Rindu

Bila rindu kembali menjengah
menyusup datang melalui sekeping gambar
begitu terasa bibirku bergetar
begitu terasa kakiku makin longlai.

Ku lihat wajahku dalam refleksi
warnanya pucat membiru
tiada kilauan dalam mata
tiada cahaya pada wajah.

Hanya kelesuan jelas kelihatan
kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku
kerana rindu ini boleh mengundang dosa.

Dahulu,
Jika rindu yang sama bertandang,
Akulah insan paling bahagia.

Kini,
Jika rindu yang sama bertamu,
Akulah insan paling sengsara.

Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu
Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu
Rindu ini yang dahulu membutakan mataku dari melihat jalan-Mu
Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.

Rabbi,
Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku
kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.

Rabbi,
Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku
kerna aku takut pada bayangannya
kerna ku tahu jatuh cinta itu
hanya bisa pada Tuhan;
Kerna ku tahu nafsu ini
Sering membawa ke arah kejahatan
Yang datang dari godaan syaitan.

Rabbi,
Ku mohon,
Jauhkanlah aku dari petaka rindu ini
Hadirkanlah aku pada cinta-Mu
Cinta yang kekal dan abadi.

ABDUL AZIM

Comments