Komen tentang Pengesyoran Had Subjek Sijil Pelajaran Malaysia

Surat terbuka ini dihantar kepada YBhg. Datuk Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada 2 Jun 2009, dan diolah semula secara formal pada 9 Jun 2017.

Yang Berbahagia Datuk, 

Saya merasa diri ini terpanggil untuk memberi pendapat mengenai isu pengesyoran untuk mengehadkan subjek untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan datang. Saya memohon izin Yang Berbahagia Datuk untuk memberi pandangan tentang isu ini atas nama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Saya berpendapat bahawa saya sendiri perlu tahu akan isu ini kerana saya sendiri akan menduduki peperiksaan seperti ini pada tahun 2011. Dalam erti kata lain, saya tidak lama akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Yang Berbahagia Datuk,

Saya berpandangan ada pro dan kontra dalam pengesyoran ini. Ini kerana ada hikmah di sebalik pengesyoran ini, tetapi tidak kurang juga dengan implikasinya kepada sebilangan pelajar, khususnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Hikmah yang terkandung di sebalik pengesyoran ini ialah kebolehan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran. Akan tetapi, bagi saya, hal ini lebih tertumpu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Mereka mungkin akan dibenarkan mengambil 4 subjek teras dan 6 subjek pilihan.

Implikasinya lebih tertumpu kepada SMKA kerana pelajar di sekolah tersebut mempelajari dan sekaligus mengambil peperiksaan dalam matapelajaran seperti berikut:
  • Bahasa Melayu - teras
  • Bahasa Inggeris - teras
  • Sejarah - teras
  • Matematik - teras
  • Sains - teras (wajib untuk pengajian Sastera Ikhtisas)
  • Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah - pilihan agama (wajib untuk SMKA/SABK)
  • Pendidikan Syariah Islamiah - pilihan agama (wajib untuk SMKA/SABK)
  • Bahasa Arab Tinggi - pilihan agama (wajib untuk SMKA/SABK)
  • Fizik - pilihan Sains Tulen (wajib untuk pengajian Sains Tulen)
  • Kimia - pilihan Sains Tulen (wajib untuk pengajian Sains Tulen)
  • Biologi - pilihan Sains Tulen (wajib untuk pengajian Sains Tulen)
  • English for Science and Technology - pilihan Sains Tulen (wajib untuk pengajian Sains Tulen)
  • Prinsip Perakaunan - pilihan Sastera Ikhtisas (wajib untuk pengajian Sastera Ikhtisas)
  • Perdagangan atau Ekonomi Asas - pilihan Sastera Ikhtisas (wajib untuk pengajian Sastera Ikhtisas)
  • Matematik Tambahan - wajib untuk Sains Tulen dan Sastera Ikhtisas
Pelajar SMKA aliran Sains Tulen: 4 teras, 1 wajib, 4 pilihan Sains Tulen, 3 pilihan agama = 12 matapelajaran

Pelajar SMKA aliran Sastera Ikhtisas: 5 teras, 1 wajib, 2 pilihan Sastera Ikhtisas, 3 pilihan agama = 11 matapelajaran

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada evidens yang tercatat di atas, maka saya kurang bersetuju jika calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 subjek termasuk 4-6 subjek teras. Bagi pelajar SMKA, walaupun subjek-subjek selain teras adalah pilihan, namun ianya telah menjadi subjek teras kerana subjek-subjek ini boleh menjadi kayu pengukur untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama atau sains di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pernah juga berlaku di sekolah saya bahawa ada calon SPM mengambil lebih daripada 11-12 subjek (maksimum pelajar pernah ambil ialah 14). Tetapi, malangnya apabila mereka gagal mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam semua subjek. Kalau mahu ditafsirkan mengenai situasi ini, saya juga bersetuju agar dihadkan pengambilan subjek SPM kepada 11-12 subjek di SMKA. Arahan pengambilan subjek SPM yang dihadkan telah berlangsung di sekolah saya dan setakat ini, tiada calon mengambil lebih daripada 11-12 subjek termasuk 4-5 subjek teras.

Saya memohon maaf andainya terkasar bahasa mahupun bicara terhadap Yang Berbahagia Datuk. Ini hanyalah pandangan saya, tetapi adalah menjadi harapan saya agar Yang Berbahagia Datuk boleh memperhalusi semula isu ini demi masa depan generasi di masa muka. Saya sentiasa menunggu respon, komen mahupun kritik yang membina dari pihak YBhg Datuk.

Bolehlah saya mengkonklusikan bahawa SPM adalah penentu kejayaan dalam hidup kerana kejayaan SPM membolehkan pelajar meneruskan pengajian di IPT dalam pengkhususan yang munasabah. Bagi saya, tumpuan guru terhadap subjek teras dan kemampuan pelajar dalam menelaah hanya 10 subjek tidak juga menjadi tembok penghalang untuk meneruskan syor ini, tetapi wawasan pelajar sekolah menengah pelbagai jenis menjadi pengukur dalam menduduki SPM dan menentukan nasib hidup mereka, termasuklah saya yang bakal mendudukinya 2 tahun lagi.

Comments