Perutusan sempena Aidilfitri 1431


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia.

Segala puji hanya kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Tidak dilupakan, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Muhammad Rasulullah SAW, kaum keluarga dan para sahabatnya yang dimuliakan.

Yang Berhormat dan Yang Berbahagia, Datuk-Datuk, Datin-Datin,

Tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah. Selayaknya kita panjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin Allah dan rahmatNya, kita diberi peluang dan berkesempatan untuk melangsaikan ibadah di bulan Ramadhan ini dan diberi kesempatan memanjatkan kesyukuran tertinggi kepadaNya melalui sambutan Aidilfitri yang berbahagia ini.

Kita seharusnya bertuah kerana kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keamanan dan kedamaian di bumi Persekutuan Malaysia ini. Tambahan pula, kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan penuh gilang-gemilang. Jerih-perih pejuang dan pendukung kemerdekaanlah yang membawa kita mencapai kemerdekaan sehingga hari ini. Sambutan kemerdekaan sudah cukup membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang stabil selaras dengan dasar kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, bebas dan berkecuali.

Kemerdekaan yang harus dihargai

Kalaulah Malaysia gagal menunjukkan hal ini, masakan Malaysia akan megah namanya dalam pelbagai aspek di persada antarabangsa. Oleh yang demikian, seharusnya kita memanjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa atas pemberian yang bernilai tinggi, tiada tolok bandingnya.

Umat Islam mengetahui bahawa Hari Raya Aidilfitri hanya disambut oleh umat Islam sebagai meraikan kejayaan melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Namun, atas dasar perpaduan, selari dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, maka seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik merayakannya bersama.

1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan


Umat Islam kebanyakannya mengadakan rumah terbuka. Melalui rumah terbuka, kita selaku masyarakat saling menziarahi, bersalaman dan bermaafan mengikut adat dan syarak yang dibenarkan. Tujuannya untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan membersihkan diri dari dosa dan salah. Untuk pengetahuan, amalan berhari raya umat Islam turut digunapakai oleh umat Kristian dalam sambutan hari Krismas di Malaysia. Inilah adat kita masa kini dan ia merupakan suatu kebanggaan buat kita. Jelaslah gagasan murni Perdana Menteri kita, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Hj. Abdul Razak, membuktikan bahawa perpaduan teras kejayaan negara alias bangsa Malaysia adalah bangsa yang berjaya.

Perpaduan yang harus disyukuri oleh semua masyarakat

1Malaysia juga berjaya membuktikan bahawa Malaysia mampu membangun dengan pesat. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya ramai pelabur dan pelawat asing memasuki negara ini bersama-sama memacu pembangunan negara. Tambahan pula, kerajaan asing juga menerima seruan 1Malaysia. Kita berterima kasih kepada Kerajaan kita yang berjaya memartabatkan nama Malaysia di persada dunia.

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang bermakna buat umat Islam. Maka, saya percaya bahawa semua umat Islam tanpa mengira miskin kaya akan merayakannya. Tujuan sambutan ini pula sebagai mensyukuri Allah kerana diri kita telah dibersihkan menerusi ibadah dan amalan di bulan yang sudah. Oleh sebab itu, Allah mensyariatkan kita bertakbir dan memperbanyakkan zikir serta memperbanyakkan pertalian silaturrahim sesama manusia.

Namun begitu, kita turut sedih apabila ada sahaja berita yang mewartakan kematian orang demi orang akibat kemalangan yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya dan permainan mercun. Peristiwa ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita agar peristiwa ini tidak berulang. Kita juga turut sedih apabila agama Islam dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan. Bukankah Islam itu tinggi, tiada lagi yang lebih tinggi selain Islam? Oleh sebab itu, Kerajaan menyeru kita supaya menghormati masyarakat, agama, bangsa dan fahaman politik tanpa mewujudkan sedikitpun perselisihan faham melainkan dengan tujuan yang baik. Pokok pangkalnya, segala-galanya berasal dari niat kita.

Kemalangan jalan raya sebagai satu pengajaran

Konklusinya, kita sebagai umat Islam dan rakyat Seri Paduka di Malaysia seharusnya menghargai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan, perpaduan dan pembangunan yang wujud. Janganlah kita lalai akan nikmat-nikmat ini atau kita pada suatu hari nanti turut dibinasakan. Janganlah berpecah lagi setelah kita diseru ke arah perpaduan yang sudah dibuktikan kepada semua mata yang melihat sebagai teras kejayaan.

Instrumen mensyukuri pemberian

Akhirnya, di kesempatan ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali kami terutamanya:

  1. Kaum keluarga, sanak saudara dan ipar duai di Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Butterworth, Pulau Pinang dan Baling, Kedah.
  2. Guru-guru saya di Tadika JHEAINS Pekan Tuaran, SRAN Pekan Tuaran, SK Berungis, SMKA Kota Kinabalu dan SMKA Tun Ahmadshah.
  3. Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Datuk/Datin yang mengenali saya.
  4. Rakan-rakan dan murid-murid saya di SMKA Tun Ahmadshah, Inanam, Kota Kinabalu.
  5. Rakan-rakan saya, bekas murid Tadika JHEAINS Pekan Tuaran, SRAN Pekan Tuaran dan SK Berungis.
  6. Rakan-rakan saya di SMKA Kota Kinabalu, SMKA Tun Said (Kota Belud), SMKA Sandakan, SMKA Tun Sakaran (Semporna), SMKA Maahad Muar (Muar, Johor), SMKA Pedas (Rembau, Negeri Sembilan), SMKA Slim River (Slim River, Perak) dan SMKA Maahad Hamidiah (Kajang, Selangor).
  7. Rakan-rakan Facebook di mana jua anda berada, dan
  8. Semua yang mengenali saya di seluruh Malaysia.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, minal aidin walfaizin al-maqbuulin. Kullu 'aamin waanta bikhair.

Minta ampun dan maaf salah silap saya dan keluarga zahir dan batin. Saya juga manusia. Oleh itu, moga dosa, salah dan silap saya diampuni Allah SWT sebagai instrumen untuk memunculkan diri sebagai orang yang beriman, bertaqwa dan ihsan di sisi Allah.

(111) وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا
Dan katakanlah: Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!

(Surah al-Israa, ayat 111)

Allahu a'lam. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam 1Malaysia.

Saya yang benar,
AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Tuaran, Sabah
30 Ramadhan 1431 / 
9 September 2010

Comments