SMKA Tun Ahmad Zaidi kini SABK Tun Ahmad Zaidi

Terkenang sebuah memori lalu...
Saya masih ingat lawatan saya ke SMKA Tun Ahmad Zaidi (SMKA TUNAZ), Kuching, Sarawak pada 8-12 Julai 2009. Ketika itu, pengetuanya yang saya kenal, Puan Hjh. Amnah Salleh. Namun, beliau sudah pencen pada 14 Januari 2011 dan digantikan oleh Pn. Affida Helmi dari SMKA Tun Ahmadshah (SMKA TUNAS), Kota Kinabalu, Sabah.

Terkini, beritanya, SMKA Tun Ahmad Zaidi kini berstatus Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dengan nama SABK Tun Ahmad Zaidi. Alamat masih sama, Jalan Sultan Tengah, Kuching. Berita ini baru saya ketahui kelmarin. Apapun, saya yang mempunyai hubungan yang agak istimewa dengan warga TUNAZ ini bersetuju sekiranya SMKA TUNAZ menjadi SABK.


Pendapat saya mengenai SABK TUNAZ:

  • Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai pemilikan bersama terhadap SABK TUNAZ. Pemilikan bersama memungkinkan sebuah Lembaga Pengarah (BD) ditubuhkan di sekolah ini yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sarawak. Setakat tahun 2009, menurut Puan Hjh. Amnah, BD dipengerusikan oleh Timbalan SUK Negeri Sarawak kerana SUK Negeri Sarawak pada tahun itu bukan Muslim.
  • Melalui pembentukan SMKA TUNAZ sebagai SABK, pentadbiran menjadi lebih autonomi. BD sekolah menjadi lebih mantap di samping pengurusan yang lebih efisien. Pengurusan sumber manusia menjadi tanggungjawab KPM, pembangunan infrastruktur serta beberapa aspek lain menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Jabatan Agama Islam Sarawak. Menurut sejarah, SMKA TUNAZ adalah Sekolah Menengah Bantuan Agama (SMBA) Majlis Islam Sarawak (MIS) (berstatus sekolah kerajaan negeri) (1990-1997) dan SMK Agama MIS (berstatus sekolah harian) (1997-2001).
  • Pengurusan kewangan menjadi tanggungjawab penuh bersama KPM dan Kerajaan Negeri Sarawak. Dalam erti kata lain, KPM menyalur bantuan modal serta sumbangan; manakala Kerajaan Negeri Sarawak menyalur peruntukan perbekalan tahunan seperti dalam Peraturan Perbekalan Negeri keluaran Dewan Undangan Negeri Sarawak. Berbeza pula dengan SMKA TUNAS, SMKA TUNAS tidak ada BD. Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan sumbangan tahunan. KPM bertanggungjawab penuh ke atas pengurusan kewangan SMKA TUNAS.
  • Setelah SMKA TUNAZ menjadi SABK, SMKA TUNAZ terkeluar daripada keahlian SMKA dan menjadi ahli SABK. Pendaftaran sekolah dengan KPM kekal walaupun status berubah. Keistimewaan sebagai SMKA hilang dan diberi keistimewaan sebagai SABK.
  • Pendaftaran SMKA TUNAZ sebagai SABK memungkinkan SABK TUNAZ bersaing dengan SMKA lain dalam Sarawak sahaja. SABK TUNAZ tidak akan bersaing dengan SMKA seluruh Malaysia sepertimana semasa SABK TUNAZ menjadi SMKA.
Namun begitu, SMKA TUNAZ tetap kenangan terindah bagi saya yang melawatnya. Saya fikir Pn. Affida Helmi membuat keputusan yang cukup baik.

Comments