Saya dan Sahabat Bumi Samariang


Ketika aku menulis kitabah ini, aku seperti sedang bersenang-lenang di Bilik Tingkatan 6 Atas di Kolej Kediaman SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) ini. Asramalah, senang cerita. Sebentar lagi, ada banyak kewajipan menunggu di meja sana.

Syukur kepada Allah. Hari ini aku masih hidup bersama Tuhan.


Aku masih ingat, baru semalam aku membaca tentang mencintai sahabat. Begitulah, andai ada wanita mencintaiku dan kucintainya, aku lebih sudi untuk mencintai sahabat terlebih dahulu, lebih-lebih lagi di usia muda yang aku rasa kesenjaannya.

Sepanjang ingatan aku, beginilah diari warga Sekolah Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ) yang aku mampu ceritakan. Mereka bersamaku dan meneroka keindahan bandaraya Kota Kinabalu dan daerah Putatan.

Pra lawatan

Aku dimaklumkan oleh Firman bahawa TUNAZ akan menziarahi Sabah pada 1 hingga 4 Oktober. Mereka datang bersama doa dan harapan. Terkabul.

Sabtu, 1 Oktober

Burung besi merah yang membawa mereka itu tiba di tanah datar ibu negeri, di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Encik Jaharin Amat mengambil mereka, membawa mereka berjalan. 

Mereka memasuki bumi SMKAKK sekitar jam 10 pagi. Aku hanya tiba di SMKAKK dari bandaraya ibu negeri pada jam 12.30 tengahari. Aku dipertemukan dengan mereka dengan rahmat Allah dan izinNya sekitar jam 1 petang. Aku yang mendapat tahu ziarah mereka itu terlebih dahulu bertemu sahabat yang disayangi, Hami Hamizul, Ketua Asrama TUNAZ. Aku kemudian bertemu semula dengan Ustaz Zamri yang disayangi, Ketua Warden Asrama TUNAZ. Kemudian, aku berkenalan dengan Ketua Pelajar TUNAZ yang baru menyandang jawatannya sejak Julai lepas, Asrul Romdani, barulah yang lain termasuklah Ustaz Abang Marsal.

Aku merasa mereka semua mendampingi dan mendekatiku ketika aku menziarahi mereka seketika di Surau. Hari itu, baru aku tahu bahawa Ustaz Zamri itu senior Ustaz Azlan di universiti. Petang adalah kerehatan bagi mereka yang sudah terbang sejauh sekitar 1000 kilometer.

Mereka pada hari itu menghadiri Sidang Kemuncak SMKAKK-TUNAZ di Bilik Gerakan pada jam 8 malam tanpa kehadiranku yang berpulang ke kediaman di Tuaran.

Ahad, 2 Oktober

Hamizul kelmarinnya berpesan bahawa “aku tak ada besok” di Surau ketika kunjunganku. Mereka semua berseronok dengan kemajuan ibu negeri Sabah sampai malam hari dengan bas dipandu oleh Encik Bairudin Yusof.

Mereka pulang ke asrama SMKAKK dengan bertemankan hujan yang sungguh lebat. Boleh tahan mereka mandi hujan. Sepulangnya mereka, sekitar jam 11 malam, aku bertemu dengan beberapa ahli perwakilan TUNAZ. Aku bercerita tentang SMKAKK, Asrul Romdani bersama Hakim bercerita tentang TUNAZ. Sampai jam 1.30 pagi.

Hamizul lambat pulang ketika itu. Aku ditonyohnya dari belakang sebagai menyapaku ketika aku leka bercerita dengan Asrul dan Hakim. Dalam beberapa minit, Hamizul pergi ke Surau. Sebelum itu, aku tidak sangka bahawa aku dikenali di TUNAZ. Kata Hamizul, “Ini semua ini, tahu pasal kau.” Aku bertanya, “Owh, jadi selama ini, Hamizul memperkenalkan saya sama kamu?” Mereka mengiyakan kesemuanya. Aku membalas, “Aku pun bercerita jugalah tentang Hamizul.” Seperti terasa hati Hamizul seketika.

Aku menjengah Surau kemudiannya. Aku mendapat khabar bahawa 4 orang perwakilan TUNAZ beradu di Surau. Apa boleh buatlah. Hari itu, baru julung kali, betapa banyaknya telefon bimbit dan pemain MP3 dicas di dalam Surau. Aku tertidur di Surau bersama berpuluh warga SMKAKK.

Isnin, 3 Oktober

Mereka sudah bersedia untuk menziarahi SMKA Tun Ahmadshah (SEMAI), Inanam. Selepas Subuh, beberapa orang dari kalangan mereka membentuk halaqah di Surau bersamaku.

Selepas perhimpunan harian biasa, aku menjengah Dewan Makan. “(Orang Sarawak) belum datang. Tolong panggil.” Seru Embak Insolatin, penyelia Dewan Makan. Aku dengan kelam-kabutnya memanggil mereka di asrama. Mereka menikmati jamuan pagi bersama Bonda Pengetua, Ustazah Jaimis Saiman.

Jam 8 pagi, Encik Hairul Rajiun bersedia membawa mereka ke SEMAI dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Aku mendapat berita bahawa mereka menyinggah membeli-belah di 1 Borneo. Biasalah.

Di SEMAI, mereka menghadiri Sidang Kemuncak SEMAI-TUNAZ di Bilik Gerakan dan di Masjid. Di UMS, mereka melawat muzium di UMS dan dibawa mengelilingi UMS melihat kesaujanaannya.

Mereka pulang sekitar jam 10 malam bersama kepenatan. Aku masih bercerita dengan mereka sampai jam 12.30 tengah malam. Tetapi, sedikit sedih (dalam kalbu) kerana hajat tak kesampaian. Aku mahu berbicara dengan Hamizul. Tetapi, aku sebenarnya sedang berbicara dengan Suhaili dan Hisyam. Aku baru perasan bahawa Hisyam itu sahabatku di asrama TUNAZ, sebaya denganku. Tingkatan 5.

Selasa, 4 Oktober

Aku mengimami Solat Subuh. Beberapa sahabat TUNAZ sudah berada di Surau. Aku sangka aku masuk dahulu, rupanya Hamizul dan beberapa orang yang lain mendahuluiku. Aku hanya sempat meninggalkan Doa Rabitah yang dibaca selepas solat berjemaah. Selepas Subuh, aku didampingi oleh Hamizul, Asrul, Hisyam dan Hakim. Bercerita lagi sehingga jam 6 pagi.

Jam 7.30 pagi. Mereka bertemu dengan Penolong Kanan Pentadbiran SMKAKK, Cik Kertina Madun dan guru-guru SMKAKK. Mereka diraikan dalam sesi kedua Sidang Kemuncak SMKAKK-TUNAZ di Bilik Gerakan. SMKAKK dan TUNAZ saling menyampaikan penghargaan.

Penolong Kanan Tingkatan 6 SMKAKK, Ustazah Siti Khadijatul Akmar Shoib yang mengetuai Urusetia lawatan mereka, membawa mereka ke SRI al-Hafidz, Bandar Sierra, Kota Kinabalu, sekitar jam 9 pagi. Mereka yang pulang ke SMKAKK sekitar jam 11.50 pagi, hanya menyinggah mengangkat beg dan terus pulang. Aku hanya melihat bas itu berjalan jam 12.30 tengahari walaupun burung besi merah akan terbang ke ibu Bumi Kenyalang pada jam 3.30 petang.

Aku terlalu sedih ketika itu kerana tidak dapat mengucapkan Selamat Jalan kepada mereka semua. Mujur aku meninggalkan dua sampul surat sahaja sebagai tanda ingatan. Satu buat semua dan satu khas buat Hamizul yang aku tidak sempat berbicara panjang dengannya.

Aku hanya sempat menelefon Hamizul melalui Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKAKK, Ustaz Zulkifli Mohamad, yang memahami perasaanku. Rupanya, aku dapa rasa merekalah sahabat aku walaupun baru sekian hari.

Aku dengan Hamizul, Asrul dan Ustaz Zamri saling bermaafan dan saling berterima kasih. Aku merasa hatiku tak mampu bertahan dan air benak terus mengalir di pipi. Mereka yang karib denganku di SMKAKK ini faham tentangku.

Yang penting, Hamizul dan semua yang lain adalah sahabatku. Yang menjadi pendidik, yang menasihati dan mendidikku, itulah guruku.


Perwakilan SMKA Tun Ahmad Zaidi yang menziarahi Sabah
Pasca lawatan

Aku merancang untuk menghubungi mereka tentang khabar mereka.

Terima kasih, Syukran. Aku kebetulan dapat menghubunginya walaupun melalui laman muka buku. Menurut Syukran, hanya 4 orang sahaja dari kalangan putera TUNAZ yang mendatangi Sabah, yang berstatus harian. Yang lain, mereka adalah pelajar asrama, di bawah pengawasan Hamizul yang mengetuai asrama sejak tahun lepas dan akan tamat kontrak pada tahun depan sehingga ada yang menyangka Hamizul akan menjadi Ketua Pelajar TUNAZ. Namun, asrama TUNAZ masih mahukan kepimpinan Hamizul.

Mereka seperti aku dan budak SMKAKK yang lain, pulang setiap 2 minggu. Aku faham.

Lain kali, aku mahu terus mengekalkan hubungan. Aku tidak rugi andai aku saling menghubungi mereka.

Apabila dibanding antara perkongsian, kita saling hampir serupa walaupun hanya sedikit perbezaannya. Cemerlang kita bersama.

Bilik Pelajar Tingkatan 6 Atas, Asrama Putera, SMKA Kota Kinabalu, Sabah.
Ahad, 9 Oktober 2011, jam 9.00 pagi.

Comments