Si Adik Catur dan Perang Catur



"Izam, aku tabik sama adik kau," kataku dengan penuh hormat kepada Izam. Adindanya diberi nama Ramzi. Mohamad Ramzi, ahli permainan catur di sekolahnya, SMKA Kota Kinabalu (SMAKK).

Sebelum itu, "Izam, kenapa aku jumpa Izam Jr. hari ini?"

"Siapa?"

"Ramzi. Aku ada nampak dia main chess."

"Owh, Ramzi main chess ke?" Izam seakan tidak mengetahui.

"Ya."

"Abang ada menang ke hari ini?" Aku cuba menceritakan hal itu kemudian. Tentang Ramzi, aku tidak mengetahui bahawa Ramzi pernah beraksi di peringkat negeri dalam acara sama tahun lepas. Ketika itu, dia berada di Darjah 6, SK Pekan Telipok, Tuaran. Izam sudi memberitahu cerita ini sesudah solat Isyak semalam.

Aku tetap bersyukur ke hadrat Allah kerana mendapat penyertaan dalam sukan dan permainan - Kejohanan Catur MSSD Kota Kinabalu 2010. Pertama kali setelah berada di pengajian peringkat menengah selama empat tahun. Inilah gambaran yang aku terima, aku sendiri menyelami. Akan menyelami semula, entah bila. Aku tidaklah sehebat orang lain. Tapi, alangkah, pada tatapanku dua hari, semua pemain itu hebat belaka!

Pertama kali aku taqarrub akan Ramzi, aku teringat bahawa wajahnya mirip wajah kawanku, Ammar Hakim dan Izam. Kurang sedikit rupanya dengan Izam, hampir sikit dengan Ammar Hakim. Dia sudah mengenaliku terlebih dahulu - aku sudah jangka kerana aku dan Ramzi pernah berhubung dalam Facebook. Dia pernah memberitahuku khabar di SMAKK (bekas gedung ilmuku) dan lain-lain yang saling berkaitan. Aku mendekatinya dan mengenalinya sedikit demi sedikit.

Perang catur yang demikian berlaku dua hari di SMK Taman Tun Fuad (TTF). Penutupan berlangsung hari ini dengan perasmiannya disempurnakan oleh En. Jaafar Othman. SMK TTF serba kekurangan. Namun, segala yang dirancang oleh mereka tetap berjaya dilunaskan. Berbelas buah sekolah menyertai ghazwah ini.

Aku dan rakan-rakan dari SMKA Inanam (SEMAI) menempuh banyak cabaran untuk mendapat mata pertandingan. Bermacam pengalaman kami titipkan di akal sebagai memori dan teladan.

Aku tertarik dengan Ramzi dan peperangannya - kehebatan "tentera"nya melawan musuh. Menang banyak peperangan. Namanya berjaya naik sebagai wakil daerah untuk beraksi di peringkat bahagian di bumi Ranau nanti, bersama-sama Faiqah, sahabat kami sepasukan.

SMK TTF ada bitaranya sendiri. Itulah tarian Rampai 1 Malaysia - tarian sembah salam masyarakat Melayu Brunei. Yang ku tonton ini sudah kedua kali. Kali pertama adalah pada tahun sudah.

Pengalaman dalam ghazwah ini sungguh mencabar dan banyak memberi teladan. Gagal yang sekali bukannya abadi. Memori hari ini adalah harapan esok hari. Cuma, aku tidak arif akan istita'ahku untuk bertarung semula di hari mendatang.

Aku tinggalkan SMK TTF dengan harapan agar aku masih bersemangat menjadi setara seperti mereka. Sebelum pulang, kami di SEMAI dan kontinjen SMAKK sempat merakam memori. Juga diriku dengan diri Ramzi - potret itu dititip kedua-dua buah sekolah. Itulah kegembiraan sebuah pertemuan.

Ya Tuhan, bantulah, moga selamat selamanya! Amin.

Dewan Terbuka, SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu, Sabah.
Jumaat, 9 April 2010, jam 3.31 petang.

Comments

  1. Barangkali hanya dirimu di langkah ini... Namun, bagiku inilah yang terindah.

    ReplyDelete

Post a Comment