Sekolah TUNAZ sah menziarahi Kota Kinabalu

SMKA Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ), Kuching, Sarawak, yang baru sahaja didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), akan mengadakan lawatan ke Sabah pada 1 hingga 4 Oktober ini. Perkara ini dimaklumkan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK), Ustaz Zulkifli Mohamad, dalam kenyataan lisannya kepada perhimpunan harian sekolah, pagi tadi. Sebelum itu, kenyataan yang sama telah dikeluarkan oleh Ketua Warden Asrama SMKAKK, Encik Matusin Ismail. Lawatan rasmi ini dianjurkan oleh pentadbiran sekolah itu dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sekolah itu.

Kontinjen SABK TUNAZ dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekitar jam 9.00 pagi esok dan akan disambut oleh perwakilan dari SMKAKK. Mereka dijangka tiba di SMKAKK, tengahari esok. Sepanjang mereka berada di Sabah, selain mengadakan Sidang Kemuncak dengan SMKAKK, mereka turut akan menziarahi SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS), Inanam, Kota Kinabalu dan akan mengadakan Sidang Kemuncak dengan SMKA TUNAS. Mereka juga akan melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zoo Lokkawi dan beberapa tempat pelancongan di sekitar Kota Kinabalu.

Lawatan yang diilhamkan oleh Pengetua SABK TUNAZ, Puan Affida Helmi, diadakan sebagai membalas lawatan MPP SMKAKK (pada tahun 2008) dan Pasukan Ashabul Imtiyaz, SMKA TUNAS (ketika masih bernama SMKA Inanam pada tahun 2009) ke SABK TUNAZ ketika sekolah itu bertaraf SMKA. Dengan ini, SMKAKK mengalu-alukan ziarah SABK TUNAZ ke SMKAKK.

SMKAKK dilantik sebagai urusetia lawatan SABK TUNAZ ke Sabah. Urusetia diketuai oleh Penolong Kanan Pra Universiti SMKAKK, Ustazah Siti Khadijatul Akmar Shoib. Hal ehwal lawatan rasmi akan diuruskan secara berasingan oleh SMKAKK, SMKA TUNAS dan UMS; manakala pengangkutan, sajian, penginapan dan tindakan khas berada di bawah tanggungjawab SMKAKK.

Comments