Perutusan sempena Ramadhan 1432

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
.بسم الله ربنا الأعلى، الحمد لله جلا، والصلاة والسلام على المصطفى، وعلى اله وصحبه ومن اهتدى، أما بعد.


Yang Berhormat, Yang Berbahagia dan Yang Berusaha,
Datuk-Datuk, Datin-Datin,
tuan-tuan dan puan-puan,
saudara saudari sekalian.

Pertamanya, dulu, kini dan selamanya, Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, kita sudah berada di ambang Ramadhan di kala bulan Rejab sudah berlalu meninggalkan kita dan bulan Syaaban kini akan pergi untuk beberapa puluh jam dari sekarang.

Sebelum itu, izinkan saya merafakkan sembah, menjunjung sejuta kasih kepada semua yang masih mahu menerima saya, juga kepada setiap insan yang menyayangi saya. Demi Allah dan kerana Allah, saya menyayangi setiap yang menyayangi saya. Semoga Allah turut menyayangi kalian. Amin.


7 BULAN 2011: SATU CABARAN


Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan saya untuk hidup di atas dunia ini untuk tahun 2011. Setakat hari ini, saya sudah menempuh pelbagai situasi, pengalaman dan cabaran. Saya melihat cabaran yang saya tempuh ini amat mencabar dari yang biasa.

Setakat 7 bulan dalam 2011, saya diuji dengan amanah berat, dengan cabaran besar dan sebagainya. Namun, semua ini mematangkan diri saya. Dengan bantuan Allah SWT, segala cabaran dapat saya tempuh dengan selamat. Segala dugaan dapat saya tepis sesabar yang mungkin walaupun ada beberapa halangan memahitkan kehidupan ini.

Untuk 4 bulan yang mendatang di dalam tahun 2011, saya berdoa agar Allah terus membantu saya, membantu jua kita semua ke arah jalan yang benar dan sama. Amin.

KEPEMIMPINAN


Selanjutnya, saya dengan rendah hati mengucapkan berbanyak terima kasih kepada SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) atas kepercayaan yang diberikan oleh guru-guru mahupun para pelajar untuk menyandang kerusi Pengerusi dalam Kelab Bahasa Arab sekolah; Setiausaha, Bulan Sabit Merah sekolah; dan Setiausaha, Kelab Sukan Catur sekolah. Saya merasa saya menjalankan tugas saya sebaiknya walaupun terwujud sedikit cacat cela dalam menjalankan tugas. Sebelum ini, saya telah dilantik menganggotai Lembaga Koperasi sekolah pada 15 November 2010 dengan tempoh perkhidmatan sehingga diumumkan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sekolah yang baru untuk sesi baru.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak sekolah dan PIBG sekolah kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menimba pengalaman mempengerusikan majlis-majlis rasmi sekolah. Antara majlis rasmi sekolah yang telah saya pengerusikan termasuklah Majlis Perisytiharan SMKAKK sebagai Sekolah Tanpa Sampah, Pertandingan Pidato Piala Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Daerah Kota Kinabalu dan Program Khidmat Masyarakat CISCO-SMKAKK. Melalui kepengerusian program ini, saya mempelajari cara terbaik mengendalikan majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan mahupun swasta seterusnya memantapkan diri dalam menguasai ilmu istiadat dan protokol.

Alhamdulillah, kebanyakan amanah yang diberikan kepada saya telah saya jalankan sebaiknya dan beberapa jawatan yang wujud pada saya, telah saya tamatkan tugasnya. Oleh hal yang demikian, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang membantu saya memimpin organisasi sama ada sebagai Pengerusi mahupun Setiausaha juga jawatan kepimpinan lain.

DIPLOMATIK


Berikutnya, setakat 7 bulan dalam 2011, saya berjaya menjalinkan dan menjalinkan semula hubungan antara saya (secara individu) mahupun sekolah (secara kolektif) dengan banyak pihak di seluruh Malaysia. Saya tidak dapat sebut satu persatu, lebih-lebih lagi untuk menyebut sahabat dan kawan saya yang ada di seluruh Malaysia. Sekali lagi, terima kasih kerana menerima saya sebagai sahabat mahupun rakan.

Terima kasih secara khas saya tujukan kepada segenap guru, staf serta sebahagian pelajar dari SMKA Tun Ahmadshah (SEMAI), Inanam, Kota Kinabalu, Sabah kerana masih menerima saya sebagai pelajar, sahabat mahupun rakan mereka juga selaku pelanggan walaupun saya kini menuntut di SMKAKK. Saya lebih bermotivasi sekiranya SEMAI masih menerima saya kerana SEMAI merupakan permulaan kecemerlangan saya di zaman remaja. SEMAI mengenangkan saya erti sebenar kehidupan melalui ilmu yang ditimba dan pengalaman yang ditempuh.

RAMADHAN: AKADEMI KECEMERLANGAN MUKMININ


Saya menyeru kepada semua yang mendengar suara saya mahupun yang melihat makalah saya agar sama-sama menambahbaik keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Sempena Ramadhan al-Mubarak tahun ini, saya berazam untuk memperbaiki diri saya dan terus berhijrah ke arah kebaikan. PadaMu, Ya Allah, sayap pohonkan agar Ramadhan ini saya dan semua terus diberkatiMu, Amin.

Saya mengajak diri saya dan semua untuk meningkatkan amalan dalam bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan Tadarus al-Quran, Zikrullah, munajat, Qiamullail dan lain-lain. Amalan-amalan ini memungkinkan pahala kita di bulan Ramadhan terus meningkat. Lebih-lebih lagi, seharusnya kita tahu bahawa pahala Ramadhan dirahsiakan oleh Allah. Allah sahaja yang tahu nilai sebenar pahala Ramadhan.

Untuk permulaan Ramadhan ini, saya sebagai antara mahasiswa Akademi Ramadhan mengucapkan Salam Ramadhan dan Salam Jihad kepada semua kita yang turut menjadi mahasiswa dan mahasiswi akademi ini. Semoga berjaya dalam menuntut ilmu dan pengalaman dalam Akademi Ramadhan ini. Selamat berjuang merangkul Ijazah Besar Ramadhan kurniaan Allah SWT sebagai Canselor segala Canselor dengan mendapat 4-flat dalam matapelajaran teras Akademi (Puasa) dan mendapat 4-flat dalam matapelajaran elektif Akademi (amalan-amalan sunat yang beristiqamah). Konvokesyen Akademi akan diadakan pada 1 Syawal, Hari Raya Aidilfitri, hari yang mulia dan hari bahagia.

Rebutlah kita akan peluang besar ini. Siapa tahu amalan kita memungkinkan kita menjejakkan kaki ke mahligai abadi melalui pintu ar-Rayyan? Siapa tahu Ramadhan ini membawa kita ke arah Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan? Amat besar tawaran Allah SWT kepada kita sebagai hambaNya. Sama-samalah kita menjadi hamba yang bersyukur melalui amal ibadah.

Ingatlah, jangan sedih dan kecewa, kerana segala hajat, Allah mendengar dan akan mengabulkannya, InsyaAllah. Saya ingin ingatkan kita semua akan sabda Rasulullah SAW: "Awal Ramadhan itu rahmat, tengah Ramadhan itu keampunan, dan akhir Ramadhan itu kelepasan dari api neraka."


Betapa besarnya perintah Allah. Namun, betapa besar jualah kasih sayang Allah kepada hambaNya yang beriman, bertaqwa dan bersyukur.

Akhirnya, semoga Ramadhan kali ini memberi makna yang lebih besar bagi kita. Raikan Ramadhan sebagai pesta ibadah, pesta amal dan pesta Islami yang gilang-gemilang. Hargai Ramadhan sebagai VVIP kita, bahkan lebih dari itu, kerana Ramadhan itu sebulan dalam setahun. Belum tentu kita akan menemui Ramadhan pada tahun mendatang.

Saya dengan rendah hati memohon maaf atas segala salah silap saya sebelum dan selepas ini. Saya pula telah memaafkan kesilapan dan kesalahan anda semua.

Terima kasih kepada semua yang menerima saya sebagai anak, abang, adik lelaki, sahabat, pelajar mahupun rakan. Semoga Allah menyayangi anda semua.

SALAM RAMADHAN
SALAM PERJUANGAN
AKADEMI RAMADHAN WAHANA KEBITARAAN MUTTAQIN

Syukran jazilan dan Wassalam.

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
Pengerusi, Kelab Bahasa Arab,
SMKA Kota Kinabalu, Sabah.

29 Julai 2011

Comments