Sengsara

"Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan"
(Kehidupan, InTeam dan Nazrey Johani)

Baru sebentar tadi saya menonton rancangan TV al-Hijrah (Astro: Saluran 114), Lau Kana Baynana (Andai Rasulullah SAW Bersama Kita). Rancangan itu sebentar tadi mengajar kita tentang kesabaran. Saya rasa saya perlu bertenang dan bersabar atas ujian yang melanda. Saya merasa terlalu pahit dan berat untuk menempuh ujian yang saya terima.


"Tuhan, kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa..."
(Muhasabah Cinta, EdCoustic)

Bermula dari tibanya saya dan keluarga di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 28 Ogos 2011. Datuk saya mulai demam. Sehinggalah pada 1 September 2011, datuk saya terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Pada hari kemerdekaan, saya jatuh sakit selama 3 hari. Sebelum itu, adik saya sakit sehari. Kami sudahpun pulih. Namun, sepanjang sakit sehingga ke hari ini, saya tidak mahu makan. Walaupun ada banyak makanan di rumah, saya merasa seolah-olah tidak ada benda mahu makan. Saya tidak makan bukan setakat kerana tidak sihat, malah kerana resah dengan ujian yang menimpa.

Namun begitu, berikutan keadaan datuk yang sudah uzur, kepulangan kami pagi kelmarin ke Kota Kinabalu, Sabah, dibatalkan dan akan pulang pada hari lain yang terdekat. SMKA Kota Kinabalu melalui Ketua Warden Asrama sudah memberi kelepasan kepada saya untuk pulang lewat ke sekolah.

Pada tengah malam kelmarin, ketika berada dekat Unit Kecemasan HTAN, telefon saya (Samsung X640C) rosak. Berikutan kerosakan teruk, saya terpaksa membeli telefon baru (Nokia 2330 classic) di pekan Kuala Pilah dengan harga RM 160 sementara telefon saya (Nokia 3110 classic) dibaiki selepas pulang ke Tuaran nanti.

Di samping itu, saya merasa sakit jiwa dan panas baran atas ujian yang melanda sehingga emosi saya yang tidak terkawal terheret kepada ibu bapa saya. Hal ini kerana hanya tinggal ibu bapa saya, Pak Chek dan Mak Chek saya, nenek saya, Pak Long dan Mak Long saya sahaja yang tinggal sementara yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing. Kakak saya yang menuntut di IPG Ilmu Khas, Kuala Lumpur pun baru sahaja pulang ke rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur. Saya dan keluarga belum dapat pulang ke Kota Kinabalu dan perlu menjaga datuk saya bergilir-gilir antara setiap yang ada di kampung di HTAN.

Melihat harga tiket untuk pulang segera, harga tiket penerbangan 6 September sudahpun ada yang habis mahupun yang berharga RM 470 hingga RM 780, jika masih ada. Kami mengambil keputusan tidak pulang kerana takut berlaku sebarang kemungkinan yang memungkinkan harga tiket terlalu mahal untuk dua hala.

Pada tahun 2007, akibat Mak Lang saya meninggal dunia, kami sekeluarga (5 orang) pulang dengan tiket berharga sekitar RM 4 000 untuk 2 hala dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Namun begitu, sehingga sekarang, saya masih belum sempat menempah tiket balik, terutamanya untuk saya, ayah dan adik saya. Kemungkinan besar ibu saya akan menjaga datuk saya bersama sanak saudara bergilir-gilir.

Konklusinya, terlalu banyak ujian yang melanda saya dan keluarga sepanjang balik kampung ini. Saya bimbang kucing-kucing kami di rumah tidak makan untuk 2 hari kerana makanan kucing hanya cukup sehingga kelmarin. Saya juga bimbangkan keselamatan rumah kami kerana Polis hanya meronda rumah kami sehingga kelmarin.

Doakan kami semoga semua ujian ini dimudahkan oleh Allah SWT.

"Allah tidak membebani seseorang melebihi kemampuannya."
(Surah al-Baqarah, ayat 286)

Comments