMu, sesungguhnya Engkaulah pelindung dan pembela. Bimbing kami, oh Tuhan, kerana sesungguhnya, kami telah berkumpul kerana mencintaiMu, bertemu kerana mentaatiMu, bersatu dalam perjuangan naunganMu untuk menegakkan syariatMu dalam kehidupan kami.

Ya Allah, balaskan pengorbanan kami dan mereka dengan balasan pahala dan syurgaMu. Jadikan kami orang yang berkorban keranaMu dan sanggup berkorban demiMu.

Ya Allah, semoga kebaikan pada tahun ini berkekalan dan berterusan.

Hujungnya, selawat dan salam kepada Rasulullah al-Mustafa SAW, keluarganya, sahabatnya dan segala pengikutnya hingga ke hari kiamat. Segala puji bagiMu, hanya bagiMu, Ya Allah, Tuhan sekalian alam.

Sekian perutusan ini, terima kasih dan Wassalam.


AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Pengerusi, Kelab Bahasa Arab,
SMKA Kota Kinabalu, Sabah.

5 November 2011

Comments