Ihtifal Anugerah Cemerlang SMKA Kota Kinabalu 2011

Ihtifal Anugerah Cemerlang SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) 19/2011 sepatutnya diadakan pada 16 April 2011. Namun, acara tahunan ini tetap berjaya diadakan dengan gemilangnya pada 30 April yang lalu. Acara ini dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun yang juga  ADUN Klias. Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Hj. Saifulzaman Sanggul yang mewakili Jabatan Pelajaran Sabah (JPNS) dan Ustaz Arbaen Shawal yang mewakili Pejabat Pelajaran Daerah Kota Kinabalu (PPDKK). Pemilihan Datuk Azizah sebagai "canselor" Ihtifal dilakukan oleh Tuan Hj. Samin Ongki, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKAKK.



Dianggarkan seramai 70 orang pelajar dan bekas pelajar serta berbelas orang guru diberi penghargaan menerima anugerah masing-masing. Pelajar Mithali 2010 disandang oleh Syakila Shaiffuddin, anak kepada Tuan Hj. Shaiffuddin Daud, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Nurazni Elyana Roslani dan Amir Hamzah Hassan pula menerima Anugerah Khidmat Bakti. 5 orang menerima Anugerah Pelajar Terbaik Tingkatan; 37 orang menerima Anugerah Cemerlang PMR; Anugerah Cemerlang SPM (4 orang) dan Anugerah Cemerlang STPM (4 orang).

Dalam sambutan itu juga, Pengetua dalam perbualannya dengan saya pada 9 April lepas meminta saya menyampaikan sajak berbunyi berikut:

BITARA YANG DIJUNJUNG KASIH

(i)
Penuntut yang bitara
Karyawan yang wibawa
Pendidik yang berdedikasi
PIBG yang berbudi
Ayahbonda yang prihatin
Pengetua yang berkarisma
etos berprestij
sekolah agama harapan nusa bangsa.

(ii)
Wahai penuntut bitara
yang tertinta kecemerlangannya,
sungguh kaulah yang mithali
bagi rakyat negara ilmu ini
kerna jayamu di medan-medan jaya
dikitab sebagai insipirasi
kepada setiap yang menelaahnya
dan yang menghayati tauladannya.

Teruskan melangkah dan berjuang
kerna garis gemilang masih jauh di sana
cemerlangmu dalam kurikulum
gemilangmu dalam intergriti
terbilangmu dalam kokurikulum
tetap kami di sini hargai.

(iii)
Sekolah ini turut menghargai
ketinggian budi dan jasamu, para ilmuwan
tanpamu bitara ini tiada erti
hilangmu tiadalah sang penuntut ilmu menikmati madu ilmu
yang sudi kautabur selaku keemasan budi
kerna wujud dirimu, oh guru
sekolah ini adalah nusa kemajuan
maju mulialah gedung ilmu ini kerana jasamu.

(iv)
Sekolah ini turut menjunjung kasih
ke hadratmu, ketua eksekutif sekolah
atas setia dan karismamu memimpin
ke puncak keunggulan dan kecemerlangan
jayalah dirimu kerana jayalah sang pendidik dan sang penuntut
menggembeling usaha mencapai hasrat murni
menjulang prestasi tinggi.

(v)
Meski karyawan hanya bekerja membantu
meski ayahbonda hanya mendorong dari jauh
meski PIBG hanya menolong untuk bermotivasi
namun diri kalian tetap dijunjung kasih dan budi
kerna kalian tetap menabur jasa
membantu sekolah dan pelajarnya membangun maju
hingga semuanya dijunjung dan dijulang megah.

Bersyukurlah pada Yang Maha Agung
untuk kurniaNya yang infiniti
maka kitalah yang seterusnya
mendaya bitara, mengilham masa muka.

Sabar,
mendaki memang payah
namun puncak tetap indah.
(Hj. Samin Ongki)


AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
(Abdullah Muhibuddin)
SMKA Kota Kinabalu, Sabah.
Sabtu, 10 April 2011, jam 2.56 petang.


Saya dalam acara ini menerima Anugerah Pelajar Terbaik Tingkatan 4 (Bahasa Arab) dan Tempat Ketiga dalam Tingkatan 4 Tarmizi untuk Peperiksaan Sumatif Akhir Tahun 2010 (Gred Purata 3.11).

Comments