Perutusan sempena Hari Malaysia 48/2011


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah. Dulu, kini dan selamanya, kita memanjatkan setinggi penghargaan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya. Selawat dan salam dipanjatkan ke hadrat Rasulullah SAW, kaum keluarganya dan para sahabatnya yang budiman.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 dan Selamat Hari Malaysia bagi tahun ke-48 kepada semua.


TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA

Alhamdulillah, tahun 2011 menyaksikan Malaysia mengekalkan kemerdekaan buat tahun ke-54 walaupun sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan pada Hari Malaysia, 16 September. Negara kita kali ini memilih tema Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

Oleh sebab sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini seiring dengan sambutan Aidilfitri dan bulan Syawal, adalah menjadi harapan kita semua agar seluruh rakyat Malaysia terus sejahtera bukan setakat kerana transformasi yang Kerajaan kita lakukan dalam pentadbiran mereka, malah kerana transformasi diri yang kita lakukan selaras dengan kehendak Ramadhan ini. Bulan Ramadhan kita lalui sebagai bulan transformasi diri dari yang baik kepada yang lebih baik. Sekiranya transformasi bergerak zahir dan batin secara beriringan, sudah pasti rakyat Malaysia terus sejahtera kerana dirahmati keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dikasihi oleh pemerintah.

Jangan jadikan perbezaan dari segi agama, bangsa dan fahaman politik sebagai ukuran. Kita adalah rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan perpaduan. Tanpa rasa cinta kita terhadap perpaduan dan kedamaian, tidak mungkin pemimpin kita dahulu akan memperjuangkan kemerdekaan hingga ke titisan darah yang terakhir dan tidak mungkin jualah Malaysia kekal aman, bebas dan berkecuali.

Bersederhanalah, wahai rakyat Malaysia. Marilah qanaah, wahai hamba Allah. Meski kita seorang pemimpin, kita turut dipimpin oleh Allah SWT ke arah kebenaran agama Islam. Biarlah kita dipimpin oleh pemerintah. Namun, kita berjaya memimpin diri kita ke arah kebenaran.  Ayat al-Quran ada menyatakan, “Katakanlah, telah datang kebenaran dan telah pergi kebatilan. Sesungguhnya yang batil itu tetap diketepi.”

Bukanlah kita seorang hamba Allah sekiranya berlebihan dalam perjuangan. Walaupun perjuangan itu berbentuk individu mahupun kolektif, biarlah halatuju kita jauh ke hadapan namun caranya bersederhana.

Kita bukan jua rakyat Malaysia sekiranya tidak mencintai Malaysia. Ingatlah, mencintai negara itu sebahagian daripada iman. Maka, cintailah Malaysia. Selamatlah Malaysia jaya, negara kita yang tercinta. Mencintai Malaysia bukan setakat meraikan Hari Kemerdekaan mahupun Hari Malaysia semata-mata, bahkan mencintai Malaysia ialah dengan berbakti kepada negara, menghargai pengorbanan, jihad dan perjuangan para satria negara serta memanjatkan syukur dan doa agar Malaysia tetap di bawah lembayung kasih sayang Allah.

BAHAYA PEMALSUAN SEJARAH

Marcapada kini, kita dihujani dengan pemalsuan fakta sejarah oleh pihak yang tidak berkredibiliti dan berakauntabiliti. Rakyat Malaysia amat kecewa apabila keperwiraan satria negara dinafikan dengan mengatakan bahawa komunis itu wira hanya kerana polis ketika itu dinaungi Pentadbiran Tentera British (BMA). Maka, saya tidak hairan mengapa waris mangsa Balai Polis Bukit Kepong dan rakyat Malaysia yang lain terlalu berang mendengarkan kata-kata ini sehingga membawa kepada penyiasatan pihak polis menurut Akta Hasutan.

Nasihat saya sebagai rakyat Malaysia, jangan memalsukan sejarah. Sejarah tidak akan wujud tanpa berlakunya sesuatu peristiwa. Sejarah tidak akan diterima umum sekiranya sesuatu sejarah itu palsu. Umum mengetahui bahawa sejarah merupakan kalam ijmak ahli sejarawan yang mengkaji sesuatu sejarah. Belajarlah sejarah dengan penuh penghayatan dan rasa waspada.

Saya bersetuju dengan kata-kata Yang Berhormat ADUN Kerdau, Pahang. Beliau dalam kenyataannya kepada akhbar Sinar Harian pada 6 September 2011 berkata bahawa Firaun layak menjadi tokoh berdasarkan sejarah yang diceritakan dalam al-Quran. Namun, sikap Firaun dengan Allah SWT mengakibatkan Allah SWT melaknat Firaun dan menafikan ketokohan Firaun selama-lamanya dalam al-Quran. Iktibarnya, menurut beliau, Firaun itu tokoh namun ada sejarah lain yang menyebabkan Firaun tidak boleh dicontohi ketokohannya.

Beliau menyamakan Firaun dalam al-Quran dengan Mat Indera dalam sebuah buku yang diulas oleh seorang politikus. Akademia berpendapat bahawa mungkin benar kenyataan politikus itu bahawa Mat Indera itu pejuang kemerdekaan. Namun begitu, oleh sebab sejarah mengatakan bahawa Mat Indera pernah terlibat dalam aktiviti komunis sehingga dihukum mati, Mat Indera turut disebut sebagai petualang negara.

Oleh itu, tidak patut petualang disebut sebagai pejuang. Petualang tetap dianggap sebagai petualang. Wira tetap dianggap sebagai wira. Umum mengetahui bahawa komunis yang diasaskan fahamannya oleh Karl Marx merupakan petualang negara. Bahkan, banyak negara yang mengamalkan fahaman sosialis telah menolak fahaman komunis yang ada kaitan dengan fahaman sosialis. Oleh itu, terlajak perahu, boleh diundur; terlajak bicara, badan binasa. Pulanglah kepada kebenaran. Yang hak tetap ke mari, yang batil tetap pergi, kerana yang batil tetap diketepi.

Namun begitu, saya bersetuju sekiranya Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, berhasrat untuk merombak semula sukatan subjek Sejarah yang diajarkan di sekolah menengah. Mungkin perkara ini akan menyusahkan pelbagai pihak terutamanya guru dan pelajar. Akan tetapi, demi kemaslahatan rakyat dan untuk memurnikan ketulenan sejarah, perkara ini menjadi keharusan kepada kerajaan.

TERIMA KASIH, WIRA DAN SATRIA

Alhamdulillah, Malaysia kini berusia 48 tahun semenjak penubuhannya pada 16 September 1963. Semenjak 48 tahun penubuhan Malaysia dan 54 tahun kemerdekaannya, Malaysia banyak menempa nama di persada dunia. Kita berterima kasih kepada setiap wira, satria dan pejuang negara kerana menempa nama Malaysia dalam pelbagai bidang dan seterusnya mempertahankan kedaulatan Malaysia di dunia sebagai persekutuan berdemokrasi berparlimen yang berdaulat dan merdeka.

Kita juga berterima kasih kepada semua negarawan yang disanjungi kerana memajukan negara dan mengharumkan nama negara di astaka dunia. Mereka terdiri daripada para menteri, para setiausaha kerajaan, para perwira dari pelbagai latar belakang dan di pelbagai lapangan serta para anggota keselamatan yang masih hidup dan yang telah mendahului kita dalam memperjuangkan Malaysia.

Akhirnya, sama-samalah kita bersyukur kepada Allah SWT atas kedaulatan Malaysia dan kerajaannya sehingga kini. Teruskan mensyukuri Allah dan mensyukuri Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Saya yang benar,

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Pengerusi, Kelab Bahasa Arab,
SMKA Kota Kinabalu, Sabah.

7 September 2011

Comments