Perutusan sempena Aidilfitri 1432 dan Kemerdekaan Malaysia ke-54

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat, Yang Berbahagia dan Yang Berusaha
Datuk-Datuk, Datin-Datin,
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara saudari sekalian.

Alhamdulillah. Dulu, kini dan selamanya, kita memanjatkan setinggi penghargaan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaanNya. Kasih sayang Allah memungkinkan kita kini sudah berada di penghujung Ramadhan dan tidak lama lagi akan berada di bulan Syawal. Tidak dilupakan, selawat dan salam dipanjatkan ke hadrat Rasulullah SAW, kaum keluarganya dan para sahabatnya yang budiman.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dengan ucapan Maaf Zahir Batin kepada semua yang mengenali saya. Saya berterima kasih kepada semua yang mengirim ucapan mahupun mengirim kad Aidilfitri kepada saya kali ini.


MUHASABAH RAMADHAN

Alhamdulillah, kita berjaya menempuh Ramadhan kali ini dengan selamatnya. Secara peribadinya, saya bersyukur kerana bulan Ramadhan kali ini menjanjikan lebih banyak keamanan daripada sebelumnya. Bagaimanapun, saya bersedih atas pemergian beberapa orang yang kita kenali pada Ramadhan kali ini. Kita bersedih bukan setakat kerana pemergian mereka yang abadi, malah kita bersedih kerana mereka tidak dapat menghabiskan bulan Ramadhan bersama kita. Adalah didoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Al-Fatihah.

كل نفس ذائقة الموت

Ramadhan saya tahun ini memungkinkan saya cuba mengembangkan bakat kepimpinan terutamanya dalam mengurus program kerohanian di surau sekolah seperti mengetuai Majlis Iftar Jamaie dan Memperingati Nuzul al-Quran, mempengerusikan Tazkirah Ramadhan dan lain-lain. Bagaimanapun, supaya orang lain menikmati peluang penyertaan yang orang lain nikmati, saya mempasifkan diri untuk menyertai acara-acara Ramadhan.

Namun, saya masih bersedih dengan diri sendiri dan dengan yang lain. Hal ini demikian kerana, sepatutnya Ramadhan menjanjikan banyak kebaikan dari segi sahsiah dan keperibadian. Akan tetapi, masih ramai yang belum merasa kemanisan akhlak mulia. Pahrol Mohamad Juoi dalam sajaknya yang bertajuk Muhasabah Ramadhan bertanya kepada kita semua termasuk dirinya:

                Sudahkah terbangun jiwa teguh dan kukuh
                atau kolam jiwa masih tercemar keruh
                bersembilu dosa duri angkara?

Majalah Solusi Edisi ke-34 bertanya kepada kita semua, “Andai ini Ramadhan terakhir, layakkah kita berhari raya?”

Solusi 34

Namun begitu, saya masih berharap agar Ramadhan kali ini mampu menginsafkan kita dan seterusnya memungkinkan kita untuk mengecap pahala berlipat kali ganda dan merasa dosa kita terampun juga berlipat kali ganda.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah dilakukannya.”

Ramadhan kali ini juga menyaksikan jalinan persahabatan terus dimurnikan. Bukan setakat kepada sahabat sebaya, bahkan persahabatan diluaskan secara murni kepada adik-adik yang lebih muda dari saya. Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat saya (yang saya tidak dapat sebut namanya satu persatu) kerana masih menerima saya sebagai sahabat mereka. Ketahuilah, sahabat saya ialah seorang yang baik hati, berakhlak mulia, mudah didekati, saling bertolak ansur, saling menerima, saling maaf dan memaafkan serta  mengasihi semua.

Bagi yang masih meletakkan saya di luar lingkungan pertemanan, saya redha dengan diri ini. Bagaimanapun, saya ingin membawa seruan ramai agar kembali bersatu walaupun haluan kata dan bicara amat berbeza. Bersatulah semuanya, kerana perpaduan teras kejayaan.

Ramadhan ini juga menyaksikan banyak ujian ditempuh. Ujian ketika betarbiyah dan ujian ketika menjalankan dakwah. Saya berterima kasih kepada setiap yang ikhlas membantu saya dalam tarbiyah dan dakwah. Saya sedar bahawa saya juga manusia biasa dan perlu dibimbing ke arah kebenaran sepertimana saya mampu membimbing orang lain ke arah kebenaran sedaya yang termampu. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzariyat, ayat 55 yang bermaksud, “Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu amat berguna bagi orang-orang yang beriman.”

Bagi setiap yang menyokong perjuangan ini, saya memohon doa semoga perjuangan saya terus dibantu oleh Allah dan diterima olehnya sebagai amal jariah. Kepada mereka jua, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih. Tanpa sokongan, dukungan dan dorongan dari yang lain, mana mungkin saya akan terus berdiri teguh atas jalan tarbiyah dan dakwah. Saya berikrar akan tetap teguh atas jalan tarbiyah dan dakwah Islamiah.

TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA

Alhamdulillah, tahun 2011 menyaksikan Malaysia mengekalkan kemerdekaan buat tahun ke-54 walaupun sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan pada Hari Malaysia, 16 September. Negara kita kali ini memilih tema Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

Oleh sebab sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini seiring dengan sambutan Aidilfitri, adalah menjadi harapan kita semua agar seluruh rakyat Malaysia terus sejahtera bukan setakat kerana transformasi yang Kerajaan kita lakukan dalam pentadbiran mereka, malah kerana transformasi diri yang kita lakukan selaras dengan kehendak Ramadhan ini. Bulan Ramadhan kita lalui sebagai bulan transformasi diri dari yang baik kepada yang lebih baik. Sekiranya transformasi bergerak zahir dan batin secara beriringan, sudah pasti rakyat Malaysia terus sejahtera kerana dirahmati keluasan rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dikasihi oleh pemerintah.

Jangan jadikan perbezaan dari segi agama, bangsa dan fahaman politik sebagai ukuran. Kita adalah rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan perpaduan. Tanpa rasa cinta kita terhadap perpaduan dan kedamaian, tidak mungkin pemimpin kita dahulu akan memperjuangkan kemerdekaan hingga ke titisan darah yang terakhir dan tidak mungkin jualah Malaysia kekal aman, bebas dan berkecuali.

Bersederhanalah, wahai rakyat Malaysia. Marilah qanaah, wahai hamba Allah. Meski kita seorang pemimpin, kita turut dipimpin oleh Allah SWT ke arah kebenaran agama Islam. Biarlah kita dipimpin oleh pemerintah. Namun, kita berjaya memimpin diri kita ke arah kebenaran.  Ayat al-Quran ada menyatakan, “Katakanlah, telah datang kebenaran dan telah pergi kebatilan. Sesungguhnya yang batil itu tetap diketepi.”

Bukanlah kita seorang hamba Allah sekiranya berlebihan dalam perjuangan. Walaupun perjuangan itu berbentuk individu mahupun kolektif, biarlah halatuju kita jauh ke hadapan namun caranya bersederhana.

Kita bukan jua rakyat Malaysia sekiranya tidak mencintai Malaysia. Ingatlah, mencintai negara itu sebahagian daripada iman. Maka, cintailah Malaysia. Selamatlah Malaysia jaya, negara kita yang tercinta. Mencintai Malaysia bukan setakat meraikan Hari Kemerdekaan mahupun Hari Malaysia semata-mata, bahkan mencintai Malaysia ialah dengan berbakti kepada negara, menghargai pengorbanan, jihad dan perjuangan para satria negara serta memanjatkan syukur dan doa agar Malaysia tetap di bawah lembayung kasih sayang Allah.

AIDILFITRI DALAM SEMANGAT UKHUWAH ISLAMIYYAH

Sempena Aidilfitri yang akan menjelang tiba, saya menyeru kepada diri saya dan semuanya agar memanfaatkan Aidilfitri dengan memperbanyakkan kesyukuran kepada Allah SWT serta meneruskan keimanan yang ada. Sambutan Aidilfitri disyariatkan oleh Allah SWT selama sehari bertujuan untuk meraikan kesyukuran kepada Yang Maha Esa setelah berjaya menempuh bulan Ramadhan al-Mubarak.

Namun, realitinya pada hari ini, sambutan Aidilfitri yang diamalkan oleh Kerajaan mahupun sebahagian besar rakyat jelata bukanlah setakat 1 Syawal itu. Sambutan itu terlanjut ke seluruh hari dalam Syawal sehingga rakyat Malaysia dimungkinkan menyambut hari-hari Syawal sebagai hari raya. Sebetulnya, tanggapan ini silap. Akan tetapi, seruan Islam ke arah perpaduan, kesatuan, kasih sayang sesama masyarakat dan sifat-sifat Mahmudah yang lain memungkinkan Syawal dirayakan hari ke hari dalam bulan Syawal.

Ketahuilah, Malaysia bukanlah sebuah negara bangsa dan agama. Malaysia bukan memiliki satu bangsa dan satu agama juga satu bahasa dan budaya. Malaysia adalah persekutuan perpaduan. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya bersyukur kepada Allah SWT. Kita akan merayakan Aidilfitri dan Syawal dalam suasana Ukhuwah Islamiyyah dan suasana 1 Malaysia. Walaupun sambutan Aidilfitri terbatas untuk seluruh umat Islam, sambutan Aidilfitri dan Syawal tetap dirayakan berbilang bangsa, agama, warganegara dan fahaman politik sebagai hari raya 1 Malaysia.

Kita boleh melihat bahawa amalan rumah terbuka diamalkan oleh masyarakat yang mencintai perpaduan. Penganjur rumah terbuka terdiri dari kalangan Muslimin dan Muslimat. Akan tetapi, pengunjungnya bukan setakat dari kalangan Muslimin dan Muslimat, bahkan yang berlainan agama dan bangsa turut hadir meraikan kepelbagaian bersama. Syukurilah nikmat perpaduan kerana tanpa perpaduan, tiadalah keamanan dan tiadalah kesejahteraan negara Malaysia. Tanpa kesatuan, tiadalah kerahmatan dari Tuhan.

Raikanlah Aidilfitri dengan penuh keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat kurniaanNya. Raikan juga Aidilfitri dan Syawal dengan amalan ziarah, amalan bermaafan, menyambung ukhuwah yang putus dan sebagainya. Sambutlah Aidilfitri dan Syawal dengan penuh keinsafan. InsyaAllah, semoga Allah menaungi kita dengan sepenuh kecintaan.

TERIMA KASIH, INSAN BERJASA

Bagi setiap yang mempunyai tanggungjawab besar ketika Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ini, teruskan menabur bakti dan menjalankan amanah dengan jujur, ikhlas, beretika dan beramanah. Terima kasih kepada setiap insan yang perlu berjasa kepada nusa sempena sambutan bermakna ini. Jasa anggota keselamatan di atas pesawat tentera, di atas samudera raya dan di markas diraja tetap dibalas Allah dengan pahala berkali ganda atas amanah yang dijalankannya dengan ikhlas. Jasa seorang karyawan di Hari Raya Aidilfitri tetap diraikan dengan ucapan kesyukuran atas bakti dan pengorbanannya.

SALAM BUAT SEMUA YANG DIKENALI

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menerima saya dalam hidup anda semua seadanya. Saya ingin mengucapkan Salam Akhir Ramadhan, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada:

1.       Seluruh ahli keluarga saya di seluruh Malaysia
2.       Semua guru yang mengenali saya. Mereka adalah guru dan bekas guru di Tadika JHEAINS Pekan Tuaran, SK Berungis (Tuaran), SRAN Pekan Tuaran, SMKA Tun Ahmadshah (Kota Kinabalu) dan SMKA Kota Kinabalu.
3.       Para sahabat, rakan dan teman saya di Tadika JHEAINS Pekan Tuaran, SK Berungis (Tuaran), SRAN Pekan Tuaran, SMKA Tun Ahmadshah (Kota Kinabalu) dan SMKA Kota Kinabalu.
4.       Semua yang mengenali saya di seluruh Malaysia, tidak dapat saya sebutkan satu persatu.

Bersama ucapan ini, saya memohon maaf zahir dan batin atas segala silap, salah dan kezaliman yang telah saya lakukan. Semoga Ramadhan dan Syawal kali ini memberi makna besar dan indah kepada kita semua.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-54
1 MALAYSIA: TRANSFORMASI BERJAYA, RAKYAT SEJAHTERA

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

Sekian, terima kasih dan Wassalam.

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
Pengerusi, Kelab Bahasa Arab,
SMKA Kota Kinabalu, Sabah.

28 Ogos 2011

Comments