Monday, 15 February 2010

Memori Sukacita


“Hello, abang Muizz ke ini?” Hari itu tarikhnya 13 Februari.

“Hello? Siapa ini?” Menanti dengan penuh tertanya-tanya. Waktu jam dinding sudah pukul 10.30 pagi.

“Izzamuddin ini.”

“Huh, Izam, apa cerita?”

“(Saya) datang.”


Okey, Abang tunggu. Kau (sekarang) di mana ini?”

“Di rumah.” Kemudian, “Abang, rumah Abang di mana?” Aku menerangkan tempat aku tinggal di sekitar Perumahan Hospital Tuaran – mengingatkan dirinya yang sudah tidak jejak tempat itu hampir 8 tahun.

Habis dialog. Aku kembali ke bilikku, menyambung kerja, menulis kertas kerja sebuah program terpenting dalam akademik di sekolah. Akulah setiausaha program berkenaan.

Sekarang sudah 10.50 pagi. Aku terus keluar dari rumah menjemput Izam. Ibuku sedang menyiram bunga. Ibuku tertanya-tanya ke mana aku pergi. Rupanya, dekat dengan pagar.

Aku berjalan sehingga ke dalam Taman Rekreasi. Aku terlihat seorang insan sedang duduk bersantai di pondok “cendawan” itu. Aku tertanya-tanya, siapakah itu? Si dia berbaju merah, berseluar khakis berwarna kelabu putih. Kebetulan – aku juga memakai merah, Cuma seluar sahaja hitam. Dia seperti kemalasan, sambil menekan-nekan telefon bimbit miliknya.

Aku terus dekati. Orang itu berkulit putih. Aku terus berjalan – senyap – melangkah masuk sedikit ke Taman Permainan.


Orang itu – Izzamuddin – yang menghubungiku sebentar tadi. Aku memintanya tunggu di pagar perumahan. Kasihan, lama sedikit dia menunggu. Aku gembira kerana kami dipertemukan seperti adik-beradik.

Ada yang berkata bahawa Izam dipaksa datang. Tidak sekali-kali – aku sebenarnya meminta bantuannya sama-sama bekerja. Dia sendiri mengucapkan kerelaan walaupun diarah untuk datang. Hati, Allahu a’lam.

Aku bertemunya. Aku terus membawanya ke rumahku sambil-sambil kembali mengingati kisah lama bersamaku – sukar dikenali ketika itu. Kami berjalan membawa bersama senyuman yang bagiku sukar untuk dicari dalam usiaku yang muda namun perspektif yang tua.

Pendiam orangnya. Aku lebih banyak bercakap daripada dirinya. Pemalu jua.

Sampai sudah di kediamanku. Izam dikenalkan kepada semua ahli keluargaku satu persatu. Kami saling “bermesra”, juga dengan kawan-kawan lain di laman sosial Facebook. Hampir-hampir mereka cemburu.

Hampir 20 minit – sekitar jam 11 pagi – kami dihidangkan dengan minum pagi. Kami (keluargaku) saling berkenalan dengan Izam. Ibuku mengenali ibunya, walaupun ibunya tidak mengenali ibuku – tidak perasan. Ibuku dan kekandanya (Nuratikah) saling kenal-mengenali. Kakakku mengenali Nuratikah dengan panggilan “Tiket”, walhal aku mengenalinya dengan gelaran AT.

Satu yang mengejutkan. Kami (diriku dan diri Izam) sudah merancang mahu buat kerja sama-sama. Ayahku membawa kami ke Penampang Baru, Tuaran. Izam terheret sekali. Izam rela jua mengikuti, seolah-olah – aku melayannya seperti melayan adik sendiri, lebih dari itu, kuakui – dia merupakan PA saya.

Di sana ada suatu keraian anjuran Tuan Haji Amin Ibrahim, Pengerusi USIA Daerah Tuaran. Bernikah puteranya. Setibanya kami bertiga di situ, sudah menanti Ustazah Bibi Zoliha menyambut. Kelihatan jua ramai umara daerah Tuaran di situ seperti Datuk Ismail Ibrahim, Tuan Tan Kim Beng dan lain-lain. Yang peliknya, kami yang sesudah mengambil sajian dipohon duduk di pentas kehormat. Mujurlah yang berada di situ juga orang-orang biasa.

Setengah jam kami berada di situ menikmati jamuan sambil mendengarkan persembahan seni buluh Kadazandusun. Indah didengar.

Kami pulang. Singgah di Tuaran, membeli seketika. Ayahku sahaja yang pergi – takut aku meninggalkan Izam. Kami terus berkisah sambil-sambil tersenyum sentiasa. Aku minat bertanyakan banyak soalan.

“Izam, kau pandai bahasa Dusun ke bahasa Kedah ke?” Dia menggeleng kepala. Aku masih tertanya-tanya.

Rupa-rupanya percakapannya hanyalah sastera biasa. Bahasa biasa. Namun, difahamnya jua bahasa negeri Kedah dan bangsa Dusun.

Banyak kisah kami ketahui mengenainya. Ayahnya, Cikgu Taufik Abdullah, bekas mualaf, sekarang mengajar di SKPK Tuaran. Aku terkejut. Datuk neneknya sebelah ayahnya bukan Islam. Situasi ini – jikalau di Semenanjung Malaysia – susah dikabulkan umum.

Setelah sampai, aku terus mengagihkan kerja kepada diriku dan diri Izam. Hampir setengah jam sampai dari keraian, sudah siap ibuku memasak di dapur. Ibuku menjemput kami makan. Izam malu tersipu. Namun, harus jua dia menunaikan.

Sedang kami berjamu selera, ibuku menceritakan diriku sebenar. Izam tersenyum, terkadang mahu jua tertawa mendengarnya. Aku pun ikut sama. Sampailah suatu ketika...

“Abang, ramai ke orang tadi kat rumah Haji Amin?” Tanya ibuku.

“Ramai. Ayah tadipun kena suruh duduk kat meja VIP.”

“Jadi, Abang pun ikutlah ayah? Owh, mentang-mentang duduk di meja VIP, dijemput jugalah “Datuk” Muizz dan “Datuk” Izam!?” Izam tertawa kecil.

“Huh, perasanlah jadi YB?!” kata ibuku lagi. Izam memandang wajahku lalu tersenyum.

Siap makan. Kami menyambung kerja – walaupun sebenarnya kami berdua bermain jua dengan Facebook.

Solat tidak dilupakan. Aku membawanya solat zohor berjemaah di surau. Ditekanya surau itu di kediaman doktor pergigian. Lucu. Surau itu jauh sedikit dari rumah, dekat dengan bangunan hospital. Pulang setelah selesai solat. Sambung.

Hampir pukul empat setengah petang, Izam mahu beredar pulang. Namun, kebaikan ayahku membawa Izam pulang terus ke rumahnya di Taman Telipok Jaya.

“Izam, thank you for helping me.” Aku sembahkan kepada dirinya kerana jasanya. Mahu jua dia berjasa.

Rupanya, hari itu merupakan hari yang indah bagiku. Pada sangkaan, aku hanya keseorangan melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan masjid sekolah, rupa-rupanya “adik” diriku – temanku tapi mesra – ini kesudian membantu sambil jua tersenyum. Aku titipkan hari itu sebagai kenangan terindah.

Soalnya, aku mahu juga menziarahi rumahnya – balasan – taaruf dengan keluarganya, seperti teman lain juga.

“Boleh, tapi, lain kali sahajalah.” Aku menerima dengan hati terbuka walaupun ia memilukan.

Tuaran, Sabah.
Isnin, 15 Februari 2010, jam 12.43 pagi.

2 comments: