Berkata tentang Ilmu

(1) SASTERAWAN

Aku mulakan sebuah sastera
dengan sepenuh puji dan puja
kepada Ilahi yang Maha Esa
tanpa lupa selawat sebanyaknya
kepada Junjungan yang teramat mulia

Sungguh kita mengerti
bahawa Tuhan itu luas ilmiahnya
ilmunya amatlah infiniti
jangan-jangan ilmu kita
hanyalah sebesar zarah
dari ilmu-ilmu Yang Maha Mengetahui.

Juga diri ini masih mengerti
bahawa Rasul diutus juga dengan ilmu
sebagai burhan
bahawa Islam itu berkonsepkan ilmu
tika agama lain berorientasikan warisan

Maka firman Tuhan,
“Mulialah sang ilmuan
dan sang insan beriman
beberapa darjah keagungan”

(2) DEKAN UNIVERSITI

Ilmu, itulah pengetahuan
kefahaman insan akan sesuatu

Ilmu boleh diperlisankan
Ilmu punya kehakikian
Ilmu adalah objektif
Ilmu sentiasa berkembang
Ilmu datang dari penyelidikan mendalam

(3) USTAZ

Hitung saja ilmu
pasti takkan mampu kauhitung
kerana ilmu dalamnya
terpecah masa demi masa

Hitunglah masa silam
dengan menghidupkan ilmu sejarah
nescaya ada ibrah
untuk kauambil
sebagai membungakan KPI

Hitunglah masa kini
dengan menghayati ilmu yang mukhtalifah
Ilmu bahasa, ilmu sastera
Ilmu hisab, ilmu alam, ilmu dini
Ilmu mantik, ilmu sufi, ilmu seni
Ilmu kejuruteraan, ilmu teknikal
Ilmu ekonomi, ilmu politik, ilmu sosial
Ilmu masa kinilah segala-galanya
juga mampu menjadi instrumen
sebagai menunaikan tanggungjawab
terhadap agama kita, bangsa kita, negara kita

Hitunglah masa depan
dengan menghayati ilmu masa kini
dan menghayati ilmu ghaib

JANGAN FIKIR ILMU GHAIB
HANYA TENTANG MAKHLUK HALUS

USAH BIARKAN HIDUP ANDA
DISELUBUNGI MISTERI...

Ilmu masa depan itulah ilmu agama
bagaimana mahu mengecap redhanya
duniawi dan ukhrawi
kalau ilmu kurang?
Kurang ilmu, kuranglah iman, kuranglah amal

“Tuntutlah ilmu
dari buaian
hingga ke liang kubur”

Yakinlah ilmu membahagiakan hidupmu
jikakan ilmu itu ada amalnya
jikakan ilmu itu bertambah imannya
jikakan ilmu itu dihayati zaman berzaman lamanya

(4) DEKAN UNIVERSITI

Kau tahu bukan
bahawa Islam ini dinul ilmi?
Kau tahu bukan
bahawa ilmu tak terhitung nilai dan bilangannya?

Ilmulah wahana
agama termulia
dengan redha Yang Maha Kuasa.

“Katakanlah oh kamu,
samakah insan berilmu
dengan insan tak berilmu?”

Maka, berilmulah diri kita
sebab berilmu dan menuntut ilmu itu wajib
tanpa lupa
bahawa berilmu khaalishan liwajhillah
ikhlas kerana Allah

(5) USTAZ

Mahukah kaucari
laluan termudah
ke arah syurgawi impian manusiawi
di alam ukhrawi?

“Satu laluan kaumudahkan untuk menuntut ilmu
satu laluan Allah mudahkan ke arah syurga”

(6) PENGEMBARA

berlayar dari kota Madinah
ke dermaga Jesselton
dia membutuhkan petunjuk
untuk sampai
lagikan ketika alam berkegelapan

Mujur ada bintang
mengunjur ke timur
menganjur ke barat
selamatlah si dia berlabuh di dermaga sebelah sana

Begitulah ilmu
tika langit hitam legam
rupanya ada bintang bergemerlapan
mencahayai kami
menunjukkan jalan ke arah kecemerlangan

(7) PENGEMBARA

Ilmu laksana papan tanda
yang menunjukkan kita ke arah jalan bahagia

Ingatkan bunga bahasa Qurani
Setiap yang melalui sejalan yang patut
akan sampai ke tempatnya.

(8) USTAZ

Tuntulah kita akan ilmu
dengan kejituan azam
barulah kita menjadi bintang bergemerlapan
di dunia dan di akhirat

Hormatilah pemberi ilmu
jangan buat dia marah kita
jangan buat dia benci kita
kerana ilmu yang mengandungi barakah dan rahmat
akan terluntur
dengan peluntur yang mengandungi
asid-asid kurang adab
lebih berasid daripada asid peluntur biasa

Berdoalah banyak-banyak
di kala bersolo-soloan
semoga ilmu itu terselit rahmatNya

Ucaplah syukur kepada si guru
atas ilmu dan baktinya
walau hanya dengan ucapan
“Terima kasih!”

(9) PENGEMBARA

Aku pernah menyesal
ketika melafaz bahawa
pengalaman sahaja yang penting
bukannya ilmu

Aku sudah bertahun
bermusafir dan menjelajah

Pernah sekali di tengah lautan
aku berlayar di bilahan hari-hari
menembusi kegelapan dinihari
aku tersesat di jalanan biru

Walaupun aku selamat berdermaga
setelah datang kesesatan
rupa-rupanya Tuhan ingatkan aku
jangan putus daripada berilmu

Akhirnya barulah aku sedar
ilmu itu penting nian

Dari kesedaran itu
aku bangkit dan kini berhasil
walaupun hanya merangkul sijil pelayaran

Aku tetap mengembara
walaupun berbakti
selaku Perajurit Laut Nusa

(10) SASTERAWAN

Aku mula bersastera
semenjak aku baru mengenal
yang baik juga yang buruk

Sastera aku dalami
kerna sastera juga ilmu
serpihan dari bidang bahasa
kini aku terus berazam
untuk mengangkasa sastera
di persada dunia

(11) DEKAN UNIVERSITI

Aku pernah merasa pahit sebuah kepayahan
ketika menuntut ilmu
yang bererti setiap jihad butuh pengorbanan

Usaha jalan jaya
ilmu yang kuusahakan pelajarannya
memberi hasil

Aku hanyalah Doktor Falsafah
namun varsitiku mempercayaiku
walau dengan hanya memberiku
sebuah kursi Dekan Universiti

Dekan Universiti pun
perlu ada ilmu
masih harus mentelaah ilmu.

(12) USTAZ

Sahaja aku belajar kerana Allah
Akhirnya Allah rahmati aku
dengan Syahadah Alimiyah.

Sengaja aku berdakwah kerana Allah.
Berdakwah pun harus berilmu
ilmu dihikmahkan sebijaksananya
agar yang lain mengerti
Islam itu mudah
Islam itu ad-din membawa rahmat
Islam itu syumul.

Amanah Ustaz lebih besar
dari yang lain
kerana Ustaz yang menanggung
Ustaz yang menjawab
sebab Ustazlah mewarisi Nabi

(13) USTAZ

Tuhan,
kuatkan aku
lindungiku dari putus asa

Tuhan,
tamankan hayat kami
dengan pepohon ilmu
berserta denai-denai amal
bersama bunga-bunga iman

Tunjukkan kami lebuhraya kebenaran
jangan biarkan kami sesat
melalu lebuhraya yang panjang
tak berpusingan U

(14) SEMUA

Selamatlah
bagi yang membudayakan ilmu
yang memuncakkan keimanan

Sejahteralah
kepada semua
yang menerima petunjuk.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
21-22 Januari 2011.

Comments