Hayat Seorang Alim

Prolog:
“Ilmuwan laksana bintang
bergemerlapan di sekalian alam.
Andai sinarnya sirna,
nescaya sesat
arah tak bertuju…”

(I) PENGARAH PELAJARAN

Inilah aku di sini
Pengarah Pelajaran
Terimalah aku oh sang pendidik
Imam segala alim ulama
Pendidik anak bangsa

Allah amanahkan kalian
Didik anak bangsa
Ingat oh sang penabur ilmu
Setiap anak itu mutiara nusa
Permata negara
Gilaplah sekilat-kilatnya
Sampai zahir sinarnya

(II) PENGETUA

Baik, Tuan Pengarah
Janji kami di sini
Sentiasa mengangkasa amanah Ilahi
Inilah sumpah kami
Terimalah azam kami, ya Ilahi
Menabur jasa, mencurah bakti
Demi mengangkat gemilang
Generasi pewaris kejayaan

Hinakan kami, oh Tuhan
Andai amanah ini tercicir
Di tengah jalanan jasa

(III) IBU BAPA

Tuan Guru,
Didiklah putera puteri ini
Dengan kebitaraan ilmumu
Buatlah apa yang patut
Sampai akhlak baiknya
Muncul berzahir
Dari amalan keilmuan…

(IV) PEMIMPIN MASYARAKAT

Amanah guru ini akbar amat
Juga jasanya, akbar dari segalanya
Amat berharga melebihi keemasan emas
Akulah sang penyair
Juga sang pemimpin
Yang berjaya memartabatkan bangsa
Yang berjaya memartabatkan ad-din
Yang berjaya memartabatkan nusa
Semuanya gurulah sang pencipta
Yang menciptakan ilmu buat seluruh insani
Yang menciptakan jasa buat dirinya
Sebagai bekalan menuju keabadian

Kerana pendidik
Aku mampu berdiri
Kerana pendidik
Aku mampu berbakti

Di kala mataku melihat jasa guru
Aku masih teringat aku yang kecil
Merekalah mendidikku tulis baca
Merekalah mengajarku kira-mengira
Merekalah yang membawaku
Berfikrah keterbukaan luas
Membawaku ke suatu tahap
Mampu mencipta kecemerlangan
Harapan sang pendidik

(V) GURU

Anak didikku,
Aku ini tak bisa teguh berdiri
Kerna aku akan pergi jua
Masa pantas pergi
Aku semakin tua

Jadilah kalian
Generasi najihin, harapan nusa

Belajarlah rajin-rajin
Kuatkan ijtihad, jangan malas
Kelak kau menyesal
Atas kemalasanmu

Ijtihadlah sekuat jiwa raga
Jangan lupa akan indahnya tawakal
Kerana Allah itu suka
Orang yang bertawakal

(VI) PELAJAR KURANG BERDISIPLIN

Ah, apalah si guru ini
Aku terikat dengan ilmu
Merimaskan aku
Aku mahukan istiqlal
Istiqlal bagiku lebih berharga
Aku bisa buat segalanya!

Guru ini tidak kuminati
Kerana sikapnya
Mengguris kalbuku…

(VII) PELAJAR BERDISIPLIN

Kawan,
Tak bergunalah kau ini
Bilakan kumelihat
Inilah akhlakmu untuk guru ini
Betapa payahnya pengajarannya
Kepada kita sang penuntut

Ingatkan kata Saidina Ali
“andai insan itu mendidikku
Sekalipun satu huruf
Akulah hamba insan itu”

Pulanglah kepada kesyukuran
Oh sang kawan
Syukur bukan setakat terima kasih
Bahkan lebih dari itu
Ingatlah kita wasiat sang alim ulama
Yang mendahagakan kejayaan
Kita, sang penuntut…


(VIII) PELAJAR

Guru itu pernah menyentuh jiwa ini
Membawa aku pulang pada kehakikian
Lantas aku bangkit meneruskan jihad
Jihad Fii Sabilillah
Menjayakan diri dengan amalan keilmuan

Tapi, sayang sejuta kali sayang
Si kawan itu hancur dimamah mazmumah
Nyata sungguh buat jenayah terhadap gurunya
Luka hati sang pendidik itu, LUKA DALAM!!!
Namun, muallim itu tetap menyambung jihadnya
Tanpa putus asa berbekal semangat
Biarpun si kawan itu lebih suka
Merdeka dari si guru dan ilmunya

(IX) PELAJAR

Tuhan,
Terimalah ijtihad ini
Kurniakan aku segunung jaya
Agar jaya ini
Memaniskan hati sang penabur ilmu
Yang banyak berbudi dan berbakti

Tebarkanlah lembayung kecemerlangan, Tuhan
Pada anak didik yang kusayangi
Kerna ingin sekali kuciptakan
Perjuangan suci kerana Ilahi…

(X) PELAJAR

Alhamdulillah
Buah kejayaan berbuah jua
Dari pohonnya yang murni
Berkat doa ilmuwan
Inilah balasan kemurnian

Kasihan si kawan kulihatkan
Kecundang dalam perjuangan
Kerna intergritinya jua

Jangan dulu kesedihan
Kerana kecundang itu tiada abadi
Percayalah, oh kawan
Usaha tangga kejayaan
Jangan berhenti berjalan]
Kerana kembara ilmu itu panjang nian
Berhenti bila hanya kepergian…

(XI) GURU OH GURU :: USMAN AWANG

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oeh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat CIKGU kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Bilik Tutorial 17, SMKA Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.
Ahad, 23 Mei 2010, jam 12.30 tengahari.


Deklamasi puisi dilangsungkan pada hari Rabu, 26 Mei 2010.
Dideklamasikan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 1.

Comments