Sekitar Sambutan Hari Rasmi YDPN Sabah

Sambutan Hari Jadi Rasmi Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Hj. Juhar Hj. Mahiruddin, yang ke-58, diadakan pada jam 7.00 pagi tadi di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah. Dianggarkan sekitar seribu pengunjung menyaksikan sambutan yang dijayakan oleh sekitar 5 000 orang peserta dari pelbagai organisasi.


Saya tiba di Padang Merdeka sekitar jam 7.20 pagi. Ketika itu, Yang DiPertua Negeri Sabah masih berada di Istana Negeri yang terletak lebih tinggi daripada Padang Merdeka. Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni tiba di Padang Merdeka sekitar jam 7.30 pagi, disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, anggota kabinet serta pasangan masing-masing. Tun Juhar kemudiannya menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan sambil lagu diraja dimainkan (lagu Negaraku naskhah separuh dan lagu Sabah Tanah Airku) oleh pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebelum lagu diraja dimainkan, suatu insiden berlaku apabila bendera rasmi diraja Sabah tidak dapat dipecahkan oleh tentera yang menjaga bendera diraja. Lazimnya, sejurus ketibaan Yang DiPertua Negeri Sabah, bendera rasmi diraja Sabah akan dipecahkan sambil lagu diraja dimainkan. Tun Juhar kemudiannya berkenan untuk memeriksa pasukan kawalan kehormatan.

Dalam sambutan yang sama, beliau turut menerima tabik hormat daripada 58 pasukan perbarisan dan pancaragam dalam istiadat perbarisan sambil diiringi dengan persembahan pancaragam oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Tun Juhar turut berkenan memeriksa kesemua 58 pasukan perbarisan tersebut. Majlis turut disajikan dengan persembahan koir daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan persembahan tarian oleh Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS). Majlis bersurai sekitar jam 9.00 pagi dengan persembahan lagu diraja.

Keputusan perbarisan kemudian diumumkan sekitar jam 9.30 pagi. Sebelum keputusan itu diumumkan, saya bersua muka dengan seorang staf pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sukarti Wakiman,  di pentas utama. Warta Kerajaan Negeri Sabah telah dikeluarkan atas perintah Yang DiPertua Negeri.

Seramai 722 orang menerima Darjah Kebesaran Kerajaan Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Tun Juhar ke-58. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengetuai senarai 722 penerima anugerah. Datuk Seri Ahmad Zahid menerima Darjah Yang Mulia Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) membawa gelaran Datuk Seri Panglima. Turut menerima SPDK ialah 4 orang Menteri Persekutuan termasuklah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Turut termasuk dalam senarai 10 orang penerima SPDK ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sukarti Wakiman dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Tham Nyip Shen.

ADUN Banggi, Datuk Abdul Mijul Unaini pula mengetuai 47 penerima Darjah Yang Mulia Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.


Comments