Setelah Setahun...

Setahun sudahpun menjadi yang silam. Kalau orang bertanyakan khabarku, aku seindah biasa, Alhamdulillah. Tidak terlalu gembira, tidaklah terlalu duka.
Semenjak menuntut di SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK), banyak kali jualah saya menemui orang-orang SMKA Tun Ahmadshah (SMKA TUNAS). Akan tetapi, setakat setahun ini, saya baru menziarahi SMKA TUNAS tiga kali. Sebenarnya, saya berat hati untuk "kembali" ke SMKA TUNAS. Oleh sebab saya masih ada beberapa urusan dengan SMKA TUNAS, saya cuba datang dengan berlapang dada. Saya kurang biasa dengan istilah rasmi SMKA TUNAS. Saya lebih suka memanggil sekolah saya sebagai SMKA Inanam (SEMAI).

Saya masih ingat ziarah saya ke SEMAI, pertama kali setelah menuntut di SMKAKK. Saya berombongan bersama berpuluh orang bekas pelajar SEMAI dari Tingkatan 4, 5 dan Pra Universiti 2. Ketika itu, kami mengadakan kunjungan hormat terhadap mantan Pengetua, Puan Affida Helmi, yang kini menjadi Pengetua di SMKA Tun Ahmad Zaidi (SMKA TUNAZ), Kuching, Sarawak. Saya sebak mengenangkan kehadiran saya di SEMAI dahulu. Saya dan yang lain sempat menunaikan solat Asar bersama para pelajar SEMAI.

Kali kedua saya menziarahi SEMAI pada 3 Ogos lalu. Saya mencari Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Noor Azilah Mohamad dan Penasihat Kelab Catur, Puan Kamariah Abu Bakar. Malangnya, kedua-dua mereka sudah pulang ketika saya tiba di SEMAI. Saya hanya sempat bertemu Encik Jamilin Matiassin (yang pernah mengajar saya Bahasa Melayu), Puan Chempawan Nanyan (yang pernah mengajar saya Bahasa Inggeris merangkap guru kelas Tingkatan 1/2 Ibnu Abbas 2007/2008), Encik Mohamad Fikri Mohamad Nawi, Encik Abdul Shukor Mahamood dan Cik Hamilah Hanun Abu Hassan (guru Geografi saya merangkap Guru Kanan Kemanusiaan); selain daripada beberapa orang staf pengurusan.

Saya sempat bersolat Asar di Masjid SEMAI itu. Saya tiba di Masjid SEMAI awal sedikit, hampir-hampir jam 3.40 petang. Ketika itu, rata-rata putera SEMAI masih di pembaringan di masjid. Ketika saya tiba di sana, saya bertemu dengan beberapa orang pelajar Tingkatan 2 dan 3. Ketika putera dibangunkan, saya dapat merasakan bahawa saya adalah tanda soal bagi muka-muka yang baru bangun dari tidur. Adakah mereka masih dalam mimpi, melihat wajah ini yang sudah berpergian hidup sekian lama?

Bukan mimpi itu. Itu realiti. Begitulah. Saya bertemu dengan majoriti Tingkatan 5 selain beberapa orang di tingkatan lain, kecuali Tingkatan 1. Saya tidak berhajat pun menemui orang-orang istimewa sebab tiada berkesempatan.

Kali keseterusnya, kelmarin. Alhamdulillah, dapatlah saya jumpa Puan Noor Azilah yang saya cari. Urusan kokurikulum saya separuh selesai. Saya pulangkan kepada SEMAI untuk menyelesaikan urusan tersebut.

Malam selepas ziarah ke-3 ke SEMAI, ketika saya menggunakan Skype, "Salam." Itu dari Muhammad Hasan, pelajar Tingkatan 4.

"Waalaikumussalam."

"Ingat saya lagi?" Lantas saya menyebut namanya. Syukur. Kemudian, bicaranya menyusul, "Masih kenal rupanya."

Nasib saya masih ingat. Nyaris terlupa adinda sendiri, junior di SEMAI.

"Saya ingin minta maaf atas segala kesalahan yang saya lakukan terhadap Abang sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Saya harap Abang maafkan saya," pinta hati Muhammad.

"Muhammad, apalah sangat salah kamu terhadap diri ini? Sebenarnya Abang pun mahu minta maaf segala salah silap diri ini. Kamu tak ada salah pun. Bukan dirimu yang salah."

Jawabnya, "Bukan apa, mana tahu kita tidak jumpa lagi?"

"Allahu a'lam. Saya pun tak lama lagi ini. Sudah ada tanda-tanda, SMS dari Malaikat Maut." Sekali lagi saya menyelami hatinya dengan kata-kata ini, "Muhammad, kamu tak ada salah apa pun."

"Yang penting, Abang maafkan saya, bukan?"

"Begitulah. Sebelum keluar dari SEMAI, saya terdahulu memohon maaf segala salah silap diri ini. Kamu beruntung, Muhammad. Kamu dimaafkan. Bukan dirimu yang salah. Abang sudahpun memaafkan kamu." Lantas Muhammad pun memaafkan diri ini. Sekali lagi, "Minta Abang maafkan segala dosa saya terhadap Abang. Terima kasih, Abang."

"Saya yang berdosa dengan kamu semua, bukan setakat dirimu seorang. Kamu keseluruhan. Kamu tak ada dosa pun dengan saya." Muhammad menidakkan.

Saya berkata lagi, "Begitulah. Terima kasih jikalau kamu sudi memaafkan saya. Di sampung itu, saya harap rakan-rakan kamu turut memaafkan saya. Seluruh warga SEMAI yang mengenali saya. Maafkan saya..."

Lalu, saya meletakkan satu harapan. Saya harap dapat menemui semula anda semua. Saya ingat mahu minta maaf kepada semua. 

Comments