Kami Sangka Kami Dilupakan

Ramai mungkin masih ingat akan kisah pelajar cemerlang SMKA Tun Ahmadshah (SMKA TUNAS) pada tahun 2007, ketika itu SMKA TUNAS bernama SMKA Inanam (SEMAI).

Pengetua SEMAI ketika itu, Ustaz Idrus Abdul Rahman menyampaikan penghargaan kepada seorang pelajar yang berpindah ke Sekolah Menengah Teknik (SMT) Bukit Piatu, Melaka. Memang patut pelajar ini dihargai. Ketika beliau di SEMAI, beliau adalah pelajar cemerlang akademik, kokurikulum dan kepimpinan. Kebanggaan SEMAI ketika itu.

Cerita beliau yang terakhir sekali diketahui - menuntut di Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang (KMTP).

Petang 15 Ramadhan. Sebuah kereta Perodua Kancil menyusur halaman ijtimak SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK). Ketika itu, aku baru keluar dari surau. Nampak seseorang dari kereta itu memanggilku.

"Muizz." Tangan itu dilambai. Sepertinya aku kenal orang itu. Aku terus berjalan laju menuju kereta tersebut.

"Abang Syafiq?"

"Assalamualaikum." Aku terus bersalaman dengannya sambil berdakapan. Kekanda Muhammad Syafiq M. Radzali. Mesra dengan gelaran Abang Syafiq, Capik mahupun Bada. Datang bersamanya ialah kekanda Yusof Yunus. SEMAI menggelarnya Abang Roket kerana Abang Yusof ini pun membanggakan SEMAI dalam bidang Sains Pendidikan. Penyertaan dan kejayaan beliau dan rakan-rakan dalam Pertandingan Teknologi Penciptaan Roket Peringkat Kebangsaan 2007 dan 2008 adalah kebanggaan SEMAI. Beliau kini menjadi warisan dan tauladan bagi SMKA TUNAS kini.

"Tolong panggil budak-budak Tingkatan 6," mohon Abang Syafiq. "Dia orang di mana?"

"Tidak tahu saya, merata. Ada yang ada di sana, di sini, di sana." Jari menunjuk ke arah asrama, ke arah padang dan ke arah pusat kenderaan. 

"Yang dalam surau, siapa?"

"Pelajar Tingkatan 6 yang lain itu. Budak SEMAI tiada dalam situ." Sedangkan Abang Hadi berada di dalam surau, sedang membacakan al-Quran, tanpa saya ketahui.

Kami menuju ke hadapan surau. Tanpa diduga, "Abang masih kenal saya?"

"Pelajar hebat bah ini." Kata ini meniti di bibir Abang Syafiq setelah menyebut nama saya. Walhal, "Abang lagi hebat dari saya."

Aku berlegar ke sekitar asrama. Beritahu kedatangan Abang Syafiq kepada Abang Norhafiz.

Aku berlegar jua ke sekitar gerai Bazar Ramadhan. Beritahu kedatangan Abang Syafiq kepada Abang Hafiz Rahman yang sedang menjual air minuman dan air cendol bersama Azim.

"Ana masyghul," kata Abang Hafiz Rahman.

Kembali kepada Abang Syafiq dan Abang Yusof yang sedang bersama Abang Hadi dalam surau. Keluar setelah beberapa ketika.

"Saya tidak tahu mana yang lain. Abang Norhafiz mandi, Abang Hafiz Rahman menjual."

Tanpa diduga, sedikit demi sedikit bekas pelajar SEMAI mendatangi Abang Syafiq sambil bercerita dengan Abang Syafiq tentang Abang Syafiq kini.

Satu frasa yang berlegar di kepala setelah tiga tahun tidak menemui Abang Syafiq. Kami sangka kami dilupakan. Aku fikir beliau adalah itik yang pulang petang ke SEMAI sahaja, rupanya beliau bukanlah yang disangka. Beliau sanggup ke SMKAKK mencari semula semua yang dikenalinya.

Setelah 3 tahun bermusafir ke Melaka, Pahang dan ke daerah Kunak di hujung bumi Kinabalu, baru hari itu beliau turun semula ke Kota Kinabalu bersama ayahandanya, Deputi Superitenden M. Radzali Mahmud, Ketua Polis Daerah Kunak.


Selepas 3 tahun, wah, KK! Tak banyak berubah pun...

Begitulah perasaan yang digambarkan oleh Abang Syafiq.

Cerita mengenai Abang Syafiq. Abang Syafiq menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka. Maklumlah, bekas pelajar yang wajih (popular) kiranya di SMT Bukit Piatu, mumtaz (cemerlang) di SEMAI dan mutafawwiq (gemilang) di KMTP.

Ramai yang gembira menemui Abang Syafiq. Sebilangan juga yang tidak percaya dengan Abang Syafiq yang semakin berisi kini.

Abang Syafiq sempat bertanya aku tentang aku kini.

Begitulah, rindu yang semakin menjadi pasir berterbangan bertamu semula menjadi memori indah dan menjadi doa.

Aku masih ingat. Senior yang penyayang. Kekanda yang baik hati. Putera yang cemerlang sehingga diangkat sebagai Smart Student. Anak Tampin yang peramah dan senang didekati. Pernah sebilik dengannya di asrama SEMAI sekitar tahun 2007. Kebaikannya walaupun yang dikira sedikit menjadi ingatan hingga kini. Begitulah aku dengannya.

Aku percaya ramai yang mengasihinya atas kebaikannya.

Sebab semuanya menghargainya.

Dari kiri: Muhammad Syafiq M. Radzali, Muhammad Hazwan Zulkifli
dan Mohammad Shafiq Mohd. Kamari. Gambar ketika mereka berada di
Tingkatan 2 di SEMAI, tahun 2006.
Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
Jumaat, 19 Ogos 2011, jam 5.31 petang.

Comments