Seharian Berjalan

1 Mei 2011

PERASMIAN PEMBUKAAN SAMBUTAN KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2011 & TAMU BESAR DAERAH TUARAN
(Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, Tuaran, Sabah)

Saya sudah merancang untuk menghadirinya sejak minggu lepas. Balik-balik sahabat saya, AK Syukri Salim menyebut hari minggu, hari minggu. Sebelum itu, saya merancang untuk mengajak bersama sahabat lain seperti Mohd. Shafiq Hasbollah, Syafiq Rauf Rayner dan lain-lain. Namun, alhamdulillah, saya tetap turun bersama AK Syukri bersama adik dan kawan-kawannya yang di sekitar Tamparuli.

Saya tiba di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli sekitar jam 8.50 pagi, kebetulan masuk bersama YB Datuk Abdul Rahman Datuk Hj. Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud dan YBhg Datin Norazlina Tan Sri Hj. Awang Had. Orang ramai ketika itu sudah memenuhi bahagian belakang dewan. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tiba sekitar jam 10.20 pagi diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Seri Maximus Ongkili, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, Timbalan-timbalan Speaker Dewan Negeri Sabah dan pemimpin-pemimpin negeri.

Muzik yang dimainkan oleh Kumpulan Muzik Bambu Tenghilan menceriakan kemeriahan dalam dewan. Turut menceriakan dewan ialah guru-guru pelatih dari Institut Perguruan Kent, Tuaran.

Saya beredar dari dewan sekitar jam 10.30 pagi untuk melawat Tamu Besar Tuaran bersama AK Syukri dan adiknya. Kebetulan ibu bapa saya turut datang ke tamu sekitar jam 11.00 pagi. Sambutan amat meriah, lebih-lebih lagi apabila difahamnkan Unduk Ngadau (Ratu Cantik Kaamatan) diadakan pada hari tersebut.

Saya beredar dari pekan Tamparuli sekitar jam 12.00 tengahari.

KERAIAN PERKAHWINAN
(Rumah En. Manjah Awang Bahar - Pemimpin Kemajuan Rakyat Karambunai, Kg. Lokub, Menggatal, Kota Kinabalu)

Tiba di rumah beliau pada jam 1.00 petang setelah kami sekeluarga (termasuk adik) diuji dengan kerosakan kereta dekat perkampungan Malawa, Telipok. Mujur ada saudara kami datang membantu. Alhamdulillah. Sampai juga kami di situ walaupun persandingan telahpun berlangsung dan ADUN Karambunai, Datuk Jainab Ahmad telahpun beredar.

Sambutan di sana cukup meriah dengan tarian poco-poconya dan tarian Manuk-manuk Lambukunnya walaupun saya tidak menyertainya. Saya dan keluarga menikmati jamuan tengahari di sana.

HARI TERBUKA ARMADA TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (TLDM) 2011
(Markas Wilayah Laut 2, TLDM, Teluk Sepangar, Kota Kinabalu)

Saya dan Panglima Wilayah Laut 2 TLDM,  Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan
Saya di kerusi Pegawai Pemerintah Kapal DiRaja (KD) Kedah

Terima kasih kepada saudara Mohd. Shafiq Hasbollah atas maklumat yang diberikan. Kami mengetahui aktiviti ini melalui perbualan saya dengannya kelmarin. Beliau tiada bersama saya di pekan Tamparuli kelmarin kerana mengunjungi TLDM. Rupa-rupanya ini yang berlaku. Alhamdulillah, suatu yang mengujakan kami, namun pengorbanan perajurit laut amatlah kita hargai bersama. Walaupun saya lihat bahawa ada kemewahan sedikit aset-aset TLDM, namun tugas mereka amat berat. Mengawal perairan negara - itulah tugas mereka.

Saya sedang mencari dan ingin berkenalan dengan bapa kepada kawan saya, Muhammad Ammar Hakim Zulkefili (saya difahamkan bapa beliau ialah Pegawai Waran II TLDM). Tapi, saya menemui Panglima Wilayah Laut 2, Laksmana Muda Datuk Anuwi Hassan dan para pengiringnya beberapa minit sebelum beredar.

Kami dilayan baik oleh para staf TLDM. Setiap KD ada layanannya yang mesra. Antara KD yang kami lawati ialah KD Seri Tiga serta KD Seri Gaya (kapal penunda), KD Paus (kapal peronda) dan KD Kedah (kapal perang). Kami turut mengunjungi booth informasi Kapal Selam Scorpene. Kami bertuah kerana dapat mengunjungi TLDM Sepangar.

Terima kasih kepada Laksmana Muda Datuk Anuwi Hassan, Panglima Wilayah Laut 2 TLDM dan staf-staf markas TLDM atas layanan baik yang diberikan. Makan malam dibeli dari gerai milik staf TLDM. Kami pun beredar ke Kg. Kuala Menggatal setelah 2 jam melawat TLDM.

ASKAR LAUT BERJASA

Bukan mudah
menganggotai angkatan laut diraja.

Setiap askar laut
dari yang pangkat prebet
hingga pegawai empat bintang
bahkan raja yang berpangkat lima bintang
perlu diajar kalimah
bersiap siaga
bersama penghayatan dan pengamalannya.

Kerajaan kita berjasa
kerna hingga saat ini
begitulah kekuatan angkatan laut
seperti yang dikhabar
askar laut kita bersiaga di atas dermaga
juga di layaran DiRaja.

Itulah askar laut
yang pelbagai pangkat
nampaknya mereka istimewa
namun jasa mereka tetap jasa terbitara
tetap terangkasa
sebagai kepahlawanan
di astaka nusa.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
Isnin, 2 Mei 2011, jam 11.36 pagi.

Comments