Murni Sebuah Warisan Sastera

muizz01

Program Penghayatan Puisi Tradisional, 7 Ogos. Hal ini telah aku terima pemaklumannya daripada Cikgu Masni, Guru Kanan Bahasa di sekolah. Asalnya program ini berjalan pada 24 Julai. Oleh sebab sekolahku SEMAI menerima orang besar, Ketua Menteri Negeri pada 23 Julai, program itu telah ditunda walaupun pada hakikatnya “canselor” SEMAI, Datuk Jainab Ahmad mewakili Ketua Menteri Negeri menghadiri program besar SEMAI, Majlis Cemerlang bersama Ketua Menteri.

Sebelum hari yang dijanjikan, aku dipilih sebagai Ketua Program oleh Cikgu Masni. Aku cuba mengurus hal ini sedaya upaya, di depan mahupun di belakang tabir. Aku khabarkan penganjuran program ini secara umum melalui pernyataan yang aku sendiri keluarkan dari perpustakaan. Dalam pada itu, aku turut memilih Awang Zulfadli (seperti biasa) sebagai Ketua Program juga Pengerusi Majlis. Akmal seperti biasa menjalankan amanahnya sebagai Ketua Program juga Pengurus Teknik dan ICT. Aku pula ditugaskan mengiring penceramah dan mengurus hal ehwal persiapan dan persediaan majlis.

Saat yang ditunggu akhirnya tiba. 8.00 pagi hari Sabtu. Rata-rata pelajar sudahpun memasuki Dewan Hamzah al-Fansuri waktu ini. Penceramah – Bapak Hasyuda Abadi (Sukor Hj. Usin), Cikgu Mohd. Jasni Yakub (JY) dan Ustazah Ony Latifah Osman – tiba di depan dewan bersama pengangkutan masing-masing sekitar jam 9.00 pagi. Awang Zulfadli terus memulakan program dengan bacaan doa. Setelah itu, Cikgu JY memulakan koordinasi program dengan memperkenalkan sedikit demi sedikit puisi tradisional.

cikgu_jy

Murni sebuah warisan sastera dapat kurasa kerana alun lagu syair, gurindam, nazam, seloka juga pantun indah – bukti bahasa jiwa bangsa, juga bahasa menunjukkan bangsa.
Allah, Allah, azawajala, Tuhan kami
Aku minta ampun dosa kami.
(Nazam Rukun Islam)

Aku masih tertarik dengan cara Cikgu JY membaca nazam ini. Tidak kulupa aku juga terpesona dengan pembacaan Ustazah Ony akan puisi rakyat dalam bahasa Kadazandusun. Aku minat kemudian mendengar dan terus mendengar bahawa warisan sastera ini amat berharga.

ustazah_ony

Bapak Hasyuda sempat berkata kepada kami dalam syarahannya, “puisi tradisional adalah jati diri bangsa Malaysia.”

Dia berkata lagi, “puisi tradisional mempunyai nilai yang tinggi.” Perkara ini bagiku cukup membanggakan aku yang turut menjadi penulis sastera Melayu. Bertambahlah semangatku melestarikan budaya bangsa. Justifikasinya, zaman hari ini semakin moden lagikan berteknologi. Ketradisian semakin ditinggalkan oleh generasi kemodenan.

Hari ini turut menyaksikan aku secara sikit-sikit membaca syair. Pembacaan syair dituruti oleh beberapa orang sahabat yang lain yang turut menyertai program ini terdiri daripada sekitar 220 orang pelajar tingkatan luaran peperiksaan awam.

muizz03

Hari itu juga menyaksikan aku bersama peserta lain diberi peluang untuk mencipta karya puisi tradisional – pantun, syair, gurindam, seloka, nazam – mengikut kreativiti masing-masing. “Kamu semua ada kreativiti,” kata Cikgu JY. Aku hanya sempat menulis bait-bait puisi tradisional seperti ini:
Kalau berhidup mesti berbakti,
Berjalan mengejar redha Ilahi,
Itulah nama insan berbakti,
Mencari taqwa bekalan ukhrawi.

Nama berbudi mencipta jasa,
Juga bernama rajin usaha,
Dengan bersyarat ikhlas, sukarela,
Kelak dipahala, dikenang selama.

Usah dilupa tahfiz hubungan,
Dengan Allah jugalah insan,
Semoga aman sekehayatan,
Dunia akhirat damai berzaman.
(Nazam Hidup Berbakti)
bapak_ha

Sesuatu yang menghairankan: menulis sesuatu bukan pada pola kitabah sepatutnya. Ditulis gurindam bukannya seloka, ditulis syair bukannya pantun, ditulis puisi moden bukannya puisi tradisi. Tak apa, sekadar latihan sastera. Makalah-makalah puisi tradisional disimpan oleh Cikgu Masni bagi pihak SEMAI.

Aku dan peserta lain diberi peluang juga untuk mengadakan persembahan. Aku yang mengetuai sebuah kumpulan memilih untuk mempersembahkan seloka Pandai Pak Pandir. Cukup indah pengucapannya. Turut bersaing lagi 5 kumpulan. Akhirnya, persembahan pantun berirama menjuarai persembahan sastera.

Hari itu berakhir dengan sebuah ibrah bahawa warisan sastera harus dihargai. Semua yang ada pada hari itu berazam mempaksikan kesinambungan akan pentingnya memelihara warisan bangsa.

Taman Sidra, SMKA Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu, Sabah.
Ahad, 8 Ogos 2010, jam 10.15 malam.

Comments