Friday, 21 October 2011

Segeralah Bangsaku Kita Glokalkan


Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, penulis puisi.
Dari tiupan bayu segar
bersama kicauan unggas desa
atas kalimah keramat perjuangan suci dicita
hingga belantara batu menghiasi kata
membuana pula ke seantero dunia sejagat.

Melayu bangsa tercintaku,
apakah sudah terjulang martabat?
dari langkah kecil anak-anak tadika
berkat perjuangan suci negara bangsa
di menara gading bersaing siswa siswi
hingga ke suara ASEAN, OIC, NAM dan PBB.

...hingga ke suara ASEAN, OIC, NAM dan PBB.


Malaysia tanah airku,
apakah maju tahun 2020 nanti?
jika menjalar onar perpecahan
andai menyekam bara pertelingkaran
musnah wawasan tidak kesampaian
hancur cita di hujung jalan
perjuangan suci tinggal kenangan.

Malaysia tanah airku,
Melayu bangsa tercintaku,
hentikan, hentikan sengketa sesama kita
padamkan, padamkan kesumat dendam membara
bukan orang lain nan menanggun ruginya
bukan orang lain nan merasa pedihnya
kita, kitalah kan rugi segala-galanya
jika iktisad tidak dipedulikan.

Andai titis amanah diberi,
kiranya rasuah merebak, memusnah,
lumpuhlah kuasa, berbiaklah maruah.

Lantas, pilihlah jalan berpadu
walau tapaknya penuh berliku
sinar kejayaan menanti di depan
segeralah bangsaku, kita glokalkan,
agama jadikan paksinya
bangsa jadikan bentengnya
tanah air itulah taruhannya
juarailah teknologi, juarailah pengetahuan
kembangkanlah bunga-bunga perjuangan
harumkanlah kelopak-kelopak keikhlasan
Malaysia dan Melayu yang ku cintai.

Hebatkan negara dunia mengenali
pembelaan rakyat sebagai janji
inilah sumpah, inilah perjuangan
segeralah bangsaku kita glokalkan.

Inilah sumpah, inilah perjuangan
Segeralah bangsaku kita glokalkan.

Yang Amat Berhormat Orang Kaya Indera Syahbandar Pahang Darul Makmur,
Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia.

0 comments:

Post a Comment