Perhimpunan Maal Hijrah 1433 Hijrah Peringkat Negeri Sabah

Alhamdulillah, sebentar tadi, saya menghadiri Perhimpunan Maal Hijrah 1433 Hijrah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah. Perhimpunan tadi dirasmikan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Majlis yang menghimpunkan sekitar 2 000 orang dari seluruh Sabah, turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; timbalannya, Datuk Seri Yahya Hussin, pemimpin-pemimpin kerajaan, swasta dan kesukarelaan, peserta Festival Kesenian Islam Negeri Sabah, pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan orang ramai.

Sejurus ketibaan Tun Juhar, majlis dimulakan dengan Hormat DiRaja (separuh lagu Negaraku dan lagu penuh Sabah Tanah Airku) yang dipersembahkan oleh Pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. Bacaan doa dipimpin oleh Mufti Negeri, Datuk Ahmad Alawi Adnan.

Majlis kemudiannya disusuli dengan Tilawah al-Quran oleh Saudari Nur Faten Izzati Rablin dari Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah (MTQQNS) sebelum memasuki arena ucapan. Bekas pelajar SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS), Inanam, Kota Kinabalu, yang berasal dari Kota Belud itu, baru-baru ini menjuarai kategori Qariah dalam Majlis Tilawah al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Majlis lebih diserikan dengan persembahan nasyid dari daerah Putatan dan Kota Belud, masing-masing pernah menjuarai Festival Nasyid Kebangsaan pada tahun 2009 dan 2004. Turut memeriahkan majlis ialah ceramah khas yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, yang bercerita tentang soal perpaduan dan sejarah keislaman beliau.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 10 anugerah disampaikan. Antaranya, Anugerah Tokoh Maal Hijrah yang disandang oleh Datuk Mohd. Noor Wahab yang pernah menjadi Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah pada tahun 1992 hingga tahun 1999. Sementara itu, En. Mohd. Zikri Zainudin dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah menerima Anugerah Khalid al-Walid, Tuan Hj. Akriah Abdullah dari Farmasi Aslam Sdn. Bhd. menerima Anugerah Abdul Rahman Auf, Masjid Kariah Beringgis, Papar menerima Anugerah Masjid Terbaik; Pejabat Daerah Keningau menerima Anugerah Surau Pejabat Terbaik, dan SMK Majakir, Papar menerima Anugerah Surau Sekolah Terbaik.

Majlis berakhir jam 11.30 pagi dengan Hormat DiRaja.



Comments