Thursday, 2 June 2011

Kisah Bpk. M. Syuaib Asren

AL-FATIHAH


Bpk. M. Syuaib Asren Asmat
(Pulang ke Rahmatullah: 26 Mei 2011, Beijing, China)

Saya sebenarnya kurang mengenali siapa Ustaz Syuaib Asren ini. Namun, saya hanya perasan al-Marhum melalui suatu berita ini.

Muizz, minta tolong, baca Yaasin untuk datuk si Badri, meninggal.

Majlis Bacaan Yaasin sempena memperingati pemergian al-Marhum telah disempurnakan pada 26 Mei selepas solat fardhu Maghrib.

Saya hanya kenal cucu al-Marhum, Mohd. Badri Shah Mohd. Bayu. Namun, saya cuba meneladani kisah ini. Khabarnya, al-Marhum Ustaz M. Syuaib Asren ini seorang daie di negeri Sabah.

Pak M. Syuaib Asren kini meninggalkan kita
Penulis: ABDUL NADDIN HJ. SHAIDDIN (Utusan Borneo)
Penyunting: AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN (SMKA Kota Kinabalu)

28 Mei 2011

Beliau menyatakan siap terbang.

Hari itu 22 Mei. Pak M. Syuaib Asren terbang ke Beijing, China dan berharap mudah-mudahan dapat menjejakkan kaki di Tembok Besar China, karya besar Iskandar Zulkarnain itu.

Itu adalah antara catatan pada hari-hari terakhir pemergiannya. "Dah puas jadi penghuni Bang Lo, tunggulah jadi penghuni Lo Bang... kita menuju ke sana kan, cikgu?"

Saya tidak tahu siapa orang yang dipanggilnya cikgu itu. Tetapi katanya, "Ke mana pun kita pergi bayangan mengiringi kita. Jangan ada yang merasa dikejar bayang-bayang sendiri." Tidak dinyatakannya apa bayangan itu, dalam catatan di dinding facebooknya. Tetapi Pak Syuaib menyatakan siap terbang dan membaca 'Bismillahi Tawakkaltu Ala Allah'.

Beliau seperti tahu tahu dan dapat merasa bahawa beliau akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Perkenalan saya dengan tokoh ini belumlah lama. Seingat saya sekitar tahun 1996, ketika saya mula-mula mengakrabi gerakan dakwah yang diterajui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Tidak siapa dapat menyangkalnya bahawa Pak Syuaib merupakan salah seorang tokoh yang berjasa melahirkan pemimpin-pemimpin belia USIA. Bersama-sama tenaga dakwah di USIA, mereka sanggup masuk kampung keluar kampung untuk mengadakan khemah dakwah belia Usia. Tahun-tahun penuh kegetiran itu, mereka melatih dan membimbing belia-belia Islam dan menghidupkan bara api perjuangan di jiwa mereka untuk mengembangkan syiar Islam. Bersama arwah Datuk Mickey (Mohd Edinin Kay) mereka sanggup merempuh ombak, melintasi gunung, berkayuh di sungai, berjalan di lembah-lembah perkampungan untuk menyebarkan syiar dakwah mengajak orang ke arah kejayaan dan hidup yang sejahtera.

Antara tokoh-tokoh yang pernah mengikuti khemah dakwah belia USIA itu ialah Datuk Haji Sairin Karno, Datuk Haji Suhaili Said, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Datuk Haji Mohd. Arifin Arif, Lamsil Hamidsor, Ustaz Kahar Abdul Rahman dan ramai lagi yang pernah mengikuti khemah dakwah USIA.

Pak Syuaib pernah menjadi lokomotif pergerakan dakwah USIA dalam melewati masa masa genting dan getir ketika misi dakwah USIA menghadapi halangan dan goncangan ketika tahun-tahun 70-an dan 80-an sebelum tahun 1994, apabila cuaca politik kita berubah.

Selain bergiat di USIA, Pak Syuaib juga aktif dalam kegiatan-kegiatan sosial dan kemasyarakatan. Beliau pernah memimpin Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Sabah dan menjadi salah seorang ahli jawatankuasanya di peringkat kebangsaan. Beliau juga berjasa dalam misi agar Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Sebenarnya beliau terdidik dan lulus dalam sebuah sekolah penerbangan di Jakarta. Tetapi nasib melontarkannya ke bumi Sabah sekitar tahun 1973. Sejak itu, beliau memikul tanggungjawab untuk turut bersama mengembangkan syiar dakwah di Sabah. Sebagai seorang yang berpengalaman dan pernah terlibat dalam gerakan mahasiswa di Indonesia yang popular dengan sebutan Angkatan 66, beliau bergabung dengan gerakan Perhimpunan Pelajar Indonesia (PPI) dan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), pak Syuaib menerapkan segala ilmu dan daya upayanya untuk memperkuatkan dakwah Islam di negeri ini.

"Bapak ada di mana-mana," kata saya kepadanya satu hari setelah mengkaji peranannya dalam Belia USIA. Kelihatan beliau gembira kerana pernyataan saya mengenai penglibatannya itu. Tetapi sebagai seorang yang tidak suka meninggi diri, pak Syuaib menerimanya dengan sikap tawaduk.

Kadang-kadang kami sempat minum selepas menunaikan solat Jumaat dan beliau masih juga prihatin terhadap kemelut yang melanda umat. Malahan beliau masih bersedia untuk menyumbangkan bakti sekiranya diperlukan untuk membimbing belia Islam.

Kami selalu juga bercakap mengenai kepimpinan tokoh-tokoh seperti Dr. Muhamad Natsir dan tokoh-tokoh gerakan dakwah Islam sezaman. Kadang-kadang beliau menyampaikan pesan di antara guyonannya yang segat, di antara jenaka yang membuat kami ketawa.

Sempat juga beliau memberikan pesan dan nasihat kepada saya, mungkin kerana beliau menganggap saya salah seorang rakan dan teman seperjuangan. Bahkan sering juga beliau menelefon mengajak minum untuk sekedar bercerita perkembangan semasa yang dihadapi masyarakat.

Beliau sentiasa membaca segala sesuatu yang poskan di ruang Facebook. Kadang beliau memberikan komen yang bernas, kadang yang sengaja membuat kami melihat sesuatu perkara yang serius dengan kelucuan.

Antara catatan akhirnya di ruang Facebooknya yang sering juga dipesankannya ialah agar kita sentiasa mengawal emosi. "Mengawal emosi lebih baik daripada membiarkannya tidak terkawal, sebab nanti boleh dikawal orang lain."

"Kalau orang sudah mengawal emosi kita dan sejumlah kawan kita, ianya aboleh digerak kan menjadi satu kekuatan yang dahsyat. Saat itu kiat tidak tahu kemana emosi kita akan dibawa. Yang ada mungkin hanya keseronokan atau penyesalan."

Satu waktu beliau pernah berkata, "Kalau masih mahu mengadu domba, baik lagakan kambing dengan kambing. Sungguh satu peringatan dan nasihat yang membuat kita berfikir."

Tapi kalau kita orang bijak, walau 1001 masalah yang kita hadapi, kita tetap senyum menghadapinya.

"Perut maunya diisi, mulut maunya memaki, macam tak adil lama-lama hilang rasa syukur, MasyaAllah... Lindungilah kami," ini salah satu catatan akhir sebelum beliau pergi.

Beberapa hari sebelum terbang, beliau sempat menulis. "Kalau orang cemburu kerana kerja kita, kita harap dia buat kerja lebih baik dari kita, dan kita tak perlu cemburukan dia, kerana kita dapat juga pahalanya dari kebaikan yang dia buat. Betul kan cikgu?"

"Bila mendengar berita tak diinginkan rasa sepenuh rasa tak menyenangkan. Walau yang di inginkan yang baik-baik saja, berita yang tak sedap pun terdengar juga. Begitulah, jangan saja kita berperan dalam membuat keburukan."

Demikian antara nasihatnya sebelum terbang ke Beijing.

Dikira panas di tengah hari, rupanya mendung sampai ke petang. Jangan-jangan terus ke pagi.

Kini semuanya itu bukan lagi hal-hal yang perlu dirisaukannya. Katanya beliau telah bersiap untuk terbang. Beliau telahpun meninggalkan terminal kehidupan ini tanpa disedari dan kini walaupun beliau telah tiada, kita masih tetap merasa dia berada di mana-mana di antara kita.

Orang pertama yang mengkhabarkan berita dukacita itu ialah Haji Samin Haji Ungki pada hari Khamis 26 Mei. Saya agak terpana. Dan selepas itu datang khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Ustaz Juatan Muatkan. Dan kemudian mulalah saya menghubungi rakan-rakan mengenai berita pemergian Pak Syuaib ketika dalam lawatannya di Beijing.

Mata saya seperti berpasir. Saya berasa sangat kehilangan. Tetapi saya fikir, negeri ini juga turut kehilangan salah seorang tokoh motor gerakan Islam satu ketika dahulu.

Semoga kekhilafan dan kesalahannya diampuni, dan semoga segala amal kebaikannya diterima dan ditempatkan di sisi orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.


En. Abdul Naddin Shaiddin pada 1 Jun menyatakan bahawa jenazah al-Marhum akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan akan disemadikan di Kampung Contoh, Petagas, Putatan pada 4 Jun ini. Semoga jenazah al-Marhum akan selamat tiba.

Saya bagi pihak Kelab Bahasa Arab SMK Agama Kota Kinabalu menyampaikan ucapan takziah kepada saudara Mohd. Badri Shah Mohd. Bayu atas pemergian nenda tercinta. Semoga Allah menempatkan al-Marhum dalam kalangan para mukminin dan solehin, Amin.

2 comments:

  1. saya turut rasa kehilangannya....

    ReplyDelete
  2. http://ubaisurya.blogspot.com/2011/05/pemergian.html

    ReplyDelete