SMKAKK Memperkasa Identiti


Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu (SMKAKK) mengorak langkah baru untuk maju ke hadapan. Merentet imej baru SMKAKK dengan jenama “SMKAKK Sentiasa Unggul”, SMKAKK mengatur strategi bervisi dan berinovasi untuk menjadi SMKA terunggul di Sabah dan sentiasa unggul di astaka nusa.

Baru-baru ini, SMKAKK dicalonkan oleh Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Sabah untuk mewakili negeri Sabah dalam Anugerah Sekolah Terbaik Pengurusan Kokurikulum dan Anugerah Lonjakan Saujana Kokurikulum anjuran Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia. Menyusuri sejarah ini, SMKAKK cuba memperkasakan identitinya dengan mewujudkan etos (budaya) dan niche area (bidang kebitaraan).


Prinsip 5S (Senyum, Salam, Sapa, Sopan dan Sayang) yang diilhamkan oleh Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR), SMKAKK sebagai sebuah program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR), diisytiharkan sebagai etos pada 26 Ogos 2011 oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMKAKK, Ustaz Zulkifli Mohamad. Namun begitu, prinsip ini dimurnikan semula oleh Penolong Kanan Kokurikulum, SMKAKK, Puan Halija Jonggang sebagai 3S ketika taklimatnya pada 19 September lepas.

Puan Halija turut mengiktiraf aktiviti perbahasan sebagai niche area SMKAKK pada 26 Ogos lalu. Hal ini demikian kerana, SMKAKK telah melakar kecemerlangan yang signifikan dalam perbahasan. Setakat tahun ini, SMKAKK berjaya mewakili Sabah bersama-sama SMKA Limauan, Papar dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah SeMalaysia 2011. Sebelum itu, SMKAKK menyandang naib johan Perbahasan ala Parlimen Bahasa Melayu Sekolah Menengah Negeri Sabah 2011 setelah ditewaskan oleh SMKA Tun Said, Kota Belud. Tahun lepas pula menyaksikan SMKAKK merangkul johan pertandingan yang sama. Pada tahun 2009, SMKAKK merangkul naib johan Perbahasan ala Parlimen Bahasa Melayu Sekolah Menengah SeMalaysia setelah ditewaskan oleh SMKA Maahad Muar, Johor.

Oleh yang demikian, hasrat sekolah untuk menjadikan SMKAKK sebagai Sekolah Sukan Berprestasi Tinggi belum tercapai kerana identiti sukan antara sekolah dalam Sabah masih dimonopoli oleh SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang sebagai Sekolah Sukan Negeri Sabah. Tambahan pula, identiti sebenar SMKAKK ialah perbahasan sejak bertahun lamanya. Bagaimanapun, pemerkasaan SMKAKK sebagai sebuah sekolah sukan akan digiatkan secara aktif mulai tahun hadapan apabila program 1 Murid 1 Sukan (1M1S) yang diperkenalkan sejak awal tahun ini, akan diaktifkan mulai tahun hadapan dan 1M1S sudah menjadi kemestian kepada setiap pelajar mulai tahun hadapan. Sekolah tetap mengekalkan wawasan ini. Hal ini demikian kerana, SMKAKK sedang dicalonkan untuk menjadi Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dan Sekolah Berprestij Tinggi (SBT). Sebagai tambahan, 1M1S adalah program yang berasingan dengan program sukan dan permainan yang biasanya dilakukan oleh Cabang Kokurikulum sekolah.

Untuk membuktikan bahawa perbahasan merupakan niche area sekolah, sekolah telah mengatur program Duta Gemilang Imtiyaz (DGi). Perkataan Imtiyaz (kecemerlangan) diambil untuk menggambarkan SMKAKK sebagai sebuah SMKA. Untuk melaksanakan Program DGi, beberapa aktiviti telah dirangka dan sebahagiannya telahpun dilaksanakan. Antaranya, secara harian, sekolah mengadakan pembentangan ulasan Komponen Sastera (KOMSAS) di setiap kelas dan program Sehari Sepatah Kata (SSK). Kedua-duanya dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu (PBM). Secara mingguan, sekolah mengadakan Wacana Ilmiah yang dihoskan oleh Persatuan Tingkatan Enam (PERTESMA) dan program pengucapan awam yang dihoskan oleh PBM. Secara bulanan, sekolah melalui Cabang Akademik di bawah pimpinan Penolong Kanan Pentadbiran, Cik Kertina Madun, mengadakan program mengikut Jabatan seperti Bulan Pengajian Islam (Februari), Bulan Sains dan Matematik (April), Bulan Bahasa (Mei), Minggu Teknikal (Julai) dan Bulan Kemanusiaan (Ogos). Secara tahunan, semua peserta yang menjadi wakil pertandingan dikecualikan daripada sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) dan diminta untuk berlatih sebelum pertandingan berlangsung.

Deduksinya, sebelum SMKAKK memperbaharui identitinya, SMKAKK telah melakar kejayaannya yang tersendiri. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus mengharumkan nama SMKAKK di pelbagai peringkat hingga ke astaka dunia. Kini, SMKAKK harus menaiktaraf bidang keberhasilan utama (KRA) sekolah dengan mewujudkan pengurusan berkualiti, mengadakan hubungan antarabangsa dan mengangkasakan kokurikulum sokongan akademik sebagai kecemerlangan utama sekolah tanpa melupakan kecemerlangan akademik dan kepujian sahsiah warga. Dengan kerjasama semua pihak dalam dan luar SMKAKK demi kecemerlangan SMKAKK, SMKAKK pasti mencapai sasaran untuk terus unggul di Malaysia amnya dan di Sabah khasnya.

Comments